MEMAAFKAN TAPI…
.
Biasa kita akan mengatakan saya maafkan awak tetapi tidak melupakan apa yang awak telah buat. Tapi malam tadi di forum sempena sambutan Maulidur Rasul 1447H, Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan Ustaz Fawwaz Fadzil memberikan persepsi berbeza pula.
.
Mulai hari ini kita maafkan apa juga perbuatan orang lain dan lupakan segalanya untuk mendidik jiwa kita dengan sifat jujungan mulia ; Rahmah dalam apa perkara sekalipun.
.
Menurut beliau dalam forum bertema “ Rasullulah sebagai Teladan Perpaduan Bangsa dan Pembinaan Negara” di Masjid Abdul Rahman Bin Auf – MARBA, Kuala Lumpur, bersifat rahmah adalah untuk ketenangan jiwa kita sekaligus berdamai dengan takdir dalam kehidupan kita.
.
Hakikatnya sifat mulia Nabi Muhammad S.A.W. adalah keperibadian terpuji dalam semua perkara. Bersikap baik untuk semua tanpa mengira sesiapa hatta bukan Islam maupun haiwan serta alam sekalipun.
.
Satu hal buat saya teruja dengan ceramah beliau apabila jabatan mufti Wilayah Persekutuan sentiasa mengikut trend dalam berdakwah. Teknologi terkini seperti Ai turut digunakan di samping turun bertemu orang ramai untuk lebih dekat sekaligus menyelami apa juga permasalahan awam.
.
Mufti yang paling muda dikalangan mufti- mufti di Malaysia ini, mudah didekati dan disantuni. Kita tidak berasa terasing di sisi beliau meskipun status beliau selaku mufti. Saya teruja dengan pengalaman bertemu beliau malam tadi. 
.
Pesanan akhir beliau ketika menutup forum amat membuka mata saya. Beliau menyarankan setiap masjid memperuntukkan ruang untuk jemaah wanita turut bersolat jumaat. Ianya sesuatu yang baharu di Malaysia jika diadakan, sedangkan di negara Arab soal ini kebiasaan.
Turut bersama Pendakwah Muda Ustazah Nazirah Abu Bakar, yang petah berkata-kata dan mencuit hati. Sehinggakan cerita perkahwinan Fattah Amin dan Amira Othman pun terselit. Setiap intipati ceramah beliau bersahaja dengan loghat Kedahnya namun penuh bermakna mesej.
.
Sahabat baik saya Azman Mohd Nawi selaku moderator forum berjaya mengemudi perjalanan majlis dengan bijaksana. Ketiga mereka saling melengkapi peranan masing-masing.
.
Sesungguhnya dalam agenda hidup yang penuh warna warni ini, tiada figura lain yang wajar kita agungkan dan contohi selain jujungan mulia Rasulullah. Semoga hidup kita akan sentiasa diberi rahmatNya sekaligus mendapat syafaat Nabi Muhammad S.A.W. di kehidupan kita dunia dan akhirat. Ameen.
.
Ayuh Sahabat Syurga semua; kita saling berkasih sayang dan memaafkan satu sama lain tanpa dipinta serta memulakan agenda hidup dengan berpaksikan nilai murni, rahmah dan syukur.





