MUZIK DAN FESYEN BERSATU ; LAST MINIT KOLABORASI TERBAIK KILLA DRIZ BERSAMA JOE FLIZZOW DAN SONA ONE
Killa Driz timba ilmu berharga daripada Joe Flizzow dan SonaOne hasilkan lagu ‘Last
Time’
Satu penghormatan tertinggi buat penyanyi rap muda, Killa Driz apabila dapat berkerjasama dengan Raja Hip Hop Malaysia, Joe Flizzow serta SonaOne untuk lagu terbaharunya berjudul Last Time.
Killa Driz juga memiliki impian besar untuk berkongsi studio rakaman dengan dua nama ikonik itu.
Dan impiannya menjadi realiti apabila projek terbabit akhirnya direalisasikan.Lebih menarik, lagu Last Time pun asalnya bukan dihasilkan untuknya sebelum dihadiahkan Joe.
Menurut Killa Driz, Joe telah membimbingnya membantu beliau berkembang dan berjaya sebagai seorang artis untuk menjadi versi terbaik dirinya dalam bidang muzik.
Semestinya dia menyambar peluang itu dengan hati berbunga-bunga kerana tahu hasil
sentuhannya pasti padu. Setiap proses kreativiti menyiapkan lagu itu benar-benar memberinya
nikmat tidak terhingga.
“Proses penghasilannya cukup organik. Saya masih ingat SonaOne menelefon saya dan menyuruh untuk datang ke pejabat Joe.
“Apabila saya sampai, ‘beat’ lagu itu sudah pun
disiapkan. Joe bertanya sama ada saya sudah siap tulis liriknya atau belum. Kemudian kami tulis bersama dan saya sempurnakan bahagian rapnya.
“Asalnya lagu ini bukan saya punya dan tiada dalam perancangan sendiri pun untuk menyanyikannya. Kemudian saya teringat suatu hari itu, Joe cakap mahu hadiahkan saya sebuah lagu,” katanya.
Artis naungan Def Jam SEA (Asia Tenggara) ini mengakui prosesnya amat bermakna dari pelbagai aspek untuknya secara peribadi. Bahkan, dapat menimba ilmu daripada dua sifunya itu tambah semarakkan motivasi dirinya.
“Bekerja untuk lagu ini sangat membuka minda saya. Saya berhasil menimba banyak ilmu
daripada Joe dan SonaOne. Saksikan sendiri cara mereka bekerja.
“Terdapat banyak perubahan baik besar atau kecil yang dilakukan. Namun saya bersyukur
bahagian vokal yang awal-awal dibuat kekal digunakan juga kerana lebih jujur. Kami juga ada menambah lapan bar,” katanya.
Killa Driz berkongsi Last Time adalah sebuah lagu berkisar perlakuan membandingkan masa
lalu dan sekarang. Jalan ceritanya melambang perihal mendewasa dan menjadi diri-sendirilah.
Dalam pada itu, SonaOne menjelaskan konsep klasik dan mengetengahkan fesyen disuntik untuk muzik video (MV) lagu ini. Ringkas namun penuh kelas, dia percaya konsep itu sempurnakan lagi Last Time.
“Konsep asalnya adalah berdasarkan fesyen merentasi zaman, bermula dari masa lalu.
Kemudian saya fikir menarik untuk menampilkan dan menukar pakaian yang berbeza dari pelbagai era. Kami juga mengekalkan konsep dengan visual yang berlatar belakangkan dinding putih. Kami mengekalkan elemen klasik, sama seperti dahulu ketika TV hanya hitam dan putih,” jelasnya.
Selepas kejayaan lagu terdahulunya termasuk RAP$TAR dan Cuci Mata, Killa Driz kian
menambat hati pencinta muzik tempatan dan nusantara. Dia antara pelapis muda yang tegar
memartabatkan lagi genre terbabit.
Dia juga sudah ada perancangan besar akan datang. Misinya tidak lain untuk terus mengukuhkan nama baik pada karyanya serta kehadirannya dalam industri muzik tempatan serta antarabangsa.
“Saya bakal melancarkan album pertama pada tahun ini di bawah Def Jam SEA dan juga naikkan lagi penjenamaan saya,” katanya.
Killa Driz menulis lirik Last Time bersama-sama Joe dan SonaOne. SonaOne juga memikul tanggungjawab besar sebagai komposer, penyusun, dan produser untuk keseluruhan lagu itu.
“Last Time” kini boleh didapati di semua platform digital bermula 28 Februari 2025 dan video muziknya juga boleh ditonton di YouTube rasmi Killa Driz.





