“ONE ON ONE”, PEMBUKA PERJALANAN KE ARAH ALBUM PENUH
Kolaborasi Bersama ALYPH Menandakan Evolusi Muzik Yang Lebih Matang, Jujur dan Sarat Emosi
SELEPAS beberapa tahun mengukuhkan kedudukannya sebagai antara figura paling berpengaruh dalam landskap muzik pop moden tempatan, penyanyi dan penulis lagu Ismail Izzani kini melangkah ke fasa baharu dalam perjalanan seninya menerusi pelancaran single terbaharu, “ONE ON ONE”.
Diterbitkan oleh Universal Music Malaysia serta ditulis dan diterbitkan oleh penerbit prolifik ALYPH, karya ini bukan sekadar sebuah single baharu, malah menjadi pembuka tirai kepada album penuh Ismail yang dijadualkan menemui peminat tahun ini. Ia mencerminkan kematangan artistik yang semakin terserlah, sekali gus memperlihatkan hala tuju muzik yang lebih jelas dan autentik.
Mengangkat naratif cinta yang ringkas namun penuh makna, “ONE ON ONE” meraikan keindahan saat-saat paling intim antara dua insan yang saling menyayangi. Lagu ini menggambarkan keinginan untuk melupakan seketika kesibukan dunia luar demi menikmati detik yang tulus bersama insan tersayang, menjadikan setiap pertemuan sebagai memori yang bernilai.
“Lagu ini sangat straightforward. Ia tentang seseorang yang kita benar-benar sayang dan bagaimana kita hanya mahu meluangkan masa bersamanya, walaupun hanya untuk seketika. Bila bersama orang itu, rasa macam dunia berhenti sekejap dan hanya tinggal kita berdua,” ujar Ismail.
“ONE ON ONE” turut mempertemukan semula Ismail dan ALYPH, dua nama yang sebelum ini telah mencipta beberapa karya bersama. Namun menurut Ismail, proses pembikinan kali ini berlangsung dalam suasana yang lebih santai dan organik, membolehkan setiap idea berkembang secara semula jadi melalui hubungan profesional yang semakin akrab.
“Setiap kali masuk studio dengan ALYPH, kami bukan hanya berbual tentang muzik. Kami banyak berkongsi cerita tentang kehidupan dan perkara-perkara peribadi. Hubungan yang rapat itu menjadikan proses menghasilkan lagu lebih mudah dan jujur. ‘ONE ON ONE’ lahir daripada sesi brainstorming kami bersama, dan saya rasa itu yang menjadikan lagu ini lebih dekat dengan diri saya.”
Walaupun sesetengah pihak melihat lagu ini sebagai mengembalikan nuansa karya-karya awal yang pernah melonjakkan namanya seperti “Bidadari”, Ismail menegaskan bahawa matlamat utamanya bukan untuk mengulangi kejayaan lampau. Sebaliknya, beliau mahu memperkenalkan sisi muzik yang lebih matang dan mencerminkan perkembangan dirinya sebagai seorang artis.
“Saya tak mahu orang membandingkan lagu ini dengan karya-karya saya sebelum ini. Setiap lagu mempunyai cerita dan tempatnya yang tersendiri. Bagi saya, ‘ONE ON ONE’ adalah permulaan kepada fasa baharu. Ia memberi gambaran tentang vibe dan arah muzik yang saya ingin bawakan menerusi album akan datang.”
.
Single ini turut mempunyai nilai sentimental buat Ismail kerana merupakan karya pertama yang dipilih sebagai sebahagian daripada album baharunya. Berbeza dengan beberapa single terdahulu yang berdiri sebagai karya tersendiri, “ONE ON ONE” menjadi asas kepada sebuah projek yang telah dirancang sejak sekian lama bersama pasukan kreatifnya.
Dengan pengalaman yang semakin matang, perspektif yang lebih luas serta semangat baharu untuk terus berkarya, Ismail optimis evolusi muziknya akan diterima baik oleh peminat yang telah mengikuti perjalanan seninya sejak awal kemunculan.
“Saya harap semua orang boleh rasa vibe lagu ini dan menikmatinya. Saya juga harap mereka terus bersabar kerana saya dan seluruh pasukan sedang bekerja keras untuk menyiapkan album ini. Insya-Allah, banyak perkara menarik sedang menanti.”
Pelancaran “ONE ON ONE” menjadi simbol permulaan sebuah era baharu buat Ismail Izzani—era yang bukan sahaja menampilkan kematangan dari sudut muzik, malah memperkukuhkan identitinya sebagai seorang pengkarya yang sentiasa berkembang mengikut perjalanan hidup dan pengalaman.
“ONE ON ONE” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.





