Ceritakan perkembangan terkini anda?
Saya bertugas sebagai Pengacara di Selamat Pagi Malaysia TV1, Bicara Naratif TV1 dan sebagai moderator di Wacana Sinar harian
Untuk 2024, apakah misi dan visi anda?
Saya berazam untuk melengkapkan diri dengan ilmu baharu dan skill serta kemahiran yang berbeza seperti ilmu bahasa, muzik, sastera, seni mempertahankan diri dan kemahiran hidup
Apakah cabaran terbesar anda sebagai pengacara, host serta moderator terutama jika sesebuah program itu disiarkan secara langsung?
Cabaran terbesar pastinya apabila mempersiapkan diri dengan topik yang mencabar seperti topik politik, ekonomi, undang-undang, malah saya juga terlibat secara langsung dalam istiadat diraja dan istiadat ketenteraan jadi, ia memerlukan daya disiplin dan ilmu yang mencukupi untuk mengendalikan acara penting dan acara kenegaraan tersebut. Saya juga pernah terlibat dalam aturcara Istiadat Pemakaman Almarhum Sultan Pahang dan Sultan Kedah, yang mana persiapan hanya dalam masa sehari. Justeru segala ilmu dan kemahiran sebagai penyiar perlu dipraktikkan ditambah pula perlu mematuhi dan menguasai istiadat yang melibatkan istana dan kerabat diraja.
Bagaimana anda berhadapan dan mengatasi isu ‘stage fright’ atau gemuruh sebelum dan semasa program berlangsung?
Saya akan memastikan menguasai segala topik dan isi kandungan yang ingin disampaikan. Saya amat teliti dengan segala susun atur butir bicara saya demi memastikan tiada sebarang kesalahan dilakukan dan ia mencapai kehendak rancangan.
Antara momen dan anugerah terindah pernah anda lalui di sepanjang kerjaya pengacaraan ini?
Dinobatkan sebagai naib juara Ikon Siarawan RTM pada 2014, disitulah bermulanya kerjaya saya sebagai seorang wartawan, penyampai berita dan pengacara bual bicara.
.
Untuk remaja yang ingin memilih kerjaya dalam bidang pengacaraan, apa nasihat terbaik anda untuk mereka?
Pertama, kuasai ilmu pengetahuan dalam apa jua bidang. Kedua, jangan malu bertanya dan sentiasa merendah diri dan sanggup untuk ditegur. Ketiga, sentiasa bersedia dengan apa jua cabaran, kerana dunia kewartawanan dan penyiaran ibarat lautan yang penuh gelora.
Siapakah idola anda dalam bidang pengacaraan ini dan mengapa memilih beliau?
Dato’ Aznil Nawawi – beliau amat istimewa dan selayaknya menjadi pengacara nombor satu Malaysia. Najwa Shihab (Indonesia) – keberanian dan kepetahan mengendalikan rancangan bual bicara yang serius dan “hardtalk” dengan cara yang santai serta meyakinkan. Ryan Seacrest (Americal Idol US) – tenang, penuh karisma, profesional, dan definisi pengacara hiburan yang profesional.
Bakat lain yang ramai tidak tahu tentang diri anda?
Saya gemar berpuisi, menyanyi danmenulis karya sastera.
Gambarkan diri anda dalam tiga perkataan?
Sederhana, penuh angan-angan dan penyayang.
Prinsip hidup anda?
Hargai setiap pengalaman hidup dan kasihi semua insan yang hadir di sisi.
Sebagai seorang personaliti dan pengacara tv, apa rahsia anda untuk terus kekal bergaya, petah berbicara serta disenangi ramai?
Sentiasa up-to-date dengan isu semasa kerana dengan cara itu, kita akan mudah berbual dengan insan dari pelbagai latar belakang. Bagi penampilan, saya jadikan konsep sederhana dan kemas sebagai panduan pemakaian. tidak perlu mahal, cukup senang mata memandang.
Pandangan anda tentang baik buruknya kepesatan gelombang media sosial dikalangan netizen hari ini?
Kesan positifnya adalah segala perkara boleh dipelajari di internet dan ilmu sudah menjadi terlalu luas untuk dicakupi serta dipelajari, jadi terpulang kepada individu untuk memanfaatkannya. Sementara kesan negatif pula membuka ruang kepada budaya fitnah, membuka aib serta memburukkan insan lain. Jadi seharusnya media sosial perlu menjadi nilai tambah kepada insan yang berkualiti, bukan menjadikan diri kita dipandang serong.
Ucapan untuk para peminat dan penyokong anda selama ini?
Bagi yang pernah menonton saya dan melihat hasil kerja saya, terima kasih atas segala teguran dan kata-kata positif. Semoga segala doa yang baik-baik akan dikembalikan kepada anda semua. Insya-Allah.
Biodata :
Nama penuh : Mohd Ismail Adnan
Nama komersil : Ismail Adnan
Kerjaya : Wartawan dan Pengacara TV
Pendidikan : P Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang,
Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan
Asal : Rembau Negeri Sembilan
Adik beradik: 7 orang
Hobi : Menulis, mendengar lagu-lagu klasik
Anugerah : Naib Juara Ikon Siarawan 2024
Media sosial : FB/ Instagram/ Tiktok : ismailadnan90





