Bab 8
Berulangkali dia datang ke sangkar ikan patin Aswad Ismadi di tepi sungai Pahang itu, namun acap kali itulah pertemuan mereka akan menjadi sepi dan hambar. Aswad Ismadi menjadi gugup dan gementar setiap kali memandangnya.
SELEPAS bersarapan, Arif Mikail mengajak Aswad Ismadi dan Farid ke bandar. Alasan Arif Mikail dia ingin membeli barangan dapur. Meskipun Aswad Ismadi agak keberatan kerana ada urusan di kolam ikan patinnya, dia tetap akur dengan permintaan adik kesayangannya itu.
Tanpa pengetahuan Aswad Ismadi, Arif Mikail sudah membuat perancangan sendiri. Kepada Farid, dia meminta terus bersetuju dengan sebarang cadangan atau permintaan apabila dia utarakan pada abangnya itu. Farid yang sudah bersedia dengan bantuannya, terus bersetuju tanpa alasan lagi.
Malahan dia yang bersungguh pula mengajak Aswad Ismadi untuk menemani mereka ke bandar. Mereka juga akan singgah bertemu Camelia sebelum makan tengah hari bersama.
Destinasi utama Arif Mikail sudah pastinya restoran milik Suraya. Dia ingin menemukan abangnya itu dengan Suraya. Dia mahu melihat sendiri bagaimana reaksi keduanya bila diketemukan nanti. Apakah masih lagi diburu kepahitan kenangan lalu atau masih malu-malu untuk meluahkan rasa hati antara satu sama lain?
Aswad Ismadi yang menyedari muslihat Arif Mikail itu cuba mencari alasan untuk segera balik setelah membeli barangan dapur di pasar. Tetapi dia kalah dengan desakan Arif Mikail dan lakonan Farid yang kononnya begitu teringin menikmati hidangan patin tempoyak. Dicadangkan pula restoran atau warung lain, Farid tetap memilih restoran milik Suraya. Kata Farid, restoran Suraya itu sudah terkenal sehingga ke Kuala Lumpur. Jadi dia ingin merasai sendiri sejauh mana benarnya kehebatan masakan patin tempoyak di Restoran Patin Tempoyak Suraya itu.
Arif Mikail hampir ketawa melihatkan reaksi Farid memujuk Aswad Ismadi. Walhal semalam hampir pecah perut dia menikmati hidangan ikan patin itu. Pandai sungguh Farid berlakon. Begitu menyakinkan. Tewas akhirnya Aswad Ismadi dengan pujukan Farid dan Arif Mikail.
Camelia dan Amira sudah sampai dahulu ketika mereka tiba. Awal-awal lagi Arif Mikail sudah menghantar lokasi pertemuan. Melihat Camelia dan Amira sudah duduk di meja, Aswad Ismadi semakin hilang punca. Dia perlu juga menghabiskan masa bersama kawan-kawan adiknya itu. Soal itu tidak menjadi hal baginya. Dia sanggup membelanja makan sebanyak mana mereka inginkan, tetapi dia kurang selesa untuk berlamaan di restoran Suraya itu.
Menghantar bekalan ikan patin dan talapia pun dia hanya pekerjanya menguruskan. Jarang sekali dia bertemu dengan Suraya. Jika bertemupun atas urusan jual beli sahaja. Tidak lebih daripada itu.
“Kak Su ke bandar,” jawab salah seorang pelayan ketika Arif Mikail bertanyakan di mana Suraya berada.
Jawapan pelayan itu melegakan Aswad Ismadi. Dia segera mempercepatkan langkahnya menuju ke meja Camelia dan Amira yang sejak tadi melambai ke arahnya. Farid memandang Arif Mikail yang kelihatan hampa. Niatnya tidak kesampaian.
“Pukul berapa Kak Su akan datang?” Farid pula bertanya. Dia tidak sampai hati melihat reaksi Arif Mikail yang membatu itu.
“Biasanya dah sampai. Kejab lagi lah tu…”
“Tak pe Ari, kita makan lambat-lambat. Aku boleh teruskan lakonan aku. Amira tu boleh sokong aku. Kita makan semua menu yang ada di sini. Camelia dan Amira belum pernah datang sini. Tentu mereka pun teruja nak makan juadah enak yang ada di sini,” pujuk Farid seraya memeluk bahu Arif Mikail.
Keduanya lantas beriringan ke meja Camelia.
Seperti yang dirancang, Farid yang memang gemar makan itu terus menjiwai lakonannya. Dia banyak mencadangkan agar Camelia dan Amira mencuba menu yang disediakan. Sampai penuh meja dibuatnya. Aswad Ismadi hanya memerhati tanpa sedikitpun menyedari semua itu perancangan Arif Mikail dan Farid untuk menghalangnya balik segera. Selagi Suraya belum tiba sedaya upaya mereka akan menghabiskan masa berbual dan makan-makan.
Sejam kemudian, Suraya tiba. Dia masuk tanpa menyedari ada mata sedang memandang ke arahnya. Di kaunter, pelayan memberitahunya yang ada tetamu ingin berjumpa. Segera dia berpaling ke meja yang dikatakan, air mukanya berubah tiba-tiba. Dia cuba memaniskan muka dan senyum diukirkan, sedangkan dalam hati berdebar kencang. Mujur dia bergaya lebih sedikit pagi ini, tiadalah terasa janggal dan kurang yakin.
Melihat Suraya menuju ke meja mereka, Aswad Ismadi mula tidak senang duduk. Kejab-kejab dia membetulkan duduknya. Tidak cukup itu pantas dia pura-pura membelek telefon seolah sedang membalas mesej. Wajahnya juga pucat lesi. Peluh kecil bagaikan bergilir keluar dari muka dan lehernya. Arif Mikail mencuit Farid untuk melihat reaksi Aswad Ismadi itu. Mereka hampir tergelak namun cuba mengawal diri agar tidak ketara dan disedari Aswad Ismadi.
“Wah ramainya rombongan dari Kuala Lumpur. Tetamu istimewa ni…” ucap Suraya dengan mesra. Seperti biasa dia sentiasa ramah dan melemparkan senuman kepada setiap pelanggannya. Lebih-lebih lagi pelanggan yang datang hari ini bukan calang-calang. Jarang sekali dia dapat melihat Aswad Ismadi makan di restorannya meskipun ikan patin dan talapia yang menjadi menu utama restoran datangnya dari kolam ikan Aswad Ismadi sendiri.
Bukan tidak pernah mengajak atau mempelawa, Aswad Ismadi sering memberikan alasan yang terlalu banyak. Sehinggakan adakalanya alasan itu dirasakan tidak logik. Akhirnya Suraya hanya mampu berharap. Satu hari nanti Aswad Ismadi akan duduk makan di restorannya. Menikmati keenakkan menu yang disediakan berkat ikan belaannya.
Hubungan Suraya dan Aswad Ismadi bukanlah asing. Mereka sudah mengenali sejak kecil lagi, Suraya lebih tua tiga tahun daripada Aswad Ismadi. Sikap Suraya yang cukup berdikari itu amat kontra dengan perangai Aswad Ismadi yang pendiam dan tidak banyak cakap.
Aswad Ismadi hanya bercakap banyak dengan keluarga sahaja. Kalau dengan pekerja atau orang lain, ianya amat membosankan. Orang yang tidak faham dengan dirinya itu pasti menyangka dia seorang yang sombong dan berlagak. Sedangkan pada hakikatnya Aswad Ismadi memang berat mulut. Dia tidak pandai memulakan perbualan. Selagi tidak ditanya maka dia akan berdiam umpama patung cendana yang sekadar menjadi hiasan.
Suraya sudah lama menyimpan perasaan pada Aswad Ismadi. Perasaan itu sememangnya sudah terlalu tersimpan di kamar hatinya. Dia tidak mampu meluahkan kerana sikap Aswad Ismadi itu sendiri. Bukan dia tidak cuba mendekati Aswad Ismadi. Berulangkali dia datang ke sangkar ikan patin Aswad Ismadi di tepi sungai Pahang itu, namun acap kali itulah pertemuan mereka akan menjadi sepi dan hambar. Aswad Ismadi menjadi gugup dan gementar setiap kali memandangnya.
Timbul rasa di hati apakah Aswad Ismadi membencinya? Apakah Aswad Ismadi tidak sukakannya sebagaimana dia sukakan Aswad Ismadi? Pernah dia menyuarakan pertanyaan itu lantaran tidak tertahan lagi dengan layanan kaku Aswad Ismadi itu. Namun jawapan yang keluar dari mulut Aswad Ismadi cukup membuatkan dia hanya mampu berserah sahaja. Kalau ada jodohnya dengan Aswad Ismadi, dia terima. Kalau tiada dia rela menjadi anak dara tua hingga ke akhir hayat.
Suraya bukan tiada peminat atau lelaki yang ingin menyuntingnya. Ramai sudah yang datang merisik. Tetapi hati Suraya bagaikan sudah bertekad untuk menanti Aswad Ismadi. Tekad itu hanya dia mengadu pada Allah agar mengabulkannya. Kepada kedua ibu bapa dan saudara mara yang kerap kali bertanya mengapa masih belum berkahwin, Suraya hanya menjadikan alasan kesibukan menguruskan restoran sebagai alasan utama. Meskipun alasan itu kedengaran remeh kerana Suraya memiliki pekerja yang ramai dan mendapat sokongan adik beradiknya dalam menguruskan restorannya, mujurlah desakan keluarga tidak berterusan. Mereka akhirnya membiarkan Suraya terbuka hati sendiri. Jika dia ingin berkahwin maka dia akan berkahwinlah. Mereka tidak akan memaksa atau bertanya lagi.
“Saya bukan tak suka Su. Saya juga tidak benci. Saya cuba ingin memberi tumpuan pada masa depan Ari” itulah jawapan Arif Mikail yang tetap diingati sehingga kini. Arif Mikail lebih mengutamakan adiknya berbanding perasaan dan masa depannya sendiri.
“Ari bawa dua lagi tetamu dari Kuala Lumpur ni. Nak rasa menu istimewa Patin tempoyak akak. Biar mereka tahu betapa enaknya masakan restoran akak ni,” jawab Arif Mikail sambil memperkenalkan Camelia dan Amira.
Keduanya bangun dan bersalaman. Sempat Camelia memuji keenakkan patin tempoyak yang dimakannya. Amira pun begitu. Dia mencuba Patin Pais Tempoyak. Katanya ini kali pertama dia makan patin yang dipanggang. Rasanya lebih sedap berbanding gulai Patin sendiri.
“Kak, kami berempat nak kerja di sini. Boleh?” tiba-tiba Arif Mikail bertanya.
Pertanyaan itu membuatkan Aswad Ismadi yang ingin menikmati minumannya terlepas gelas di tangan. Air tembikai laici tumpah di meja.
Arif Mikail kenyit mata pada Camelia yang terpinga dengan permintaannya itu. Amirapun begitu. Dia pandang Farid. Farid angkat bahu. Suraya juga terkaku dengan pertanyaan secara terbuka Arif Mikail itu. Lebih-lebih lagi melihat kekalutan Aswad Ismadi, Suraya tidak tahu apa yang perlu dia jawab untuk menyelamatkan suasana yang semakin janggal dan tidak disangka itu.





