DARI BANGI KE SELURUH NEGARA: SRI SEMANTAN SASAR 30 CAWANGAN BAHARU PADA 2026

KEDAI EMAS SRI SEMANTAN PERKUKUH KEDUDUKAN PASARAN, SASAR SEHINGGA 30 CAWANGAN BAHARU SELURUH NEGARA TAHUN INI

Pembukaan Cawangan Ke-16 di Bandar Baru Bangi Cerminkan Keyakinan Tinggi Terhadap Permintaan Pasaran Emas Tempatan

 KEDAI Emas Sri Semantan Sdn. Bhd. (KESS), antara rangkaian peruncitan emas tempatan yang berkembang pesat dan dikenali menerusi slogan ikonik “Soorga Emas Preloved”, menyasarkan pembukaan antara 25 hingga 30 cawangan baharu di seluruh negara sepanjang tahun ini sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan strategik syarikat.

Langkah agresif tersebut didorong oleh peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemilikan emas sebagai instrumen simpanan nilai dan aset pelaburan jangka panjang, selain pertumbuhan permintaan yang konsisten dalam pasaran emas domestik.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah KESS, Shaaini Md Jumaat, pembukaan cawangan ke-16 syarikat di Bandar Baru Bangi merupakan manifestasi komitmen berterusan KESS dalam memperluaskan akses kepada produk serta perkhidmatan emas berkualiti kepada lebih ramai pelanggan di seluruh negara.

“Bandar Baru Bangi dipilih berdasarkan potensi pertumbuhan ekonomi setempat, peningkatan jumlah penduduk serta tahap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi terhadap kepentingan simpanan emas. Kami melihat kawasan ini sebagai antara lokasi strategik yang mampu menyokong pertumbuhan jangka panjang syarikat,” katanya.

Majlis perasmian cawangan baharu tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif KESS, Mohamad Hafizal Mahmood, dan turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah syarikat, Sharif Saman, bersama barisan pengurusan kanan serta rakan strategik syarikat.

Shaaini berkata, pembukaan cawangan di Bangi juga bertujuan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat dari kawasan sekitar termasuk Negeri Sembilan dan Melaka, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada cawangan sedia ada di Shah Alam.

Sebagai penghargaan kepada pelanggan sempena pembukaan cawangan baharu tersebut, KESS menawarkan potongan harga istimewa sebanyak RM20 bagi setiap gram emas yang dibeli, selain peluang menyertai cabutan bertuah eksklusif dengan hadiah utama sebuah kereta.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa prestasi syarikat menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan apabila mencatatkan peningkatan pendapatan melebihi 60 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pencapaian tersebut didorong oleh pembukaan lebih 15 cawangan baharu dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, selain sokongan berterusan daripada pelanggan yang semakin menjadikan emas sebagai instrumen simpanan pilihan.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima di setiap cawangan baharu amat menggalakkan. Pertumbuhan ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap jenama Sri Semantan serta potensi besar industri emas tempatan,” jelas beliau.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, Shaaini berkata KESS bakal membuka cawangan ke-17 di Kemaman, Terengganu pada penghujung bulan ini sebelum meneruskan pengembangan rangkaian ke Sungai Petani, Kedah pada awal bulan hadapan.

Dalam usaha memperkukuh ekosistem perniagaannya, KESS juga kini berada di fasa akhir persediaan untuk mengoperasikan kilang emas miliknya sendiri di Puncak Alam yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada Ogos depan.

Menariknya, kemudahan tersebut bakal menawarkan pengalaman unik kepada pelanggan apabila mereka berpeluang menyaksikan sendiri proses pengeluaran dan pembuatan emas secara lebih telus dan terbuka.

Sementara itu, komuniti pelanggan Sri Semantan Privilege Club (SSPC) terus berkembang dengan keahlian mencecah kira-kira 180,000 ahli setakat ini. Ahli SSPC menikmati pelbagai manfaat eksklusif termasuk sistem mata ganjaran serta baucar yang boleh ditebus untuk pembelian emas.

Inisiatif tersebut dilihat sejajar dengan aspirasi syarikat untuk memperkukuhkan budaya pemilikan dan simpanan emas dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali gus membantu masyarakat membina kestabilan kewangan yang lebih mampan pada masa hadapan.

“Kami bukan sekadar menjual emas, tetapi berusaha membudayakan pemilikan aset bernilai yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat. Itulah misi utama Sri Semantan dalam setiap langkah pengembangan yang kami laksanakan,” ujar Shaaini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *