NAKI & Mitty Zasia Satukan Dua Warna Muzik Serantau Menerusi “Lepas Pegangan”
SELEPAS mencipta kejayaan bersama Fahimi menerusi lagu “Masa”, penyanyi dan penulis lagu Malaysia, NAKI kembali dengan langkah lebih berani. Kali ini beliau menyeberang ke Yogyakarta untuk berkolaborasi dengan penyanyi-penulis lagu tersohor Indonesia, Mitty Zasia, yang pernah mencuri perhatian peminat muzik Malaysia dengan hit “Yang Lain Boleh Hilang Asal Kau Jangan”.
Kolaborasi istimewa ini terlahir dalam bentuk single berjudul “Lepas Pegangan” – sebuah karya yang merentasi sempadan negara dan menyatukan dua budaya muzik serantau. Lagu ini dicipta sepenuhnya oleh NAKI dan Mitty, menampilkan dua gaya penulisan yang berbeza tetapi berpadu dengan harmoni.
Mengangkat tema melepaskan, menerima, dan berdamai dengan kenyataan, “Lepas Pegangan” hadir bukan sekadar lagu patah hati, sebaliknya ruang refleksi untuk pendengar menemukan makna peribadi masing-masing.
“Lagu ini sangat dekat dengan pengalaman kami. Ia lahir daripada kisah benar yang kami kongsi bersama sebelum proses penulisan bermula. Saya percaya pendengar akan menemui tafsiran mereka sendiri,” ujar NAKI.
Projek ini bermula secara spontan sewaktu NAKI menghadiri writing camp di Yogyakarta dan berkunjung ke studio Mitty. Dari pertemuan ringkas, lahirlah satu perjalanan kreatif yang pantas namun penuh makna. Proses rakaman dilakukan sepenuhnya di Yogyakarta – pengalaman yang dianggap istimewa oleh NAKI kerana disambut seperti keluarga.
Mitty Zasia turut menekankan keistimewaan kolaborasi ini:
“Sejujurnya, lagu ini terasa perlu ada sentuhan featuring. Saat bertemu NAKI, saya tahu dialah orangnya. Vibes bekerjasama sangat santai tetapi produktif. Dalam masa singkat, lagu ini lengkap dengan jiwa yang kami mahu.”
Selain itu, visualizer rasmi “Lepas Pegangan” turut memperlihatkan kreativiti kedua-dua artis apabila mereka merakam bahagian masing-masing dengan kamera peribadi, memberikan sentuhan jujur dan organik.
Melalui karya ini, NAKI berharap ia menjadi jambatan untuk memperkenalkan lagi muzik Malaysia dan Indonesia kepada khalayak yang lebih luas.
“Lepas Pegangan” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital, manakala Official Visualizer boleh ditonton di saluran YouTube rasmi NAKI.





