Kerana Nasi Lemak Udang Petai…
.
Gerai Kak Su kerapkali saya kunjungi setiap pagi untuk menikmati Nasi Berlauk dan Sambal Udang Petai. Memang menyelerakan. Terutama sambalnya. Pedas menyengat tetapi asyik sekali. Barangkali Kak Su dari Kelantan dan selera orang Pahang seperti saya tak jauh beza, maka sarapan pagi saya tidak sempurna tanpa menu dari beliau.
.
Hari ini pintu pagar dua masjid Abdul Rahman Auf belum dibuka. Pintu pagar itu bersebelahan gerai Kak Su. Disebabkan perut tidak menjamah nasi semalam, saya gagahkan diri melangkah ke pagar satu. Niat hanya satu. Pekena Nasi lemak udang petai sarapan pagi jumaat yang mulia ini.
.
Namun lain pulak rezeki pagi ini, gerai Kak Su bersedekah pelbagai menu nasi dan mee serta minuman panas sejuk. Makanan percuma bismillah, sila layan diri! Alhamdulilah. Saya memilih nasi lemak, bihun goreng dan teh ais serta air jagung.
.
Dalam perjalanan balik saya war warkan pada jaga yang bertugas di klinik bersebelahan, pekerja indonesia yang sedang menunggu bas serta makcik yang saya jumpa agar ke gerai Kak Su. Hehehe…
.
Gerai Kak Su hanya dibuka hari bekerja sahaja. Jemput singgah bila anda ke Jalan Klang Lama menuju ke Masjid Abdul Rahman Auf, yang terletak di Jalan Puchong Batu 5. Untuk ke Kinrara, Puchong atau Putrajaya boleh lalu sini. Ada mall Bloomsvale – Courtyard By Marriott di depan sana yang saya up video Sky Deck tingkat 63 tempoh hari.
.
Untuk jiran saya Kak Su dan Abang Man seisi keluarga dari tingkat 14 Pangsapuri Suci, saya doakan semoga rezeki kalian terus murah dan dipermudahkan segala urusan. Sesungguhnya rezeki pagi Jumaat ini membuatkan ramai tersenyum lebar dan bahagia sekali. Alhamdulilah.
.
9:8:24





