Busana Kitar Semula ‘Eco Futuristik Lestari’ Dinobat Juara Persona Lestari, Manifestasi Kreativiti Generasi Baharu FELDA
KREATIVITI tanpa batas dalam mentafsir konsep kelestarian menerusi seni fesyen membawa tuah kepada Norliyana Mohd Ridzuan Shah, 23, apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan Persona Lestari sempena Hari Peneroka FELDA dan Sambutan 70 Tahun FELDA yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka.
Pelajar Kursus Jahitan Tahap 2, Kolej Yayasan FELDA Negeri Sembilan itu berjaya menewaskan 16 peserta lain menerusi rekaan luar biasa bertajuk “Eco Futuristik Lestari”, sebuah karya yang menggabungkan elemen kelestarian alam, imaginasi futuristik dan estetika moden dalam satu persembahan fesyen berimpak tinggi.
Mengangkat tema “Kreatif Minda, Inspirasi Kelestarian”, pertandingan anjuran Jabatan Penyelidikan, Pembangunan dan Kelestarian FELDA itu menjadi platform strategik bagi menyemai kesedaran mengenai kepentingan amalan kitar semula, di samping mencungkil bakat serta potensi kreatif generasi muda warga FELDA dalam memperjuangkan agenda pembangunan mampan.
Sebanyak 17 rekaan busana kreatif dipersembahkan sepanjang pertandingan, masing-masing menampilkan interpretasi tersendiri terhadap elemen budaya, alam semula jadi, warisan, fantasi dan fesyen kontemporari. Antara rekaan yang dipertandingkan ialah Sisik Phoenix, Eco Royale Half Saree, Queen of Leopard, The Elegance of Sustainability, The Executive Avant-Garde, Aurelia Samudera, King of the Luminous Abyss, Princess Floriana, Shogun dan Ocean Classic.
Walaupun berdepan persaingan sengit, Eco Futuristik Lestari berjaya mencuri perhatian panel juri menerusi penggunaan bahan kitar semula yang inovatif, mutu kemasan yang teliti serta penyampaian mesej kelestarian yang jelas, kreatif dan berimpak.
Inspirasi rekaan tersebut lahir daripada gabungan imaginasi dunia fantasi menerusi filem Barbie dan Aquaman, sekali gus menghasilkan sebuah karya yang menggambarkan kehidupan marin masa hadapan dalam dimensi lestari.
Menurut Norliyana, hampir keseluruhan busana dihasilkan menggunakan bahan-bahan buangan yang diberikan nilai baharu tanpa mengorbankan aspek estetika dan fungsi.
Antara bahan yang digunakan ialah pakaian terpakai sebagai asas busana, guni serta lebihan kain lining bagi menghasilkan skirt, kotak telur yang dibentuk menjadi bunga, selain bungkusan plastik aluminium yang dijadikan korset dan elemen hiasan utama.
Beliau turut memanfaatkan pinggan plastik bagi menghasilkan corak sisik ikan, beg plastik sampah sebagai ekor ikan duyung, botol plastik untuk menghasilkan kesan ekor yang lebih dramatik, manakala lebihan plastik dijadikan leretan ekor yang diinspirasikan daripada gaya tocang ikonik watak Barbie.
Konsep dasar laut futuristik diperkayakan lagi melalui penggunaan sudu plastik yang disembur warna menyerupai cengkerang, origami tapak sulaiman daripada lebihan kertas warna, sayap belakang daripada kotak dan kadbod, serta penutup botol, straw, batang aiskrim dan kepingan cermin DIY yang dibentuk sebagai motif geometri melambangkan kemajuan teknologi.
Aksesori kepala pula dihasilkan daripada cekak terpakai yang dihiasi straw, dawai bulu dan bunga pom-pom daripada lebihan plastik, manakala perisai tangan diperbuat daripada kadbod yang dipadankan dengan kepingan botol plastik, pinggan plastik dan sudu berbentuk penyu.
Keunikan persembahan turut diperkukuhkan dengan aksesori tanglung daripada cawan kertas bertingkat yang dihiasi bunga ros surat khabar, sudu plastik berwarna serta lampu hiasan (fairy light), sebelum disempurnakan dengan sentuhan mutiara tiruan yang menyerlahkan keseluruhan penampilan busana tersebut.
Norliyana berkata, kemenangan itu membuktikan bahawa bahan yang sering dianggap sebagai sisa buangan sebenarnya mampu diangkat menjadi karya seni fesyen yang mempunyai nilai komersial, estetika dan mesej pemuliharaan alam sekitar.
“Saya berharap rekaan ini dapat membuka perspektif masyarakat, khususnya golongan muda, bahawa bahan buangan bukan sekadar sampah, sebaliknya mempunyai potensi besar untuk diolah menjadi sesuatu yang bernilai tinggi apabila disertai kreativiti dan inovasi,” katanya.
Pertandingan itu disertai pelajar Kolej Yayasan FELDA Negeri Sembilan daripada pelbagai bidang pengajian termasuk Kursus Jahitan Tahap 2, Dialisis, Kecemasan dan Pengurusan Pejabat, dengan sembilan peserta terdiri daripada pelajar kursus jahitan.
Panel juri terdiri daripada Hazaril Haizat Md Akil, Pengarah Jabatan Penyelidikan, Pembangunan dan Kelestarian FELDA; Helwani Lukman, Timbalan Pengarah Bahagian Latihan Jabatan Pengurusan Modal Insan (JPMI) FELDA; serta Nur Aida Mohd Sabri, Pengetua Kolej Yayasan FELDA Negeri Sembilan.
Majlis turut dihadiri Razuwan Che Ros, Pengarah Operasi Perladangan FELDA yang menjalankan tugas Timbalan Pengarah Besar Perladangan FELDA, bersama barisan pengurusan FELDA.
Penganjuran Persona Lestari membuktikan komitmen FELDA dalam memperkasakan kreativiti, inovasi dan pendidikan kelestarian melalui pendekatan yang lebih segar serta inklusif. Lebih daripada sekadar pertandingan fesyen, program ini menjadi wadah untuk menyemai budaya penggunaan semula bahan buangan, memperkukuh kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar serta melahirkan generasi muda FELDA yang berfikiran progresif, kreatif dan bertanggungjawab dalam mendukung agenda pembangunan lestari negara.





