NANTI KITA SEPERTI INI – TENTANG HARAPAN DAN EMOSI

HARAPAN DAN EMOSI BERGEMA SEMULA: BATAS SENJA & HANNAH DELISHA LAHIRKAN VERSI SINEMATIK “NANTI KITA SEPERTI INI”

 Dua dunia seni bersatu dalam satu karya istimewa. Penyanyi dan pelakon sensasi Malaysia, Hannah Delisha, bergandingan buat julung kalinya dengan kumpulan pop-folk terkenal dari Indonesia, Batas Senja, menerusi “Nanti Kita Seperti Ini (Cinematic Version)” — sebuah penafsiran semula yang lebih megah, syahdu dan sarat emosi, membawakan nafas baharu kepada lagu yang telah menyentuh hati jutaan pendengar di seluruh dunia.

Sudah mengumpul lebih 340 juta penstriman di Spotify dan 79 juta tontonan di YouTube, lagu ini kini kembali sebagai sebuah karya sinematik yang penuh harapan, disampaikan dengan lantunan vokal Hannah Delisha yang merdu dan penuh jiwa, berpadu indah dengan kepekaan emosi vokalis Batas Senja, Reza Lukita Apriadi (Masitong).

“Ini bukan sekadar lagu. Ia adalah potret kehidupan saya — ditulis ketika saya berada di titik paling getir, namun tetap membawa harapan bahawa esok masih ada,” luah Masitong, yang juga penulis dan komposer lagu berkenaan.

Versi terbaharu ini menampilkan susunan orkestra megah yang dirancang untuk meresap ke dasar jiwa. Ia menghidangkan sebuah pengalaman mendengar yang lebih sinematik, mendalam dan peribadi. Masitong menggambarkannya sebagai sebuah perayaan terhadap harapan dan ketabahan, sesuatu yang bersifat universal dan menyentuh semua.

Menariknya, kolaborasi dengan Hannah tercetus secara organik — Masitong menemui Hannah menyanyikan lagu tersebut di TikTok dan serta-merta terpikat.

“Saya lihat dia nyanyi, dan terus tahu — dialah orangnya. Suaranya unik, ekspresif, dan sangat berkarisma. Dia bukan sekadar penyanyi, dia adalah pencerita,” ujar Masitong.

Hannah Delisha, yang mengakui dirinya peminat lagu ini sejak awal, menyifatkan peluang bekerjasama ini sebagai satu penghormatan besar.

“Saya terus jatuh cinta pada lagu ini. Ia menyentuh saya sebagai wanita, sebagai manusia. Bukan kisah patah hati, tetapi kisah menghargai — momen kecil yang sering kita abaikan dalam hubungan,” katanya.

Bagi Hannah, pengalaman ini bukan sahaja mendewasakan dirinya secara vokal, malah memberi dimensi baharu dalam cara dia menyampaikan rasa dan makna.

“Saya harap pendengar rasa tenang, rasa disayangi. Lagu ini adalah doa dalam bentuk muzik – tentang mempercayai cinta yang sederhana tetapi abadi.”

Proses rakaman dan penghasilan lagu ini berlaku dalam tempoh yang luar biasa pantas — dengan susunan semula lengkap disiapkan dalam kurang seminggu dan rakaman dilakukan secara berasingan. Namun, keserasian antara dua vokal ini terjalin begitu harmoni, seolah-olah dicipta untuk berpadu.

“Hannah dan saya punya ton vokal yang saling melengkapi. Dia membawa kedalaman yang berbeza. Saya bangga dengan hasil akhir ini – ia adalah salah satu karya terbaik kami setakat ini,” kata Masitong.

Video muzik rasmi yang turut menjalani penggambaran di Lampung, Indonesia, dijangka menambahkan lagi nilai sinematik lagu ini, dengan visual yang mendalam dan sinematografi yang memukau.

“Nanti Kita Seperti Ini (Cinematic Version)” kini boleh dinikmati di semua platform digital. Saksikan video muzik rasminya di saluran YouTube Hannah Delisha bermula 27 Jun 2025.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *