Nostalgia Legenda 1998 Dihidupkan Semula: Heyda Hafeey Perkenal ‘Zapin Usik Mengusik 2.0’ Bersama Lan Solo
SELEPAS lebih dua dekad mengukir memori indah dalam sejarah muzik tempatan, lagu ikonik “Zapin Usik Mengusik” kembali menggegarkan persada seni dengan wajah dan nafas baharu menerusi versi “Zapin Usik Mengusik 2.0” oleh penyanyi versatil Heyda Hafeey, dengan kolaborasi istimewa bersama penyanyi rock popular, Lan Solo.
Lagu yang pernah mencetuskan fenomena luar biasa pada tahun 1998 itu pada asalnya dinyanyikan oleh penyanyi muda Haida, ketika beliau baru berusia 17 tahun, bersama kumpulan komedi tersohor negara, Senario. Naskhah tersebut bukan sahaja menjadi siulan di corong radio, malah turut memeriahkan pelbagai majlis keramaian di seluruh negara, menjadikannya antara karya zapin moden paling diingati oleh peminat muzik Malaysia.
Kini, bintang yang pernah mencipta sensasi itu kembali dengan identiti baharu. Tidak lagi menggunakan nama Haida, beliau memperkenalkan penjenamaan terkini sebagai Heyda Hafeey — sebuah nama yang lebih segar, elegan dan mudah meniti di bibir pendengar generasi baharu.
Sebagai langkah memperkenalkan semula dirinya kepada peminat, Heyda memilih untuk menghidupkan kembali karya yang pernah membuka pintu kerjayanya dalam industri muzik tanah air.
Lagu ciptaan asal Budeen ini telah diberikan sentuhan muzik baharu oleh pemuzik berpengalaman Dato Indra. Walaupun mengekalkan roh tradisional zapin yang menjadi identiti asal lagu tersebut, versi 2.0 tampil lebih dinamik menerusi konsep Etnik Fusion — gabungan harmoni antara instrumen tradisional dengan susunan muzik moden yang lebih segar, rancak dan catchy.
Pendekatan ini bukan sahaja mengekalkan keaslian karya asal, malah menjadikannya lebih relevan dan mudah diterima oleh pelbagai generasi pendengar masa kini.
Keistimewaan naskhah ini turut diperkukuhkan dengan kehadiran Lan Solo, yang terkenal dengan vokal rock bertenaga serta karakter persembahan yang unik. Gabungan vokal mantap Heyda Hafeey bersama energi tersendiri Lan Solo memberikan dimensi baharu kepada lagu yang pernah memahat sejarah dalam industri muzik tempatan.
Menurut Heyda Hafeey, pemilihan lagu ini bukan sekadar strategi artistik, sebaliknya sarat dengan nilai sentimental dalam perjalanan seninya.
“Lagu ini adalah ‘pintu’ yang memperkenalkan saya kepada industri muzik Malaysia. Merakamkan semula lagu ini bukan sekadar mengimbau kenangan, tetapi juga satu usaha untuk menyesuaikan karya ini dengan perubahan zaman tanpa menghilangkan ciri tradisional yang menjadi kekuatannya,” jelas beliau.
Proses pembikinan “Zapin Usik Mengusik 2.0” telah dimulakan sejak tahun 2025 dan diterbitkan di bawah Heyda Entertainment, dengan sokongan penuh daripada Luncai Emas Sdn. Bhd. sebagai syarikat penerbitan hak cipta (publishing).
Dengan susunan muzik yang lebih segar serta pendekatan produksi yang moden, karya ini dijangka mampu menghidupkan kembali nostalgia peminat lama di samping memperkenalkannya kepada generasi baharu.
“Zapin Usik Mengusik 2.0” bakal menjadi buah tangan terbaharu daripada Heyda Entertainment buat seluruh peminat muzik tanah air dan akan dilancarkan di semua platform penstriman digital utama dalam masa terdekat.
Profil Artis
Nama Penuh: Noor Haida Mohd Idris
Nama Komersial: Heyda Hafeey
Tarikh Lahir: 16 Januari 1981
Asal: Port Klang, Selangor
Tinggi / Berat: 164 cm / 54 kg
Profesion: Penyanyi & Pelakon
Dilahirkan di Port Klang, Selangor, bakat seni Heyda Hafeey mula terserlah seawal usia lima tahun menerusi rancangan Kids Club di Angkasapuri. Mewarisi kecintaan terhadap seni daripada keluarga, beliau kemudiannya bernaung di bawah beberapa label muzik termasuk Ambang Klasik dan Suria Records (SRC).
Sepanjang perjalanan kariernya, Heyda pernah menghasilkan beberapa karya termasuk album Abadi dan Arena Rambong, sebelum kembali aktif dalam industri muzik dengan lagu “5 Tahun Saja”.
Kini, dengan kematangan pengalaman serta semangat baharu, Heyda Hafeey tampil lebih bersedia untuk kembali mewarnai industri muzik Malaysia dan menawan hati peminat dengan karya yang lebih segar dan berkualiti.





