PUTERA BOBO HADIR DENGAN SINGLE KEDUA “KISAH HIDUPKU” — SEBUAH NARATIF JUJUR TENTANG REALITI HIDUP
SELEPAS kejayaan luar biasa single sulung Korban Rindu yang meraih lebih 1 juta tontonan di saluran YouTube rasmi Nova Music Malaysia, bintang muda berusia 14 tahun, Putera Bobo, kembali mengukir momentum dengan karya terbaharu berjudul “Kisah Hidupku”. Kehadiran single ini bukan sekadar buah tangan kedua, tetapi sebuah pengkisahan jujur yang menggambarkan realiti kehidupan masyarakat, khususnya anak-anak yang membesar dalam serba kekurangan.
Dicipta oleh ibunya, Elyani Queen, bersama komposer tersohor Eddie Hamid, “Kisah Hidupku” lahir daripada kisah-kisah kecil yang dekat di hati rakyat—tentang perjalanan hidup, keperitan, dan ketabahan yang membentuk jiwa. Lagu ini turut tampil unik melalui dendangan dalam dialek Kelantan, sebuah elemen yang memperkukuh keaslian dan rasa.
Elyani berkongsi bahawa lagu tersebut pada awalnya hanya separuh siap sebelum mendapat sentuhan Eddie Hamid yang menyarankan agar karya itu diteruskan sehingga lengkap. “Asalnya hanya serangkap, tapi melodinya sudah cukup kuat. Bila abang Eddie dengar, dia minta saya teruskan kerana katanya lagu ini ada jiwa. Selepas itu kami sama-sama sempurnakan lagu dan liriknya dengan bantuan Zaza dan Rumie,” ujar Elyani yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu untuk dirinya serta beberapa penyanyi lain.
Mengangkat tema kehidupan masyarakat marhaen, Elyani menjelaskan bahawa lagu ini bukan sekadar mengenai Putera Bobo, sebaliknya mewakili suara mereka yang berjuang dalam kesempitan. “Ramai anak-anak melalui kesusahan sebelum berjaya. Ada yang ke sekolah dalam keadaan lapar. Kisah-kisah begini yang saya mahu kita ingat, dan Putera menyampaikannya bagi pihak mereka,” jelasnya.
Proses rakaman dijalankan pada Oktober lalu di Studio SSR, dan Putera Bobo hanya memerlukan masa singkat untuk menyiapkan vokalnya kerana sudah sebati dengan lagu tersebut. Video muzik rasmi pula menjalani penggambaran di kampung halaman mereka di Jerteh, Terengganu—suatu pilihan yang mengekalkan keaslian naratif lagu.
Bagi Eddie Hamid, yang turut bertindak sebagai penerbit, tarikan utama lagu ini adalah kesederhanaannya yang menyentuh. “Walaupun pada awalnya cuma serangkap, melodi dan liriknya sudah cukup kuat. Tak ada masalah lagu dialek Kelantan diketengahkan kerana apa yang penting ialah mesejnya sampai ke hati pendengar,” tegasnya.
“Kisah Hidupku” kini boleh didengarkan di semua pelantar penstriman utama, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.





