MEMBINA MASA DEPAN KREATIF: POCKET TV DAN RASYAH STUDIO ACADEMY SATUKAN ASPIRASI INDUSTRI

Pocket TV, Rasyah Studio Academy Jalin Kerjasama Strategik Sempena Pembukaan Cawangan Baharu di Ampang

 POCKET TV dan Rasyah Studio Academy hari ini memeterai kerjasama strategik sempena majlis pra-pelancaran (soft launching) cawangan baharu Rasyah Studio Academy di Taman Cahaya Indah, Ampang, sebagai usaha memperkukuhkan pembangunan industri kreatif dan bakat seni tempatan.

Majlis itu menghimpunkan rakan media, penggiat industri kreatif, pelanggan, rakan strategik serta komuniti setempat yang selama ini menyokong perkembangan Rasyah Studio Academy.

Pemilik Rasyah Studio Academy, Puan Inday Che, berkata pembukaan cawangan baharu itu merupakan sebahagian daripada perancangan syarikat untuk menyediakan ruang kreatif yang lebih kondusif kepada masyarakat, khususnya bagi aktiviti seni persembahan, pendidikan dan pembangunan bakat.

“Bersempena pra-pelancaran ini, kami menawarkan kadar sewaan studio pada harga promosi RM60 sejam, manakala pelanggan yang membuat tempahan selama tiga jam akan menerima tambahan satu jam penggunaan secara percuma.

“Kemudahan studio ini sesuai digunakan bagi kelas tarian, lakonan, peragaan, seminar, kursus solekan profesional, sesi kecergasan seperti Zumba, sambutan ulang tahun serta pelbagai program komuniti dan korporat,” katanya.

Menurut beliau, Rasyah Studio Academy turut mempunyai rekod sebagai lokasi penggambaran drama tempatan, termasuk produksi terbitan Zeel Production yang membabitkan pelakon berpengalaman Fauziah Ahmad Daud (Ogy) dan penyanyi Aishah Retno.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Rasyah Studio Academy, Kos Serani, berkata kerjasama dengan Pocket TV dijangka membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri kreatif melalui penghasilan kandungan digital, latihan profesional serta pembangunan bakat.

“Kolaborasi ini bukan sahaja memperluaskan jaringan kerjasama industri, malah menjadi platform untuk memperkenalkan lebih ramai bakat baharu kepada khalayak yang lebih luas menerusi kandungan kreatif dan media digital,” katanya.

Beliau berkata pembukaan cawangan Ampang turut memperkukuhkan kedudukan Rasyah Studio Academy sebagai pusat sehenti bagi latihan seni, pembangunan kandungan kreatif dan penyewaan studio pelbagai fungsi di Lembah Klang.

Majlis pra-pelancaran turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif, penyampaian cenderahati kepada tetamu serta promosi khas yang ditawarkan sepanjang program berlangsung.

Rasyah Studio Academy terletak di 6-1, Persiaran Cahaya 2, Taman Cahaya Indah, 68000 Ampang, Selangor, dan menyediakan kemudahan bagi pelbagai aktiviti seni, pendidikan, produksi serta acara korporat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *