BAB 7
SULAIMAN dan Farid leka menonton. Mereka bagaikan memberi peluang untuk Iskandar berbual dengan ‘tetamu’ yang tidak diundang itu. Iskandar faham dengan tindakan abangnya itu. Dia lantas mengajak ‘tetamu’ itu ke pangkin bawah pokok rambutan. Tidak jauh daripada pandangan Sulaiman dan Farid.
Terus terang rasa kaget dan tidak percaya masih bermain di hati Iskandar. Dia cuba bertenang dan mengawal emosinya. Dia tidak mahu mempamerkan rasa kurang senang atau gembira dengan kedatangan tetamu itu. Jauh di sudut hati dia tidak menyangka akan dihadapkan dengan situasi sebegitu.
“Mana Lia tahu Is balik kampung?” tanya Iskandar dengan lembut. Separuh hatinya gembira dengan kedatangan Camelia itu. Separuh lagi dia masih belum dapat memahami mengapa Camelia datang.
“Lia ada caranya… Is tak mahu berterus terang, jadi Lia perlu usahakan sendiri jalannya untuk ke sini,” jawab Camelia dengan tenang. Dia tahu Iskandar masih keliru dengan kedatangannya secara mendadak itu.
Camelia tiada pilihan lain. Dia perlu tahu apa sebab sebenar Iskandar berubah sikap. Dan apabila Iskandar balik kampung secara tergesa-gesa tanpa memberitahunya, Camelia pasti ada sesuatu yang dirahsiakan. Dia perlu menyiasat untuk hatinya menjadi tenang. Kerana itulah dia meminta alamat kampung Iskandar daripada Farid.
“Bagaimana boleh kenal dengan abang Sulaiman?” itulah persoalan yang perlu Iskandar hadam terlebih dahulu. Melihat cara abangnya berbual sewaktu makan dengan Camelia, seolahnya mereka sudah mengenali. Walhal setahu Iskandar dia tidak pernah memperkenalkan Camelia pada abangnya. Hubungannya dengan Camelia pun masih abangnya tidak tahu.
“Sampai tengah hari tadi, Lia terus bertanya penduduk setempat alamat rumah Is. Seterusnya mereka membawa Lia berjumpa abang Sulaiman di kolam ikan patinnya lah. Di situ kami berbual dan makan tengah hari bersama.”
“Patutlah abang lambat balik. Rupanya jumpa Lia.”
“Maafkan Lia, Is. Lia tidak mahu kalutkan Is dengan kedatangan Lia ni. Lia hanya ingin tahu sebab sebenar mengapa Is tiba-tiba berubah. Mungkin bagi Is ianya tiada kaitan dengan Lia, tetapi sebagai seorang yang rapat dengan Ik, Lia tau ada sesuatu yang sedang Isk rancangkan atau sembunyikan. Itu sebabnya Lia minta izin mak dan ayah untuk bercuti di kampung Is ini,” jelas Camelia panjang lebar. Dia tidak mahu membiarkan Iskandar berterusan keliru dengan sikapnya yang mungkin agak terburu-buru itu.
“Berapa hari nak stay sini?” akhirnya Iskandar mengalah. Dia tidak mahu berhujah panjang lebar. Kalau ingin berkecil hati atau marah sekalipun sudah tiada guna. Sebagaimana pesan abangnya Sulaiman agar sentiasa melayan tetamu sebaik mungkin, itulah sikapnya kini. Kedatangan Camelia tetap diraikan.
“Tengok keadaan dulu… nak nikmati percutian ni dulu…”
“Jadi Lia tinggal di mana?”
“Ada homestay seberang sana tu.”
“Lia ni… berani sungguh jalan sorang-sorang. “
“Lia datang dengan Amira.”
“Amira mana?”
“Dia tak dapat datang. Penat katanya. Tidur sajalah kat bilik tu.”
Sedikit lega mendengar jawapan Camelia itu. Amira seperti juga Farid sering bersama mereka dalam setiap pertemuan. Jarang sekali keduanya tiada. Bagaikan pengapit kata Farid dan Amira apabila diminta menemani dia keluar dengan Camelia. Boleh dibilang berapa kerap dia keluar berduaan dengan Camelia. Itupun di tempat ramai orang. Iskandar tidak mahu perhubungannya dengan Camelia menimbulkan cerita kurang senang dikalangan kawan-kawannya.
Mulut tempayan boleh ditutup, tetapi mulut manusia, mana mungkin. Kerana itulah sepanjang perhubungan, Iskandar cukup menjaga batas agar tidak menimbulkan fitnah. Mungkin kerana sikapnya itulah dia disenangi oleh kedua ibu ayah Camelia. Mereka berasa selamat untuk Camelia berkawan dengannya. Pujian itu sebenarnya menakutkan Iskandar. Dia takut tidak mampu memikul tanggungjawab seperti yang diharapkan. Namun sedaya upaya dia mencuba menjadi teman lelaki yang baik untuk Camelia.
“Esok bawa Lia dan Amira pusing bandar Temerloh dan sekeliling kampung Is?”
“Kalau tak kisah tengok kehidupan orang kampung seperti Is ni, dipersilakan. Tapi jangan merungut pulak ye? Sini tak sama macam Kuala Lumpur tu,” sindir Iskandar mengusik Camelia.
“Semua tempat ada kelebihannya kan? Lia suka mencabar diri dengan sesuatu yang baharu…” balas Camelia tidak mahu kalah. Melihat senyuman Iskandar yang ikhlas itu, dia berasa lega. Iskandar tidak lagi marah dengan kedatangannya yang tidak diundang itu.
Camelia pulang ke homestay setengah jam kemudian. Iskandar masih duduk di anjung rumah menikmati angin malam. Dia melirik jam di tangannya. Sudah melepasi jam dua belas malam. Tentunya Farid sudah lama lena. Abangnya masih di dapur mengemas. Biarpun dilarang, seperti biasa Sulaiman tidak akan masuk tidur selagi pinggan mangkuk yang digunakan untuk makan malam tidak dicuci terlebih dahulu. Iskandar lantas membiarkan abangnya dengan rutin yang sudah lama diamalkan itu. Dia leka melayan fikiran bertemankan kedinginan malam. Mujur hujan belum turun.
“Tak mahu masuk tidur lagi ke?” tegur Sulaiman. Dia duduk di sebelah Iskandar.
“Belum mengantuk, bang!”
“Fikirkan apa sampai mata tak boleh lelap. Bukankah buah hati dah di depan mata tadi. Tak hilang rindu lagi?” usik Sulaiman.
“Abang ni… Is dengan Lia tu belum serius sangat la. Kami masih mengenal hati budi masing-masing. Awal sangat nak jadi buah hati buah apa pun,” jawab Iskandar dengan gurauan pula.
“Perempuan ni kalau sanggup datang jauh-jauh itu tandanya dia betul-betul sayangkan kita. Ingat tu. Jangan permainkan perasaan orang. Kena hargainya. Bukan senang nak jumpa perempuan macam Camelia yang seberani itu. Dia dah beritahu abang tentang perasaannya terhadap Is. Jadi nasihat abang, jangan persiakan orang seperti dia.”
“Dia cakap apa lagi?”
“Camelia beritahu abang tujuan dia datang ke sini. Dia nak tahu sebab Is tiba-tiba berubah. Is seperti mengelak daripadanya. “
“Mana ada macam tu. Is cuba nak balik kampung jumpa abang. Habiskan cuti semester di kampung. Dia pun tahu semua tu. Cuma Is tak jelaskan secara terus terang. Lagipun dia ada mengajak Is bekerja sambilan di syarikat ayahnya. Tapi awal-awal lagi Is menolak. Is ada sebab tersendiri untuk tidak menerima tawaran ayahnya itu,” jelas Iskandar berkenaan persoalan sebenar. Dia tidak mahu menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan abangnya. Sejak dulu lagi dia sentiasa berterus terang. Baik atau buruk yang dilakukan, abangnya yang terlebih dahulu akan mengetahui.
“Itu abang faham. Terlanjur dia dah ada di kampung kita ni, bawalah dia jalan-jalan pusing bandar dan kampung. Farid pun ada. Habiskan masa bersama mereka. Soal abang ni janganlah bimbang. Abang dah biasa dengan kehidupan di kampung ni,” terang Sulaiman penuh mesra. Dia menepuk bahu Iskandar seakan memberi semangat.
Iskandar angguk. Dia menoleh ke arah abangnya yang kebetulan memandangnya. Mereka berpandangan. Entah mengapa, hati Iskandar menjadi sebak dan sayu. Dia lantas memeluk Sulaiman dengan penuh erat. Perubahan sikap Iskandar yang tiba-tiba itu mengejutkan Sulaiman. Dia tidak pasti mengapa Iskandar menjadi begitu sensitif. Serasanya tiada kata-kata yang menguris hati dikatakan tadi. Sulaiman sekadar memberi nasihat.
Sulaiman membiarkan Iskandar memeluknya. Meskipun dia sedar ada titisan air mata yang hangat singgah di bahunya, dia hanya membiarkan. Diusap belakang Iskandar dengan penuh kasih sayang. Dia pasti seperti mana Camelia yang mencari persoalan sebenar tentang diri Iskandar, begitu juga dengan dirinya. Jauh di sudut hati dia turut merasakan pekara yang sama.
Apa sebenar yang Iskandar sedihkan sehingga menangis seperti anak kecil? Desis Sulaiman dengan kerisauan mula berputik.





