NAK TUNAIKAN HAJI? JANGAN AMBIL RISIKO, “TIADA VISA, TIADA HAJI”

“TIADA VISA, TIADA HAJI”: KHUP5 PERKUKUH KESEDARAN BAKAL JEMAAH MEMBUAT PILIHAN TEPAT DAN SELAMAT

 KESEDARAN mengenai kepentingan mendapatkan visa haji yang sah serta menggunakan saluran perjalanan yang diiktiraf terus diperkukuh menerusi penganjuran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-5 (KHUP5) yang bermula hari ini.

Dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (BUMITRA) Malaysia, KHUP5 berlangsung selama tiga hari sehingga 11 Oktober 2026 di Mövenpick Hotel & Convention Centre (MHCC), KLIA, Sepang, dengan penyertaan 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen yang menawarkan pelbagai pakej haji bagi musim 1448H/2027M.

Mengangkat tema “Tiada Visa, Tiada Haji”, KHUP5 memberi penekanan terhadap keperluan bakal jemaah membuat persediaan secara teliti dan mendapatkan perkhidmatan melalui saluran yang sah serta diiktiraf, demi memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan kelancaran perjalanan ibadah haji sentiasa terpelihara.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, berkata bakal jemaah perlu lebih berwaspada dalam membuat sebarang keputusan berkaitan pakej dan perjalanan haji, khususnya dalam memastikan urusan dibuat menerusi saluran yang sah.

“Bakal jemaah hendaklah memastikan segala urusan perjalanan dibuat melalui saluran yang sah dan diiktiraf bagi mengelakkan risiko penipuan serta masalah ketika berada di Tanah Suci.

“TH tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat lain sebagai ejen bagi menawarkan pakej haji melainkan 34 syarikat PJH yang dilesenkan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan bakal jemaah supaya membuat semakan sewajarnya, meneliti setiap tawaran dan mendapatkan maklumat yang lengkap daripada sumber rasmi TH serta PJH berlesen sebelum membuat sebarang bayaran atau keputusan berkaitan perjalanan haji.

(Tengah) Mahfuz Khawarizmi menerima hadiah selepas diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah pengunjung KHUP 5 yang ke 2,999 selepas majlis perasmian.

KHUP5 PLATFORM SEHENTI INFORMASI HAJI, UMRAH DAN PELANCONGAN ISLAMIK

Sementara itu, Presiden BUMITRA Malaysia, Dr. Wan Muhamad Adam Wan Norudin, berkata KHUP5 bukan sekadar menyediakan ruang pameran pakej haji, malah berfungsi sebagai platform sehenti untuk masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan haji, umrah serta pelancongan Islamik.

Menurut beliau, sambutan terhadap KHUP5 turut memperlihatkan peningkatan penggunaan saluran digital dalam mendapatkan maklumat dan membuat persediaan perjalanan.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima bagi penganjuran KHUP kali kelima ini sangat menggalakkan. Platform digital KHUP5 telah merekodkan lebih 52,230 muat turun bahan digital menerusi laman sesawang rasmi, termasuk e-Brosur Pakej Haji 1448H/2027M dan Majalah KHUP5, selain menerima lebih 862 pra-pendaftaran secara dalam talian,” jelas beliau.

Beliau berkata pendekatan digital yang diperkenalkan pada edisi kali ini menjadi antara penambahbaikan penting berbanding penganjuran terdahulu, sekali gus membolehkan maklumat berkaitan pakej dan persediaan haji disampaikan dengan lebih meluas.

Kerjasama PJH dalam mempromosikan pakej serta KHUP5 menerusi platform media sosial masing-masing turut membantu memperluas capaian informasi kepada bakal jemaah.

(Dua dari.kanan) Presiden BUMITRA, Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin menyampaikan cenderamata kepada Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH. Mustakim Mohamad.

PENDIDIKAN, KELUARGA DAN PENGALAMAN HAJI DALAM SATU DESTINASI

Selain pameran dan promosi pakej, KHUP5 turut menampilkan pelbagai pengisian berbentuk pendidikan, kekeluargaan dan hiburan yang sesuai untuk pengunjung daripada pelbagai peringkat usia.

Antara pengisian yang disediakan termasuk Bual Bicara, Simulasi Haji Cilik, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, selain persembahan kumpulan nasyid The Rayhan, Rabbani dan Ezad Lazim.

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan kemunculan istimewa BoBoiBoy menerusi kuiz interaktif dan cabutan bertuah, selain mengunjungi Bazar Karnival yang menawarkan pelbagai pilihan makanan, minuman serta barangan berkaitan haji dan umrah.

Sebagai nilai tambah, KHUP5 turut disertai enam institusi perbankan Islam serta rakan strategik daripada sektor kesihatan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk penyelesaian kewangan patuh syariah, pengurusan harta, perlindungan perjalanan, pengurusan harta pusaka dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Pengunjung juga berpeluang menelusuri sejarah perkembangan pengurusan haji di Malaysia serta menghayati pengertian di sebalik manasik ibadah haji menerusi koleksi artifak, pameran interaktif dan tayangan video di Galeri Haji yang terletak di MHCC.

KHUP5 berlangsung sehingga 11 Oktober 2026 dan terbuka kepada orang ramai.

Maklumat lanjut serta e-Brosur Pakej Haji 1448H/2027M boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi KHUP5 dan media sosial KHUP5.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *