MAJLIS PELANCARAN & TONTON PERDANA TELEFILEM BAYYA
Sempena Akademi Raja Azrey (ARA) Siri Ke-5
BERTEMPAT di MM Cineplexes, Berjaya Times Square Kuala Lumpur, telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang Majlis Pelancaran dan Tonton Perdana Telefilem BAYYA, karya istimewa yang lahir daripada latihan intensif para peserta Akademi Raja Azrey (ARA) Siri Ke-5, di bawah bimbingan pengarah, pelakon dan pengasas ARA, Raja Azrey.
Sebagai sebuah acara berprestij, pra-tonton eksklusif ini dianjurkan buat kali ketiga oleh ARA sebagai platform perintis untuk memberi ruang dan peluang kepada peserta merasai pengalaman luar biasa – menyaksikan lakonan mereka sendiri dipertontonkan di layar perak. Inisiatif ini juga menjadi bentuk penghargaan daripada Raja Azrey dan pasukan produksinya terhadap dedikasi para peserta yang telah mengikuti bengkel intensif selama tiga hari, dari 30 Mei hingga 1 Jun 2025.
“Bagi saya, malam ini bukan sekadar majlis menonton karya, tetapi hadiah buat anak-anak seni yang berani melangkah masuk ke ARA. Saya pernah melalui getir mencari peluang suatu ketika dahulu. Justeru, saya mahu ARA menjadi pintu bermula untuk mereka. Walaupun kelihatan kecil pada pandangan orang, bagi saya maknanya sangat besar,” ujar Raja Azrey penuh emosi ketika menyampaikan ucapan.
Telefilem BAYYA yang berjaya direalisasikan dalam tempoh hanya dua hari setengah penggambaran tampil dengan kelainan – sebuah komedi aksi bercorak ‘vibe drama Tamil’, yang menguji kreativiti dan keupayaan peserta dalam menyampaikan lakonan penuh dinamika. Keazaman dan kesungguhan mereka jelas terpancar dalam setiap adegan, membuktikan potensi besar yang dimiliki.
Majlis ini turut bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-6 penubuhan Akademi Raja Azrey (2019–2025). Dalam ucapan ringkasnya, Raja Azrey bersama isteri menzahirkan rasa syukur di atas perkembangan pesat ARA, yang bermula sebagai sebuah inisiatif kecil, namun kini semakin mendapat pengiktirafan dalam ekosistem seni tempatan.
“Apabila niat kita ikhlas mahu membantu, Allah akan mempermudahkan jalan. Hari ini melihat anak-anak ARA berdiri penuh keyakinan, itu sudah cukup membuatkan saya berbangga,” tambah beliau.
Turut menyerikan majlis adalah kehadiran rakan-rakan artis serta personaliti industri tanah air, antaranya Man Raja Lawak, Ucop Cecupak, pengarah dan penerbit Jamal Khan, Hasyim Rejab serta pelakon Danish Hazriq. Sokongan mereka menjadi simbol solidariti terhadap usaha melahirkan bakat baharu dalam dunia lakonan.
Telefilem BAYYA bakal menemui khalayak umum bermula 26 Ogos 2025 menerusi saluran rasmi YouTube Raja Azrey Channel, memberi peluang kepada penonton untuk menyaksikan lahirnya bakat-bakat segar yang berpotensi besar mengisi pentas industri seni tanah air.
Tentang Akademi Raja Azrey (ARA)
Ditubuhkan pada tahun 2019, Akademi Raja Azrey (ARA) merupakan sebuah platform pembelajaran seni lakonan intensif yang menggabungkan teori, praktikal dan pengalaman sebenar di set penggambaran. Keunikan ARA terletak pada penghasilan karya nyata – sama ada drama pendek mahupun telefilem – sebagai penutup setiap siri pembelajaran, yang kemudiannya dipertontonkan kepada umum. Sehingga kini, ARA telah membimbing ratusan peserta menemui potensi diri, meningkatkan keyakinan serta membuka laluan awal ke dunia seni tanah air.





