CERITA SELEPAS TERAWIH…
.
Usai Terawih dan moreh, saya dan Azman Mohd Nawi menunggu hujan teduh di luar kaki lima masjid. Kami dihampiri seorang pakcik. Berbasa basi sekadarnya.
.
Lalu daripada penantian hujan lebat itu teduh, perbualan menjadi rancak. Haji Mahzan namanya. Sudah lima puluh tahun tinggal di sini. Penduduk tetap Petaling Jaya. Beliau seronok sekali apabila kami bercerita tentang aktiviti kami ronda masjid untuk berbuka puasa dan terawih. Siap bertanya masjid mana paling best.
.
Jawab kami semua best. Baik suasana dan juadahnya berbeza setiap masjid. Pun begitu niat sebenar kami ingin meraikan Ramadan. Menikmati bacaan imam ketika terawih bagaikan terapi jiwa yang sukar digambarkan dek perasaan.
.
“Cuba teka berapa umur pakcik? Pakcik beri tiga kali tekaan!” Jawab Haji Mahzan dengan senyum lebar ketika Azman bertanyakan umurnya. Azman meneka sekitar 70-an, sementara saya kasi muka sikit sebab tekaan Azman tersasar. Saya memudakan dia sedikit. Penghujung 60an atau awal 70.
.
Oh rupanya salah. Pakcik Mahzan muda sedikit dari Tun M. 90 tahun umurnya. Aduhai mungkinkah kami akan seperti beliau nanti. Panjang umur dan mampu ke masjid setiap waktu?
.
“Sihat orang umur 90!” balas Haji Mahzan ketawa kecil berjalan dengan tongkat, sebelum berlalu pergi bersama anak perempuan keduanya. Mereka berpayung menuju rumah selang dua pintu berdekatan masjid.
.
Pertemuan dengan Haji Mahzan membuatkan hati saya tiba-tiba sayu terkenangkan arwah abah. Andai abah masih ada tentu seusia Haji Mahzan. Abah juga rajin ke masjid dan seperti Haji Mahzan abah ramah dan suka menegur orang untuk berbual.
.
Ramadan masuk malam ke 18, banyak rasa mengusik hati. Melihat keindahan masjid Abdul Aziz dan jemaah yang datang dan pergi, saya belajar untuk lebih menghargai sesiapa juga yang hadir dan ruang untuk lebih mesra dan tersenyum dengan takdirNya.
.
Semalam menu berbuka puasa di masjid MARBA, ada yang bising bising disebabkan kombinasi tidak kena. Ayam goreng berempah dengan kailan masak lemak. Tidak meriah seperti selalu. Dua lauk sahaja.
.
Tetapi hari ini berbuka Allah takdirkan dengan pelbagai hidangan. Kuih muih banyak sekali. Roti Jala, Roti John, Sandwic, Roti Telur, pek Nasi Bungkus dan menu utama ayam goreng berempah dan gulai lemak labu. Ambik kau. Sakan rezeki malam ini.
.
Hakikatnya Haji Mahzan, hujan lebat dan juadah banyak atau sedikit, adalah cerita hidup yang bukan urusan kita. Siapa kita temui, apa rezeki kita bukan hal yang wajar kita peduli. Yang kita peduli adalah mencari keredaanNya di penghujung Ramadan ini. Ramadan seperti pantas akan pergi. Dan kita di sini masih mengeluh itu ini. Aduhai hati…





