Bab 9
Menitis air mata melihat bayi yang masih bertali pusat dan beruri dikerumuni semut-semut halus. Hanya tuala membalut tubuh bayi yang masih berlumuran darah.
BADA antara yang cukup memahami siapa aku. Kami sudah berkawan sepuluh tahun. Persahabatan kami bermula apabila aku membantunya dalam satu kejadian di tepi jalan raya, pada suatu malam hujan lebat.
Aku yang sedang memandu, tergerak hati untuk memberhentikan kereta apabila terpandang seseorang sedang melambai tangan ke arah kereta yang lalu lalang. Seperti orang lain yang ingin bergegas balik, ditambah dengan hujan yang semakin lebat, untuk berhenti pada jam sebelas malam bukanlah satu tindakan yang waras.
Semakin tidak wajar adalah bila melihatkan sepasang susuk tubuh gempal yang tidak dipastikan jantinanya melambai-lambai di tengah malam. Satu pemandangan yang agak menakutkan. Bukan takutkan hantu, tetapi lebih gerun kepada yang meminta pertolongan itu.
Sebagaimana naluri golongan yang sama amat memahami, maka aku cukup tahu sama ada perlu menolong atau tidak. Justeru aku memberhentikan kereta dan turun berpayung menuju ke arah Bada.
Melihat aku tersenyum memandangnya, Bada segera menjerit gembira. Akhirnya ada juga yang sudi membantu.
Sewaktu dalam perjalanan pulang. enjin keretanya tiba-tiba tersengguk-sengguk. Bada tidak panik. Dia memperlahankan kelajuan kereta dan berhenti di tepi jalan. Sebaik sahaja kereta berhenti, enjin juga mati mendadak. Bahagian enjin mengeluarkan asap. Kali ini Bada panik. Segera dia keluar dan berdiri agak jauh. Jika terjadi kebakaran atau masalah teknikal yang lain, sempatlah dia menyelamatkan diri.
Hendak menambah malangnya, hujan pulak turun. Bada memandang keliling mencari tempat berteduh. Kawasan jalan raya itu bukan laluan bas. Yang kelihatan deretan pokok kelapa sawit yang masih setinggi dua meter. Projek tanam semula pekebun kecil pada papan tanda berhampiran.
Bada tidak pilihan lain. Kembali semula ke kereta dan dengan separuh berani, dia masuk ke dalam perut kereta. Hujan sudah semakin lebat. Asap kereta yang meninggi tadi sudah semakin surut.
Pertolongan aku itu tiba setelah dia menunggu sejam hujan teduh. Bermandi peluh dia kerana penghawa dingin tidak boleh dibuka. Basah ketiak dia menahan panas dan lapar. Berbekalkan air mineral sebagai penghilang dahaga, Bada tidak henti berdoa agar ada insan yang berhati mulia membantunya.
Itulah permulaan persahabatan dengan Bada. Semenjak itulah kami rapat dan dia menjadi sahabat susah senang. Kebetulan memiliki jiwa yang sama, makanya kami mudah rapat dan mesra.
“Datang tiba-tiba ni mesti ada hal nak ‘membawang’ kan?” sindir aku melihatkan Bada yang muncul di depan pintu. Adalah itu sikapnya. Bertandang ke rumahku sesuka hati. Sama ada Syed Ikram ada atau tidak, dia tetap selamba keluar masuk. Bilik tetamu sudah menjadi bilik utama dia sekiranya dia tidak mahu balik ke rumah.
Syed Ikram tidak mempersoalkan sikap Bada itu. Dia tahu aku sudah lama bersahabat baik dengan Bada. Mana mungkin Bada akan pergi begitu sahaja meskipun dilarang atau dihalang.
“Kau free tak malam jumaat ni?” Bada menjawab pertanyaanku dengan soalan juga. Dia memandang aku dengan penuh harap. Senyum di bibir berbunga-bunga.
“Kau nak ajak aku ke mana pulak nyah oiii?” aku pasti Bada ada tujuan tertentu malam jumaat nanti. Melihat wajahnya yang begitu mengharap, dia tentu berhasrat besar agar aku melapangkan waktu untuk menemaninya.
“Adalah tempatnya. Kau ikut je lah,” balas Bada malu-malu.
“Apasal tak ajak ‘anak ikan’ kau tu je temankan?”
“Kalau boleh ajak dia memang aku dah lama ajak. Tak adalah aku nak ajak kau temankan,”
“Kenapa tak boleh pulak? Bukan ke selama ini ke mana-mana pun kau dengan dia? Berkepit macam belangkas!”
“Ni hal lain. Dia tak boleh tahu!” bisik Bada perlahan.
Cara dia berbisik itu seolahnya ada yang mendengarnya. Walhal rumahku ini, hanya aku sahaja yang ada. Syed Ikram keluar kawasan seminggu.
“Alah ikut je lah. Ikram kan out station?” balas Bada pura-pura marah. Dia memuncungkan bibirnya yang tebal itu.
“Aku minta izin Ikram dulu lah ye? Nanti kalau dia tiba-tiba balik, aku tak ada bising pulak dia nanti,” akhirnya aku memberi jawapan yang selayaknya. Aku perlu menghubungi Syed Ikram dahulu. Minta izin dia. Kalau dia benarkan bolehlah aku menemani Bada nanti.
“Call je dia tu. Mesti dia benarkan. Kau keluar dengan aku, bukan orang lain. Lagipun ini hal aku. Bukan membabitkan urusan kau,”
Syed Ikram tidak membantah dengan cadangan Bada itu. Dia sekadar menasihati aku agar pandai bawa diri. Berhati-hati. Jangan balik lewat.
Mendengar jawapan Syed Ikram itu, Bada melompat gembira. Dipeluknya aku erat. Nampak sekali dia teruja kerana permintaannya itu tidak terhalang. Aku tidak pasti mengapa begitu sekali keterujaan Bada. Timbul rasa syak pula dengan sikap Bada itu. Lebih membuatkan aku rasa hairan mengapa perlu pergi malam jumaat?
“Ada kenduri tahlil ke Bad?”
“Nanti kau taulah…” jawab Bada ketawa panjang. Dia lantas meminta diri untuk balik. Katanya si buah hatinya sedang menunggu di rumah. Lambat balik nanti, ada pulak yang merajuk!
Terasa kelakar pulak mendengar alasan Bada itu. Semenjak bila pulak si Johari yang jarang balik rumah Bada itu nak menunggu Bada balik? Entah-entah dia melepak bersama kawan-kawannnya di restoran mamak. Tidak pun gila bermain futsal.
Demikianlah cerita insan bernama Bada. Badiuzaman, anak kelahiran sebuah negeri di utara Semenanjung yang senasib dengan aku. Bada anak yatim piatu. Dia dibesarkan di sebuah rumah anak yatim. Berbanding aku, hidup Bada lebih memeritkan. Dia tidak tahu siapa ibu ayahnya. Dia dijumpai di sebelah tong sampah berhampiran rumah seorang pesara.
Mujur pesara polis itu terbangun awal untuk bertahajud. Mendengar suara tangisan yang sayup-sayup kedengaran, dia memberanikan diri keluar rumah jam tiga pagi itu. Lama diamati bunyi tangisan itu datangnya daripada tong sampah yang berdekatan pagar rumah. Sangkanya, bunyi anak kucing. Tetapi setelah diamati bunyi itu daripada tangisan bayi yang tersekat-sekat seperti sedang kesejukan.
Berderau darah pesara tersebut ketika membuka kotak yang tidak bertutup itu. Dia melihat seorang bayi tadinya menangis, tiba-tiba berhenti memandangnya. Menitis air mata melihat bayi yang masih bertali pusat dan beruri dikerumuni semut-semut halus.. Hanya tuala membalut tubuh bayi yang masih berlumuran darah. Cepat-cepat pesara itu membawa masuk dan diberitahu kepada si isteri.
Lalu pagi itu seisi taman perumahan gempar dengan penemuan bayi tersebut.
Asalnya pesara itu ingin membela bayi yang ditemuinya. Tetapi atas saranan pihak polis, dia perlu menyerahkan kepada badan kebajikan yang sepatutnya. Bayi itu perlu menjalani kehidupan sempurna seperti bayi yang lain. Maka kerana itulah Bada menghuni rumah anak yatim sehinggalah dia remaja dan menamatkan persekolahan.
Minat dalam bidang kecantikan, mendorong Bada mengikuti kelas dandanan rambut dan solekan. Akhirnya berkat anugerah yang telah ditakdirkan dia akhirnya bekerja di beberapa buah salon dan butik. Sehinggalah mendapat modal secukupnya, dia memberanikan diri membuka salon kecantikan sendiri.
“Kalau nak berjaya, tak kira siapa kita. Usaha sahajalah. Timba ilmu yang kita minat. Insya-ALLAH, segalanya akan dipermudahkan,” kata-kata kak Som terus memberi ingatan dan inspirasi.
Memang benar, ulat dalam batu pun ada rezeki. Inikan pula kita manusia yang memiliki akal dan anggota yang sempurna. Kejayaan Bada adalah buktinya. Tiada yang mustahil. Anak terbuang pun boleh berjaya.





