SYAMEL PERSEMBAHKAN BALADA TERBAHARU SARAT EMOSI: “BERAKHIR KITA”
PENYANYI bersuara lantang dan penuh jiwa, Syamel, kembali memperkukuh kedudukannya dalam industri muzik tempatan menerusi sebuah karya balada terbaharu berjudul “Berakhir Kita” – sebuah lagu yang menyelami kedalaman emosi cinta yang tidak kesampaian.
Diterbitkan hasil kolaborasi Universal Music Malaysia, Maison Management, dan Global Keynote Sdn. Bhd., lagu ini merupakan ciptaan istimewa oleh gandingan komposer prolifik Shazriq Azeman dan Omar K, yang turut bertindak selaku penerbit.
“Berakhir Kita” mengangkat tema kesedihan dan perpisahan sebelum cinta sempat mekar. Lagu ini menjadi cerminan perasaan insan yang pernah menyulam harapan namun terpaksa berdepan kenyataan pahit apabila cinta yang dinanti tidak pernah menjadi miliknya. Ia mewakili suara mereka yang pernah patah hati dalam diam, namun tetap tabah menyembunyikan luka yang dalam.
“Kolaborasi dengan Omar K dan Shazriq sangat menyenangkan. Mereka memberi ruang dan kebebasan untuk saya menjiwai lagu ini dengan cara saya sendiri – menjadikan proses rakaman sesuatu yang sangat bermakna dan penuh emosi,” ujar Syamel.
Menariknya, pelancaran “Berakhir Kita” turut diperkukuhkan dengan sebuah visual muzik eksklusif yang bakal diangkat menjadi sebuah drama bersiri, sekaligus memperluas naratif lagu ini ke dalam bentuk penceritaan visual yang lebih mendalam.
“Lagu ini sudah cukup kuat dari segi lirik dan melodi, namun apabila digabungkan dengan visual dan babak dramatik, saya percaya impaknya akan lebih menyentuh hati penonton,” tambah Syamel yang dikenali dengan keupayaan vokalnya yang dinamik.
Proses penghasilan lagu ini turut melibatkan dedikasi tinggi seluruh pasukan produksi yang bekerjasama rapat demi memastikan setiap elemen – dari vokal hingga susunan muzik – dihasilkan dengan penuh teliti dan keikhlasan.
“Setiap individu dalam pasukan ini memainkan peranan penting. Dari studio hingga ke layar kaca, kami semua bersatu hati untuk menjadikan ‘Berakhir Kita’ satu karya yang bermakna buat semua,” katanya lagi.
Kini tersedia di semua platform penstriman digital bermula 6 Ogos 2025, “Berakhir Kita” bukan sekadar sebuah lagu perpisahan, tetapi sebuah karya yang menghidupkan semula kisah cinta yang tertinggal di persimpangan takdir.
“Saya berharap lagu ini akan menjadi pengubat kepada hati yang pernah terluka, dan barangkali menjadi cermin kepada kisah hidup mereka yang mendengarnya,” akhiri Syamel.





