INSOMNIACKS PERTARUH “LOVE ME OR NOT”, LANGKAH STRATEGIK MENUJU PASARAN ANTARABANGSA
Kolaborasi bersama pencipta lagu Sweden membuka lembaran baharu buat kumpulan pop popular itu, disusuli peluang beraksi sebagai pembuka tirai konsert 5 Seconds of Summer.
KEHEBATAN mencipta pelbagai kejayaan menerusi rangkaian lagu hit yang mengukuhkan kedudukan mereka dalam landskap muzik tempatan, kumpulan pop popular Insomniacks kini melangkah lebih jauh dengan mempertaruhkan “Love Me Or Not”, sebuah single penuh berbahasa Inggeris yang menjadi simbol evolusi artistik serta aspirasi mereka untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Lebih daripada sekadar sebuah karya baharu, Love Me Or Not menandakan permulaan fasa baharu dalam perjalanan muzik Insomniacks apabila mereka menjalin kolaborasi kreatif bersama barisan pencipta lagu dari Sweden. Diterbitkan oleh penerbit tersohor Johan Gustafsson, lagu ini menyatukan kepakaran kreatif rentas negara bagi menghasilkan sebuah karya pop moden yang segar, kontemporari dan mempunyai daya tarikan sejagat.
Single ini digubah oleh Rebbi James, Johan Gustafsson, Iqie, Danial dan Iskandar, yang turut bertindak sebagai penulis lirik. Sentuhan akhir melalui proses adunan (mixing) dan mastering oleh Martin Hansen bersama Johan Gustafsson pula memperkukuhkan kualiti produksi bertaraf antarabangsa tanpa menghilangkan identiti muzik yang sinonim dengan Insomniacks.
Menurut Insomniacks, keputusan menghasilkan lagu sepenuhnya dalam bahasa Inggeris merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memperluaskan capaian muzik mereka ke luar Malaysia.
“Ini bukan kali pertama kami menghasilkan lagu dalam bahasa Inggeris, jadi ia bukan sesuatu yang asing buat kami. Kali ini kami melihatnya sebagai peluang untuk memperkenalkan muzik Insomniacks kepada audiens yang lebih luas, khususnya di Filipina dan pasaran serantau. Kami mahu mencabar diri serta membuka lebih banyak ruang di peringkat antarabangsa,” ujar mereka.
Di sebalik susunan melodi yang moden dan mudah didekati, Love Me Or Not mengangkat tema cinta yang tidak berbalas—tentang keberanian menerima hakikat bahawa kasih sayang tidak semestinya dibalas, namun tetap memiliki nilai yang indah kerana lahir daripada keikhlasan.
“Lagu ini berkisar tentang menerima bahawa perasaan kita mungkin tidak akan dibalas, tetapi kita tetap memilih untuk menyayangi seseorang dengan ikhlas. Kami berharap mereka yang pernah melalui pengalaman seperti ini akan merasakan bahawa mereka tidak bersendirian,” kata mereka.
Menariknya, lagu ini lahir secara spontan ketika sesi songwriting camp, tanpa sebarang tekanan untuk menghasilkan single baharu. Dalam tempoh hanya satu hari, keseluruhan lagu berjaya disiapkan, sekali gus menjadi antara pengalaman kreatif paling bermakna sepanjang perjalanan seni mereka.
“Kami masuk ke studio tanpa sebarang jangkaan. Ia sekadar eksperimen kreatif, tetapi apabila lagu ini siap dan kami mendengarnya semula, kami semua terus yakin bahawa inilah karya yang mahu diperkenalkan terlebih dahulu sebelum album baharu,” jelas mereka.
Pengalaman bekerjasama dengan pencipta lagu antarabangsa turut memberikan dimensi baharu kepada pendekatan kreatif Insomniacks. Pendedahan terhadap pelbagai kaedah penulisan lagu membuka perspektif yang lebih luas serta menyuntik keyakinan untuk terus bereksperimen dalam menghasilkan karya-karya akan datang.
“Setiap pencipta lagu mempunyai pendekatan tersendiri. Pengalaman ini banyak mengajar kami tentang cara berfikir yang berbeza dalam menghasilkan muzik dan memberi inspirasi untuk terus berkembang sebagai artis,” tambah mereka.
Mengukuhkan lagi momentum tersebut, Insomniacks turut mencatat satu lagi pencapaian penting apabila diumumkan sebagai opening act bagi konsert kumpulan pop-rock antarabangsa 5 Seconds of Summer yang dijadual berlangsung pada 17 November dan 4 Disember 2026.
Peluang berprestij itu bukan sahaja menjadi pengiktirafan terhadap kredibiliti mereka sebagai antara kumpulan pop paling berpengaruh di Malaysia, malah membuka ruang yang lebih luas untuk memperkenalkan muzik tempatan kepada khalayak antarabangsa.
Mengakhiri perkongsian, Insomniacks berharap Love Me Or Not mampu menjadi teman kepada sesiapa yang sedang melalui episod cinta yang sukar.
“Ada masanya kita tidak mampu mengawal apa yang kita rasa, dan itu adalah sesuatu yang normal. Kami berharap lagu ini dapat menjadi peneman kepada mereka yang sedang melalui fasa tersebut serta mengingatkan bahawa setiap perasaan mempunyai nilainya sendiri.”
“Love Me Or Not” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital di seluruh dunia.





