MENARA REZEKI PERKUKUH EKOSISTEM PEMBINAAN NEGARA MELALUI KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA CIDB HOLDINGS DAN JC LOGISTICS
Menara Rezeki Sdn Bhd (MRSB), syarikat Bumiputera G7 berpengalaman luas dalam projek pembangunan berprofil tinggi di seluruh negara, hari ini mengorak langkah penting dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama CIDB Holdings Sdn Bhd (CIDBH) serta Perjanjian Usahasama (JVA) bersama JC Logistics Sdn Bhd (JCL).
Langkah strategik ini menandakan satu penyatuan kepakaran industri bagi memperkukuh pengurusan kemasukan bahan binaan dari China secara lebih tersusun, berkesan dan selamat, sekali gus menyokong transformasi industri pembinaan negara ke arah ekosistem lebih cekap, mampan dan kompetitif.
Pengarah Urusan MRSB, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff, menegaskan kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada era baharu pengurusan bahan binaan dan logistik.
“Gabungan kepakaran CIDB Holdings dalam pensijilan dan standardisasi, keupayaan Menara Rezeki dalam pengurusan projek berskala besar serta jaringan logistik mantap JC Logistics akan membentuk satu ekosistem pembinaan yang lebih berdaya saing. Usaha ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, malah meningkatkan keyakinan pelabur serta memberi manfaat langsung kepada pemain industri di seluruh negara,” katanya pada majlis menandatangani MoU dan JVA tersebut.
Majlis ini turut disaksikan oleh Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), YBrs. Puan Zainora Zainal, yang menegaskan inisiatif ini mencerminkan sinergi strategik antara pelaksana projek dan pemudah cara industri.
“Melalui platform ASSURE, kerjasama ini akan memperkemas proses pengimportan bahan binaan dengan lebih teratur, menjimatkan kos, mengurangkan risiko kelewatan serta meningkatkan kualiti keseluruhan projek. Inisiatif ini akan memperkukuh reputasi pemain tempatan di mata pelabur global,” ujarnya.
Menyokong Agenda Nasional & Teknologi Baharu
Kerjasama tiga pihak ini turut selari dengan Dasar Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menekankan transformasi melalui kecerdasan buatan (AI), 5G, IoT dan digitalisasi. Inspirasi kerjasama ini tercetus daripada penyertaan MRSB dalam China International Import Exhibition (CIIE) 2024, yang memperlihatkan teknologi bahan binaan berinovasi tinggi, berkualiti antarabangsa serta berdaya kos efektif.
Datuk Saiful menambah:
“Perjanjian ini bukan sekadar dokumen simbolik, tetapi titik tolak kepada perubahan struktur industri pembinaan negara. Dengan teknologi moden, kita dapat mempercepatkan tempoh pembinaan, mengurangkan pembaziran bahan, meningkatkan keselamatan tapak dan menjimatkan kos jangka panjang.”
Tentang Menara Rezeki Sdn Bhd (MRSB)
Ditubuhkan pada 2002, Menara Rezeki Sdn Bhd bermula sebagai pakar reka bentuk dalaman sebelum berkembang sebagai syarikat G7 berdaya saing. Hari ini, MRSB terlibat dalam pelbagai sektor merangkumi pembinaan, hospitaliti, makanan & minuman (F&B), pertanian, kesihatan, tenaga boleh diperbaharui, biomass, rawatan air dan teknologi digital.
Tentang CIDB Holdings Sdn Bhd (CIDBH)
CIDB Holdings ialah anak syarikat milik penuh CIDB Malaysia yang bertindak sebagai platform strategik bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti industri pembinaan negara. Melalui pelbagai inisiatif, CIDBH berperanan penting dalam memperkukuh kedudukan industri tempatan di peringkat global.
www.cidbholdings.com.my





