MAWO MENDUNIA : DARI TROLAK KE PRAGUE

KONSERT DESAKU MENDUNIA MERIAH, MRSM ULUL ALBAB FELDA TROLÁK BAKAL HARUMKAN NAMA DI PRAGUE
 
Konsert Desaku Mendunia yang berlangsung penuh warna-warni dan sarat dengan nilai seni budaya tempatan telah berjaya menarik perhatian lebih 2,000 pengunjung di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur selama 2 malam penganjuran.
 
Persembahan oleh MAREMAF Wind Orchestra (MAWO) yang dianggotai seramai 59 orang pelajar MRSM Ulul Albab FELDA Trolak menjadi kemuncak acara apabila mereka mempersembahkan alunan muzik bertaraf antarabangsa dan diiringi oleh artis terkenal tanah air seperti Dato’ Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah, Yabang, Datuk Suhaimi Sulaiman dan ramai lagi.
 
Kumpulan MAWO yang telah menjalani latihan intensif di bawah bimbingan tenaga pengajar berpengalaman bakal mengharumkan nama Malaysia apabila dijadualkan menyertai pertandingan orkestra di Prague, Republik Czech.
 
Pertandingan tersebut akan menghimpunkan penyertaan dari 11 buah negara, menjadikan penglibatan MAWO sebagai satu pencapaian besar bukan sahaja buat MRSM Ulul Albab, tetapi juga buat FELDA secara keseluruhannya.
Ini adalah bukti nyata bahawa pendidikan dan pembangunan holistik yang ditawarkan kepada anak-anak FELDA mampu melahirkan generasi cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk seni dan muzik.
 
Dalam majlis yang sama, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah menyempurnakan Pra-Pelancaran Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) yang akan berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur.
 
Menurut beliau, MK3D adalah simbol kerjasama strategik antara agensi kerajaan yang bertujuan memperkasa komuniti luar bandar secara menyeluruh. Karnival ini menggabungkan Karnival Usahawan Desa (KUD) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Hari Peneroka FELDA 2025 anjuran FELDA.
 
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa penganjuran besar-besaran ini akan mencetuskan lonjakan kepada potensi luar bandar sebagai pemacu ekonomi nasional.
 
FELDA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Konsert Desaku Mendunia dan seluruh warga FELDA dan rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan kejayaan kumpulan MAWO dalam pertandingan antarabangsa di Prague kelak, agar mereka dapat mengharumkan nama Malaysia dan membanggakan komuniti FELDA di pentas dunia.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
Galakkan Siaran · Boost post
 
All reactions:
Kos Sarani
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *