PESONA NABILA RAZALI WARNAI BMC FAMILY 360°

Kemeriahan BMC Family 360° Bukti Kesatuan Komuniti ke Arah Gaya Hidup Mampan

 PESTA dan karnival keluarga mampan terbesar negara, BMC Family 360°, telah mencatat kejayaan luar biasa apabila hampir 10,000 pengunjung hadir sepanjang tiga hari penganjurannya di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras, minggu lalu.

Dengan menampilkan gabungan ilmu, hiburan dan interaktiviti, acara ini membuktikan komitmen murni dalam menyemarakkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG). Ia bukan sahaja mengukuhkan nilai kekeluargaan, malah memperkukuh kesedaran komuniti terhadap gaya hidup pintar dan lestari.

Turut menyerikan acara ialah ikon seni dan jurucakap rasmi BMC Family 360°, Nabila Razali, yang tampil mesra bersama peminat. Kehadirannya mencetuskan inspirasi buat generasi muda untuk lebih peduli terhadap ekosistem, alam sekitar dan nilai kekeluargaan.

“Pesta ini sangat meriah dengan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga. Saya sendiri teruja menyertai ruang permainan interaktif dan meninjau Mini Zoo yang menampilkan haiwan unik seperti Skunk dan Meerkat. Pengalaman ini membuka mata Bella tentang pentingnya menjaga keseimbangan ekosistem,” ujar Nabila yang mesra disapa Bella.

Beliau turut berkongsi keterujaannya melihat pameran Angkatan Tentera Malaysia, yang memberikan pemahaman baharu tentang peranan pertahanan negara dalam pembangunan mampan.

Selain ruang pameran, acara bertemakan “A Step to the Future” ini turut menampilkan Persembahan Malam SDG, sebuah gabungan seni, muzik dan budaya yang menyampaikan mesej kemampanan secara kreatif. Antara persembahan memukau termasuklah nyanyian tiga lagu popular Nabila Razali (Cemburu, Putus, Pematah Hati), persembahan muzikal Talenthaus, ensemble instrumental, tarian ballerina serta segmen K-pop yang menghangatkan pentas.

Penganjuran BMC Family 360° adalah hasil kerjasama AI Global, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan, dan CelcomDigi. Acara ini sekali gus mengangkat BMC Mall sebagai nadi komuniti Bandar Mahkota Cheras dalam menjulang budaya lestari, inovasi, pendidikan, kesihatan, teknologi serta keusahawanan tempatan.

Dengan kejayaan edisi kali ini, BMC Family 360° terus menjadi bukti bahawa komuniti yang bersatu mampu mencipta impak besar ke arah masa depan yang lebih mampan, seimbang dan harmoni.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *