NABILA RAZALI ANGKAT SUARA KREATIF, JULANG “CUKUP SAMPAI SINI” SEBAGAI MANIFESTASI MEMILIH DIRI SENDIRI
Lebih daripada sebuah lagu perpisahan, karya terbaharu Nabila Razali menjadi titik penting evolusi seninya apabila beliau tampil sebagai pencipta lagu dan penulis lirik
BARANGKALI setiap perjalanan seni mempunyai satu titik apabila seorang artis tidak lagi sekadar menyanyikan cerita, sebaliknya mula mencipta dan menulis cerita itu dengan suaranya sendiri.
Bagi Nabila Razali, titik tersebut hadir menerusi “Cukup Sampai Sini” (CSS), single terbaharu yang bukan sahaja memperlihatkan sisi muziknya yang lebih segar dan berani, malah menandakan satu perkembangan penting dalam perjalanan kreatifnya.
Lebih istimewa, karya ini menyaksikan Nabila tampil sebagai penulis lirik sepenuhnya, selain menjadi pencipta lagu bersama Justin Seow Seng Tack.
Lahir daripada keinginan untuk menghasilkan sebuah karya yang dekat dengan pengalaman dan emosi generasi hari ini, “Cukup Sampai Sini” mengangkat tema tentang mengenali nilai diri, menetapkan batas dan keberanian untuk memilih diri sendiri.
Ia mungkin bermula dengan kisah sebuah hubungan yang sudah terlalu lama dipenuhi alasan, drama dan kekecewaan. Namun, makna yang dibawa lagu ini jauh lebih luas — tentang saat seseorang akhirnya menyedari bahawa memberi terlalu banyak ruang kepada orang lain tidak seharusnya menyebabkan dirinya sendiri kehilangan ruang untuk dihargai.
APABILA SEORANG ARTIS MULA MENULIS CERITANYA SENDIRI
Penglibatan Nabila secara langsung dalam proses penciptaan “Cukup Sampai Sini” menjadi antara aspek paling bermakna dalam karya ini.
Buat pertama kalinya, beliau mengambil langkah lebih jauh dengan menghasilkan lagu sendiri, bekerja bersama Justin Seow Seng Tack untuk membentuk melodi, karakter muzik serta keseluruhan nuansa karya.
Menurut Nabila, proses tersebut memberikan pengalaman baharu yang cukup berharga kerana setiap elemen lagu perlu benar-benar mewakili perkara yang ingin disampaikannya.
“Ini merupakan kali pertama saya menulis lagu sendiri dan pengalaman itu sangat menarik untuk saya. Bila saya dapat idea, saya teruskan proses ini bersama Justin Seow Seng Tack. Kami banyak berbincang tentang apa yang sesuai dari segi bunyi dan karakter lagu.”
Nabila mahu karya ini membawa mesej yang kuat tanpa kehilangan sifat ringan, menyeronokkan dan mudah diterima.
Malah, dari segi muzik, beliau memilih untuk kembali menyentuh karakter lagu yang pernah dekat dengan dirinya menerusi karya seperti “Vroom Vroom” dan “Pematah Hati”, selepas menerima permintaan daripada pendengar yang mahu melihat sisi tersebut kembali dalam muziknya.
Cabaran terbesarnya adalah mencari keseimbangan antara melodi yang mudah melekat, lirik yang mudah difahami dan mesej yang cukup dekat dengan pengalaman pendengar.
“Saya mahu bila mereka dengar lagu ini, mereka bukan sahaja boleh menikmati muziknya, tetapi juga rasa macam, ‘Eh, ini macam cerita saya.’”
“CUKUP SAMPAI SINI” BUKAN SEKADAR CERITA PUTUS CINTA
Di sebalik judulnya yang cukup tegas, “Cukup Sampai Sini” tidak dibina semata-mata sebagai sebuah lagu tentang perpisahan.
Ia adalah sebuah karya mengenai kesedaran.
Kesedaran bahawa seseorang mempunyai batas. Kesedaran bahawa tidak semua perkara perlu dipertahankan. Dan kesedaran bahawa memilih untuk pergi tidak semestinya bermakna seseorang itu kalah.
Nabila melihat mesej tersebut sebagai sesuatu yang boleh berlaku dalam pelbagai bentuk hubungan — bukan sahaja percintaan, tetapi juga persahabatan, pekerjaan dan hubungan sesama manusia.
“Kita semua pernah sampai satu tahap dalam hidup di mana kita terlalu banyak memberi peluang, terlalu banyak cuba untuk faham orang sampai terlupa menghargai diri sendiri.”
“Cukup Sampai Sini bagi saya adalah tentang satu momen apabila kita sedar bahawa sudah cukup. Ada masanya, kita perlu berani untuk berkata, ‘it’s enough’ dan memilih untuk melangkah pergi.”
Bagi Nabila, keputusan untuk berhenti tidak semestinya lahir daripada kebencian atau keinginan untuk membalas dendam.
Sebaliknya, ia boleh menjadi satu bentuk penghormatan terhadap diri sendiri.
DARIPADA KECEWA KEPADA KEKUATAN
Diterbitkan dan disusun oleh Justin Seow, yang turut bertindak sebagai penerbit muzik, “Cukup Sampai Sini” sengaja tidak dibalut dengan nuansa terlalu murung walaupun temanya bersentuhan dengan kekecewaan.
Sebaliknya, karya ini bergerak daripada rasa kecewa menuju kekuatan.
Muziknya hadir dengan tenaga yang lebih ringan, dinamik dan mudah dinikmati, seolah-olah mengajak pendengar untuk tidak terlalu lama tinggal dalam sebuah episod yang telah selesai.
“Bila kita dengar lagu tentang kecewa, selalunya kita bayangkan sesuatu yang sangat sedih dan galau. Tapi untuk lagu ini, saya tak mahu ia jadi begitu. Saya nak bawa perasaan kecewa itu kepada sesuatu yang lebih positif — bagaimana kita boleh bangkit, kuatkan diri dan terus bergerak ke depan.”
Antara elemen yang menjadi pernyataan penting dalam lagu ini ialah bahagian “NO MORE, NO MORE” — sebuah seruan yang menggambarkan keputusan untuk tidak lagi memberi ruang kepada alasan, drama dan kitaran kekecewaan yang sama.
Bagi Nabila, ia merupakan manifestasi untuk berani berkata tidak.
“Kadang-kadang kita takut nak cakap ‘no’ dan terlalu jadi yes man. Saya suka bila bahagian itu dinyanyi ramai-ramai sebab ia macam satu manifest — no more excuses, no more drama, no more bagi peluang.”
NABILA RAZALI DAN SUARA YANG SEMAKIN DITEMUI
Perkembangan Nabila sebagai pencipta lagu dan penulis lirik hadir seiring dengan perubahan perspektifnya terhadap perjalanan seni sendiri.
Jika dahulu pandangan dan jangkaan orang lain lebih banyak mempengaruhi cara beliau melihat dirinya sebagai artis, kini Nabila semakin yakin menentukan perkara yang ingin disampaikan menerusi karya.
“Sekarang saya rasa saya lebih kenal diri saya. Kalau dulu saya asyik fikir apa yang orang cakap pasal diri saya atau apa yang orang fikir dan harapkan, tapi sekarang saya lebih berani dan tahu apa yang saya nak sampaikan sebagai seorang artis.”
Perubahan tersebut turut diterjemahkan menerusi “Cukup Sampai Sini” — sebuah karya yang memberi Nabila ruang untuk lebih aktif dalam aspek penulisan, muzik, karakter serta dunia visualnya.
Ia memperlihatkan seorang Nabila yang lebih santai, berani dan terbuka untuk bereksperimen.
“Bagi saya, lagu ini bukan sekadar break-up song, tetapi lebih kepada lagu untuk bangkit semula. Saya memang dari dulu suka membawa mesej tentang bagaimana seorang wanita, walaupun pernah kecewa atau terluka, tetap boleh bangun, bangkit dan memilih dirinya sendiri.”
Dan pada akhirnya, mesej yang ingin ditinggalkan Nabila cukup sederhana tetapi kuat:
“I will be fine, I choose myself.”
DUNIA “HIGH SCHOOL” YANG CERIA DAN PENUH WARNA
Jika lagu membawa pendengar kepada sebuah perjalanan emosi, muzik video “Cukup Sampai Sini” pula mengajak mereka memasuki sebuah dunia yang jauh lebih berwarna.
Mengambil konsep high school, Nabila memilih latar persekolahan yang dekat dengan pengalaman ramai — cinta pertama, persahabatan, crush, karakter pelajar dan dinamika hubungan yang terbentuk pada zaman tersebut.
“Saya nak sesuatu yang menyeronokkan. Saya percaya ramai anak-anak muda boleh kaitkan diri mereka dengan suasana sekolah.”
Bagi merealisasikan dunia tersebut, keseluruhan set sekolah dibina khas di dalam sebuah studio.
Pendekatan ini membolehkan pasukan produksi mengawal suasana, warna, karakter dan pergerakan visual secara lebih menyeluruh.
Setiap ruang pula dibina dengan identiti tersendiri, seolah-olah membawa penonton masuk dari satu babak ke satu babak dalam dunia “Cukup Sampai Sini”.
12 CAMEO, 12 KARAKTER, SATU DUNIA
Lebih mencuri perhatian, muzik video ini turut menghimpunkan barisan cameo daripada kalangan selebriti dan pencipta kandungan yang masing-masing membawa karakter tersendiri.
Antaranya ialah Ain Edruce, Yaya Zahir, Siti Khadijah, Adriana Adnan, Riena Diana, Lunia Ara, Syieda, Tengku Ratu, Eusoff, Kahoe Hon, Fadhli Masoot, Aimien dan Irfan Hifny.
Nabila sendiri tampil menerusi karakter “The One Who Had Enough”.
Pemilihan personaliti tersebut dibuat berdasarkan karakter, tenaga dan vibes yang mampu mereka bawa ke dalam dunia sekolah yang dibentuk khas untuk muzik video ini.
Ada yang tampil sebagai pelajar popular, pelajar bijak, class clown, karakter misteri dan pelbagai lagi personaliti yang menjadikan keseluruhan dunia visualnya lebih hidup.
“Saya tak nak semua orang nampak sama. Mereka datang dengan karakter masing-masing dan kehadiran mereka sedikit sebanyak membantu menjadikan keseluruhan muzik video ini seolah-olah sebuah kumpulan pelajar sekolah yang sebenar.”
Bagi Nabila, pengalaman tersebut juga menjadi antara momen paling menyeronokkan sepanjang pembikinan muzik video.
Sebahagian daripada mereka hadir dengan idea serta karakter sendiri, menjadikan proses penggambaran terasa seperti sebuah pertemuan semula rakan-rakan sekolah dalam versi yang lebih kreatif dan penuh warna.
SEBUAH BAB BAHARU DALAM PERJALANAN NABILA
“Cukup Sampai Sini” akhirnya berdiri sebagai lebih daripada sebuah single.
Ia menjadi gambaran tentang sebuah fasa baharu dalam perjalanan Nabila Razali — seorang penyanyi yang kini semakin berani mendekati proses penciptaan, menulis dengan suara sendiri dan menentukan arah kreatif yang ingin dibawanya.
Daripada mencipta lagu bersama Justin Seow Seng Tack dan menulis keseluruhan lirik, sehinggalah kepada pembentukan karakter muzik serta dunia visual yang penuh warna, karya ini memberikan ruang kepada Nabila untuk memperlihatkan sisi dirinya yang lebih matang dalam berkarya.
Dan mungkin di situlah letaknya kekuatan “Cukup Sampai Sini”.
Ia tidak mengajak seseorang untuk terus hidup dalam luka.
Sebaliknya, ia mengingatkan bahawa selepas kecewa, masih ada pilihan untuk bangun. Selepas terlalu lama bertahan, masih ada keberanian untuk melepaskan. Dan selepas belajar memahami orang lain, ada masanya kita perlu belajar memahami serta menghargai diri sendiri.
Cukup Sampai Sini.
Bukan kerana tiada lagi rasa.
Tetapi kerana akhirnya, seseorang itu sudah cukup mengenali nilainya sendiri untuk berkata — sampai di sini sahaja.
“I will be fine. I choose myself.”
TENTANG “CUKUP SAMPAI SINI”
Artist: Nabila Razali
Songwriter / Lyricist: Nabila Razali
Composer: Justin Seow Seng Tack & Nabila Razali
Producer: Justin Seow
Arranger: Justin Seow
Original Publisher / Sub Publisher: Faithful Publishing Sdn Bhd
Sub-Publisher: Warner Chappell Malaysia
“Cukup Sampai Sini” diterbitkan oleh Nabila Razali Entertainment, Malika Entertainment & Management serta diedarkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia.
Lagu ini boleh distrim di semua platform digital sejak 11 September 2026, manakala muzik video rasmi mula ditayangkan di YouTube pada 22 September 2026.





