Cherpen Tampil Berani Keluar Zon Selesa, Berkolaborasi Dengan Chubb-E Dalam Single Reggae ‘Patah Hati’
KUMPULAN Cherpen sekali lagi membuktikan kematangan dan keberanian mereka dalam mengemudi landskap muzik tempatan apabila tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Patah Hati’, sebuah karya berentak reggae yang menyatukan mereka bersama penyanyi rap, Chubb-E buat julung kalinya.
‘Patah Hati’ merupakan ciptaan bersama anggota Cherpen — Nemo, Kimie dan Syahir — bersama Chubb-E, manakala liriknya digarap oleh Nemo, Kimie dan Chubb-E. Kolaborasi ini tercetus secara organik ketika kumpulan tersebut sedang mengolah idea asal lagu berkenaan
Menurut vokalis Cherpen, Nemo, idea untuk menampilkan elemen rap hadir secara spontan dalam sesi rakaman awal.
“Kolaborasi ini bermula apabila kami mencuba memasukkan bahagian rap secara suka-suka dalam lagu ‘Patah Hati’. Dari situ, kami terfikir untuk mencari seorang rapper yang benar-benar sesuai. Apabila bertemu Chubb-E, kami terus rasa serasi dari segi muzik dan hala tuju,” jelasnya.
Mengangkat tema kekecewaan dalam percintaan, ‘Patah Hati’ menampilkan naratif yang dekat dengan realiti kehidupan. Inspirasi lagu ini lahir daripada pengalaman peribadi anggota kumpulan serta pemerhatian terhadap kisah orang sekeliling yang melalui episod cinta, perpisahan dan kehilangan.
Walau bertemakan luka emosi, mesej utama lagu ini sarat dengan nilai positif.
“Pesan paling penting dalam lagu ini ialah agar kita menghargai insan yang benar-benar ikhlas mencintai kita,” tambah Nemo.
Dari sudut musikaliti, ‘Patah Hati’ menandakan peralihan berani buat Cherpen yang sebelum ini lebih dikenali dengan karya berentak balada dan lagu-lagu perlahan seperti ‘Pasti’, ‘Lepaskan’ dan ‘Kali Ini’ yang mendapat sambutan meluas di corong radio serta platform digital.
Kali ini, pendekatan reggae yang santai dan ‘feel good’ dipilih bagi memberi dimensi baharu kepada identiti muzik mereka.
“Sebelum ini, peminat mengenali Cherpen dengan lagu-lagu ‘slow’. Namun untuk ‘Patah Hati’, kami tampil dengan genre reggae yang lebih santai dan bersahaja. Walaupun judulnya kedengaran berat, muziknya lebih ringan dan menghiburkan,” ujar Nemo.
Bagi Chubb-E pula, kolaborasi ini membuka ruang kreatif yang signifikan dalam perjalanan seninya.
“Apabila Cherpen berkongsi demo lagu ini, saya terus tertarik dengan ‘vibes’-nya. Lagu ini bukan sekadar tentang kecewa, tetapi tentang menghargai cinta yang tulus. Proses rakaman berjalan lancar dan penuh pertukaran idea yang kreatif,” katanya.
Beliau turut berharap kolaborasi ini mampu menyatukan dua kelompok peminat yang berbeza serta memperluaskan horizon muzik kedua-dua pihak.
Single ‘Patah Hati’ terbitan Seventeen Eleven Music kini berada dalam senarai main stesen-stesen radio utama dan boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital. Video muzik rasmi lagu ini turut boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Seventeen Eleven Music.
Dengan keberanian bereksperimen dan semangat kolaboratif yang segar, ‘Patah Hati’ membuktikan bahawa Cherpen tidak sekadar mempertahankan reputasi, malah bersedia mencipta definisi baharu dalam perjalanan seni mereka.





