FFM34 Julang Sinema Malaysia: Dana RM1 Juta Menanti Filem Terbaik
FESTIVAL Filem Malaysia ke-34 (FFM34) terus mengangkat martabat industri perfileman tanah air dengan tawaran geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta kepada pemenang kategori Filem Terbaik.
Pengumuman bersejarah itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching ketika Majlis Perasmian dan Pengumuman Top 5 FFM34. Tawaran ini sekali gus menggandakan sokongan kerajaan berbanding edisi lalu, sebagai bukti komitmen memperkukuh karya kreatif negara ke peringkat global.
“Ini bukan sekadar ganjaran kewangan, tetapi komitmen kerajaan untuk menyokong karya unggul agar terus berkembang dan menjangkau penonton antarabangsa,” tegas beliau.
Antara lima filem yang bersaing merebut trofi Filem Terbaik FFM34 ialah:
“Blood Brothers: Bara Naga”
“Soloz Game of Life”
“Takluk: Lahad Datu”
“Reversi”
“Babah”
Selain kategori utama, para pemenang 27 kategori lain akan menerima wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala penerima Anugerah Khas akan menerima RM10,000 dan trofi.
Bagi menghargai keunggulan teknikal, hadiah berupa fasiliti FINAS bernilai RM20,000 turut disediakan bagi tujuh kategori, termasuk Pengarah Harapan, Dokumentari Terbaik, dan Sinematografi Terbaik.
Kategori Baharu & Penghargaan Tokoh Seni
Mengikuti piawaian antarabangsa, FFM34 memperkenalkan Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik sebagai pengiktirafan buat penggiat kreatif di belakang tabir.
Selain itu, Program Tribute akan menghargai tokoh filem veteran yang membina legasi sinema tanah air, termasuk Seniwati Datin Rosnani Jamil, Seniwati Ruminah Sidek, Dato’ Rahim Razali dan Othman Hafsham.
Kemuncak Malam Anugerah
FFM34 dengan tema “Karya Kreatif, Sinema Dinamik” akan berlangsung pada 1 November 2025, 8.30 malam di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media. Acara gilang-gemilang ini akan dipandu oleh Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim, serta disiarkan secara langsung di TV2 RTM dan saluran YouTube FINAS.
Filem “Blood Brothers: Bara Naga” arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra mendominasi pencalonan dengan 13 kategori, diikuti “Takluk: Lahad Datu” (12), “Soloz: Game of Life” (11), “Kahar: Kahar Kapla High Council” (10), serta “Reversi” dan “Babah” dengan 9 pencalonan masing-masing.
Saingan sengit turut tercetus dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik antara Beto Kusyairy (Reversi), Qi Razali (Babah), Sharnaaz Ahmad (Blood Brothers: Bara Naga), Aeril Zafrel (Laknat) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee).
Manakala kategori Pelakon Wanita Terbaik pula menampilkan deretan nama besar: Nabila Huda (Telaga Suriram), Datin Sofea Jane (Mencari Ramlee), Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang, Aku Tahu Asal Usul Mu), Maya Karin (Telaga Suriram) dan Sweet Qismina (Babah).
Dengan pengiktirafan bernilai RM1 juta, FFM34 bukan sahaja sekadar meraikan kemenangan, tetapi turut memperkukuh ekosistem perfileman Malaysia untuk terus berdiri megah di pentas antarabangsa.





