BUKAN LAGU RAYA CERIA – “TANGISAN 1 SYAWAL” BAWA KISAH PILU ANAK YATIM

Tantari & Putera Bobo Disatukan Eddie Hamid Menerusi “Tangisan 1 Syawal”

Kisah Anak Yatim Yang Menyentuh Hati Dalam Lagu Raya Penuh Emosi

 DUA bintang cilik yang semakin mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan, Tantari dan Putera Bobo, kini disatukan dalam sebuah karya istimewa sempena Aidilfitri berjudul “Tangisan 1 Syawal”, ciptaan komposer terkenal Eddie Hamid.

Sebelum ini, kedua-dua penyanyi muda ini telah mencuri perhatian ramai menerusi karya solo masing-masing. Lagu “Rindu Hatiku Rindu” nyanyian Tantari yang dilancarkan pada tahun 2024 pernah menduduki #1 trending di YouTube selama 20 hari berturut-turut dan sehingga kini mencatat lebih 16 juta tontonan. Sementara itu, lagu “Korban Rindu” dendangan Putera Bobo yang diterbitkan tahun lalu turut meraih sambutan hangat dengan lebih 1.3 juta tontonan di YouTube.

Keupayaan vokal dan penyampaian penuh emosi kedua-dua penyanyi ini berjaya menyentuh hati pendengar, menjadikan mereka antara bakat muda yang semakin menonjol dalam industri muzik tempatan.

Melihat potensi tersebut, Eddie Hamid mengambil inisiatif untuk menggandingkan mereka dalam sebuah lagu raya yang sarat dengan emosi dan makna.

Menurut Eddie, hasrat untuk menyatukan mereka dalam satu karya telah lama dirancang, apatah lagi selepas kejayaan lagu-lagu solo ciptaannya sebelum ini.

“Impian saya untuk menyatukan mereka dalam satu lagu akhirnya menjadi kenyataan dengan sokongan Nova Music Malaysia. Lagu raya yang dihasilkan ini bukan lagu raya yang ‘catchy’, sebaliknya sebuah balada yang membawa kisah penuh emosi,” jelas Eddie.

Tambah beliau lagi, “Tangisan 1 Syawal” bukan sekadar lagu raya biasa, sebaliknya mengangkat kisah menyentuh tentang kasih sayang dua beradik yang kehilangan ibu bapa.

“Lagu ini adalah luahan perasaan anak-anak yang kehilangan insan tersayang. Sebagai seorang anak yatim piatu sendiri, saya sangat memahami perasaan itu. Saya berharap karya ini mampu menyentuh hati pendengar,” katanya yang menghasilkan lagu tersebut dengan penuh keikhlasan.

Menariknya, proses rakaman lagu ini dilakukan secara berasingan. Tantari, atau nama penuhnya Naufal Zahirul Azahel bin Mohd Alfian, 8, merakam vokalnya di Studio NAR, Kuala Lumpur, manakala Putera Bobo, atau Putera Shah Nasratullah bin Mohd Nasran, 14, merakam vokalnya di K-Seventh Studio, Kelantan.

Bagi memperkukuhkan emosi yang dibawa dalam lagu ini, muzik video “Tangisan 1 Syawal” turut menjalani penggambaran di rumah anak yatim dan tanah perkuburan, menambahkan elemen dramatik serta menyentuh perasaan.

Dalam muzik video tersebut, Tantari membawakan watak sebagai adik manakala Putera Bobo sebagai abang. Walaupun mereka tidak pernah bertemu sebelum ini, pertemuan pertama di set penggambaran berlangsung dalam suasana mesra sehingga memudahkan keseluruhan proses penggambaran.

Putera Bobo turut melayan Tantari seperti adiknya sendiri, menjadikan chemistry antara mereka terlihat begitu natural di layar.

Bagi Tantari, “Tangisan 1 Syawal” merupakan lagu raya ketiganya selepas lagu popular “Rindu Hatiku Rindu Raya” serta “Ragam Raya” yang pernah dirakam bersama Achey dan Baby Feaaa. Manakala bagi Putera Bobo, lagu ini merupakan lagu raya pertamanya.

Menurut Tantari, walaupun pada awalnya menyangka akan menyanyikan lagu raya yang ceria, beliau tetap gembira menjadi sebahagian daripada karya yang penuh makna ini.

“Mula-mula saya ingat dapat lagu raya rancak, rupanya lagu yang sedih. Tapi saya gembira dapat pasangan duet baharu, abang Putera Bobo. Masa rakaman memang terasa sedih kerana saya bayangkan kawan-kawan sebaya yang tiada ibu bapa untuk beraya bersama,” katanya.

Sementara itu, Putera Bobo turut mengakui kisah dalam lagu tersebut sangat dekat dengan emosinya.

“Alhamdulillah akhirnya saya ada lagu raya sendiri walaupun bergandingan. Lagu ini mengingatkan kita supaya sentiasa bersyukur kerana tidak semua orang bernasib baik untuk beraya bersama keluarga,” jelasnya.

Beliau turut berharap lagu ini dapat membuka hati masyarakat untuk lebih mengingati dan menyantuni anak-anak yatim, khususnya ketika musim perayaan.

“Tangisan 1 Syawal”, terbitan Nova Music Malaysia, kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital. Muzik video rasmi lagu ini pula akan mula ditayangkan di saluran YouTube Nova Music Videos pada 5 Mac 2026, jam 3 petang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *