Daripada Malaysia ke Seoul: Produk PKS Tempatan Kini di Pasaran Korea Selatan
Inisiatif SME Corp Malaysia perkukuh eksport PKS ke pasaran global bernilai jutaan ringgit
SEBANYAK 10 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia bakal melangkah ke pasaran Korea Selatan menjelang Disember ini melalui Program Pengukuhan Eksport PKS – Inisiatif Mentor Eksport (ME) kendalian SME Corp Malaysia, dengan potensi transaksi awal dianggarkan mencecah jutaan ringgit.
Menurut Pengarah Projek dan Perunding (Malaysia–Korea Selatan), Mumtaz Jaya Sdn. Bhd, Nurul Farhana Abdullah, inisiatif yang dijalankan sejak dua tahun lalu di lima negara – Amerika Syarikat, China, Thailand, Jepun dan Indonesia – kini memilih Korea Selatan sebagai destinasi strategik keenam.
“Program ini menjadi ‘jalan pintas’ kepada usahawan tempatan untuk memulakan eksport ke luar negara melalui rangkaian mentor berpengalaman dan bimbingan menyeluruh,” ujar beliau selepas sesi fotografi rasmi Mentor Eksport – Pasaran Korea Selatan sempena expo SME Venture@ASEAN 2025 di MITEC, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, melalui pendekatan Kerajaan-ke-Kerajaan (G2G) antara Malaysia dan Korea Selatan, para usahawan menerima latihan intensif dalam aspek pemahaman peraturan, piawaian antarabangsa, strategi pemasaran serta adaptasi produk mengikut cita rasa pengguna Korea.
Nurul Farhana turut menegaskan bahawa program itu mempercepatkan proses eksport syarikat tempatan yang lazimnya mengambil masa panjang kerana perlu mematuhi pelbagai piawaian ketat negara pengimport.
“PKS yang menyertai program ini akan lebih bersedia dan berdaya saing. Antara keperluan utama termasuk pensijilan Good Manufacturing Practice (GMP) serta galakan memiliki HACCP atau ISO 22000, selain pendaftaran dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” katanya.
Tambah beliau, antara produk yang dikenal pasti berpotensi tinggi untuk pasaran Korea Selatan termasuk minuman, kopi, sardin, sambal dan mi segera. Produk Malaysia akan dipasarkan di bawah pengurusan BCMJ Global Sdn. Bhd., syarikat pengimport berpengkalan di Seoul yang akan menempatkan produk melalui vending machine jenama Kaja Mumtaz.
“Malaysia kini semakin dikenali di Korea sebagai pembekal bahan makanan eksotik dan berkualiti tinggi. Dengan sokongan SME Corp dan kerjasama BCMJ, kami yakin produk Malaysia akan mendapat sambutan yang memberangsangkan,” ujarnya.
Usahawan Malaysia Sedia Cipta Nama di Korea Selatan
Fara Jasseica Mohd Rashid, pengasas jenama minuman Oli di bawah MIWA Manufacturing Sdn. Bhd., berkata hubungan strategik yang dijalin melalui SME Corp banyak membantu syarikatnya menembusi pasaran eksport dengan bimbingan pematuhan piawaian negara luar.
“Selepas berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat dan Papua New Guinea, kami kini bersedia menjejakkan kaki ke Korea Selatan. Program ini membuka laluan baharu untuk produk kami di pasaran yang lebih besar,” katanya.
Beliau menambah bahawa minuman jeli Oli yang kini terjual lebih 500,000 pek sebulan di Malaysia mempunyai kekuatan tersendiri kerana menyasarkan pasaran kanak-kanak dan remaja.
Sementara itu, Pengasas Hijrah Nature Herbs, Mohamad M. Said, menyifatkan kejayaan syarikatnya menembusi enam pasaran antarabangsa termasuk China, Nigeria, Arab Saudi, Hong Kong dan Korea Selatan sebagai hasil usaha berterusan hampir dua dekad.
“Dengan bantuan kerajaan melalui SME Corp dan Mumtaz Jaya, kami dapat memperkukuh kapasiti pengeluaran dan kini mengeksport setiap dua bulan sekali. Kami menghasilkan lebih 23 produk dalam segmen makanan, minuman, kecantikan dan kesihatan termasuk ubat gigi, probiotik, kopi, teh dan minuman berperisa,” katanya.
Program ini dilihat sebagai langkah strategik memperkasa ekonomi PKS Malaysia, membuka akses kepada pasaran bernilai tinggi dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab eksport produk halal dan berkualiti di rantau Asia.





