Bab 5
Aku tidak pernah menyesal. Cuma sesekali bila terkenangkan kenangan lama, hati terusik dan terfikir sendiri. Mengapa aku diuji sebegitu?
MALAM 14 Februari itu kediamanku berubah wajah. Badalah memainkan peranan penting mengatur segala persiapan. Dialah perancang perkahwinan. Daripada hiasan bilik tidur, pelamin sehinggalah penyediaan makanan, Bada yang mengendalikannya. Aku memberinya sepenuh tanggungjawab.
Ternyata Bada tidak pernah menghampakan. Segalanya berjalan seperti dirancang. Kediamanku seperti istana. Jambangan bunga segar dan lampu beraneka warna terhias indah.
Sejak pukul lapan malam lagi, aku sudah siap didandan. Dengan mengenakan sepasang gaun putih dari fabrik lace yang Syed Ikram belikan dari Paris, aku seperti tidak mempercayai di cermin itu adalah aku. Sebak dada menahan kesedihan dan kegembiraan.
“Usah bazirkan air mata di saat indah ini…” pujuk Bada yang tidak henti-henti membetulkan bentuk keningku. Dia beriya benar mahu aku berkening lentik seperti Ziana Zain, penyanyi kegemarannya.
“Aku sedihlah Bad!”
“Apa lagi nak disedihkan. Bukankah ini yang kau nanti dan impikan selama ini? Malam ini kau dan Syed Ikram akan disatukan,”
“Tapi aku tidak pasti apakah keputusan yang aku buat ini sesuatu yang akan kekal selamanya?” ujarku dengan persoalan yang aku sendiri sedar jawapannya.
“Semua itu terpulang pada kau dan Syed Ikramlah. Ini keputusan bersama kan? Soal kekal atau tidak, aku rasa kau tak perlu fikirkan sangat. Kita pun tahu hubungan orang seperti kita ni, penghujungnya macam mana. Cuma sebagai sahabat baik, aku hendak kau nikmati saat bahagia ini selagi ada. Soal esok lusa tu, biarlah masa yang menentukan,” nasihat Bada penuh bermakna.
“Aku faham maksud kau tu. Tapi tau kan, aku tidak ada pengalaman yang istimewa seperti ini? Apatah lagi diikat dengan tali perkahwinan. Apakah aku mampu untuk menjadi ‘isteri’ yang baik untuk Syed Ikram? Apakah dia akan terus membahagiakanku?” aku bertanya dalam gusar yang panjang.
“Kau ni… semua pasangan yang bercinta, berkahwin akan melalui saat suka dukanya. Aku cukup yakin kau mampu menjadi ‘isteri’ yang terbaik untuk Syed Ikram nanti,” jawab Bada dengan yakin.
“Tapi aku…”
“Dahlah tu. Tak perlu fikir yang bukan-bukan. Kau nikmati sajalah saat ini dengan sebaik mungkin. Tak ada apa yang perlu dirisaukan. Percayalah. Aku akan terus mendoakan kebahagiaan kau dengan Syed Ikram!”
Aku tahu kalau Bada tidak menasihati pun, hakikat perhubungan aku dengan Syed Ikram akan berakhir juga satu hari nanti. Cuma sebagai manusia, sering kali aku mengharapkan kebahagiaan ini terus kekal selamanya. Tetapi mustahil bukan?
Bada keluar selepas puas membelek dan membetulkan solekanku. Dia tersenyum gembira. Barangkali impiannya untuk menyolek aku dan menyempurnakan aturcara majlis perkahwinan aku telah tercapai dengan jayanya.
Bersendirian di bilik pengantin, tiba-tiba sahaja aku terkenangkan ibu. Dari dalam cermin itu raut wajah aku saling tak tumpah ibu. Tentunya semasa ibu berkahwin dengan ayah dahulu, ibu secantik aku.
Hanya ibu yang kuberitahu tentang majlisku. Tidaklah aku memberitahu secara jelas tentang tujuanku. Kepada ibu, majlisku itu hanyalah untuk meraikan kehadiran teman baruku. Itu sahaja. Aku pun tidak tahu mengapa kepada ibu kukhabarkan tentang majlis aku ini.
Secara jujurnya, aku lebih menghormati ibu berbanding ayah. Ibu menerima keadaanku dengan fikiran terbuka. Walaupun dia kesal kerana aku tidak menjadi anak lelaki yang sepatutnya, dia tidak tergamak untuk membuang aku. Cuma ibu selalu menasihatiku agar jangan keterlaluan. Aku faham maksud ibu dengan istilah keterlaluannya itu.
Pesan ibu, kalau kita tidak mampu untuk melakukan semua kebaikan, mencubalah buat separuh kebaikan. Jika tidak upaya juga, sedaya upaya jangan tinggalkan kebaikan langsung.
Berbanding ayah yang sarat dengan penghinaan dan kejian, ibu menerima aku seadanya. Ayah bagaikan tidak menanggap aku anaknya lagi.
Antara pesan ibu dan penghinaan ayah, aku sering berperang dengan perasaan sendiri. Keduanya aku sayang, tetapi sikap ayah yang keterlaluan menjadikan aku amat berjauh hati.
“Ayah tak benci Bahrin. Dia tetap sayangkan semua anak-anak dia. Bahrin jangan berdendam dengan ayah ye? Beri masa untuk dia terima semua ni. Kita doa banyak-banyak. Allah kan ada!” pujuk ibu pada setiap kali aku menyuarakan rasa tidak puas hati dengan sikap ayah.
“Bahrin tak benci ayah, bu. Bahrin cuma sedih. Ayah layan Bahrin macam Bahrin ni bukan anak dia. Adik-adik lain semua dia tunjukkan kasih sayang. Bahrin ni macam tak ada erti langsung,”
“Ibu sedia maklum dengan perangai ayah tu. Dia tak tunjuk pada Bahrin bukan bererti dia membenci. Dia cuba memujuk hati dengan keadaan Bahrin tu. Jauh di sudut hati, dia tetap sayangkan Bahrin. Yakinlah dengan cakap ibu ni,” tambah ibu yang tak henti-henti memujuk
Seperti selalu itulah nasihat ibu. Dia tidak henti menasihati. Sentiasa menenangkan aku. Kelembutannya dalam mempamerkan kasih sayang pada anak-anak cukup aku senangi. Ibu tidak pernah mengeluh atau berleter dengan apa yang berlaku. Bagi ibu, setiap apa yang terjadi mesti ada hikmah tersendiri. Kita perlu yakin dengan takdir Tuhan.
“ALLAH akan sentiasa menguji hamba-NYA. Nabi pun yang maksum tu lagi teruk ujiannya. Inikan pulak kita yang banyak kesilapan dan selalu terleka dengan urusan duniawi.
“ALLAH menguji sebab dia sayangkan kita. Bila kita diuji DIA nak kita sentiasa ingat pada DIA. Ingat ketika susah dan senang,” tokok ibu lagi.
Ibu yang sibuk mengajar aku memasak rendang ayam itu, terus melontarkan kata nasihat. Tanpa jemu. Tanpa bosan. Lebih-lebih aku dan ibu agak rapat berbanding adik beradik yang lain. Masa lapangku banyak bersama ibu.
“Bahrin penatlah ibu kalau diuji terusan begini…”
“Jangan cakap macam tu. Ibu kan ada?”
Itulah penawarnya. Hanya ibu yang memahami aku. Hanya ibu yang tidak pernah membenciku. Ibu tetap sarat dengan kasih sayang. Tiada kurang, melimpah ruah.
***
“SEHINGGA sekarang bagaimana perasaan Brian terhadap ayah?” saya bertanya. Ingin melihat reaksi Brian. Masihkah dia dihantui rasa benci pada ayahnya?
“Sebagai anak, mana mungkin aku boleh membenci ayah sendiri sampai bila-bila. Ayah tetap ayahku. Aku tidak boleh membencinya walau apapun perbuatan atau kata-katanya padaku semasa aku remaja dulu. Masa sudah merubah segalanya. Aku tidak membenci ayah. Malahan aku lebih faham mengapa ayah bertindak begitu…” sahut Brian tenang.
“Bagamana Brian boleh ‘pecah lubang’ dengan ayah?” saya memberikan istilah ‘pecah lubang’ untuk lebih dekat dengan pemahaman Brian. Istilah sebegitu selalu digunakan oleh orang seperti Brian dalam memperjelaskan terpecahnya tembelang atau ‘kantoi’.
“Salah aku jugak kot. Tidak berhati-hati. Ayah mungkin pendiam. Dia banyak memerhati. Tentunya perubahan aku yang makin hari makin ‘lembut’ itu membuatkan dia tidak tenang.”
“Makin “lembut’?”
“Aku sebenarnya tidaklah terus jadi lembut gemalai macam sekarang ni. Dulu aku biasa saja. Seperti remaja yang lain. Masih keras dan langsung tiada kelihatan sisi lembut,”
“Boleh berubah ye?”
“Ada orang dilahirkan lembut sejak kecik. Tu semula jadi. Tapi aku tidak. Lembut aku lebih kepada perubahan sikap dan emosi aku dari masa ke semasa. Bayangkan kalau kita melalui kehidupan baharu yang berterusan. Secara sengaja atau tanpa sedar kita akan terikut-ikut. Lebih-lebih lagi kalau bergaul dengan geng yang sama. “
“Pernah sukakan seseorang? Maksud saya perempuan. Cinta monyet semasa sekolah?” cungkil saya lagi.
“Ada. Jiran sebelah. Ana. Kami sekelas. Perasaan suka tu tetap ada. Terasa ingin nak mendekatinya. Kawan-kawan sekelaspun selalu menjodohkan kami sebab kami selalu menghabiskan masa bersama.”
“Ana tau Brian suka kan dia?”
“Tahu. Cuma cinta monyet je kan? Bila dia berpindah sekolah lain, kami terputus hubungan. Waktu itu aku pulak rapat dengan Tuan Khairil. Masa aku lebih banyak bersama Tuan Khairil dan kalau tidakpun di rumah sahaja. Menyudahkan kerja seharian tanpa henti setiap hari. Mana ada masa untuk kenal orang lain lagi.”
“Bila aku rapat dengan Kak Som, lagilah aku sibuk. Aku menjadi seronok untuk belajar ilmu kecantikan terutama bab solek menyolek ni. Bermula menyolek muka Kak Som, pelanggan dan akhirnya memberanikan diri melukis muka sendiri, aku mula sedar yang aku ada bakat dalam bidang kecantikan dan solekan. Tu yang menjadi semakin lembut dan mengalahkan perempuan!” ucap Brian ketawa lucu. Dia pasti terbayangkan betapa proses kehidupan yang dilaluinya itulah menjadikan dia seperti sekarang.
“Menyesal?”
“Kenapa nak menyesal pulak? Aku terima kehidupan lalu dan kehidupan sekarang dengan fikiran terbuka. Pengalaman lalulah yang menjadikan aku kuat dan tabah seperti sekarang. Aku tidak pernah menyesal. Cuma sesekali bila terkenangkan kenangan lama, hati terusik dan terfikir sendiri. Mengapa aku diuji sebegitu?”
Melihat Brian termenung panjang. Saya mohon diri untuk keluar membuat panggilan sambil mengambil angin. Gerimis masih belum berhenti. Suasana masih dingin. Namun dingin itu amat mendamaikan dan tenang sekali. Saya duduk di bangku besi sambil melayan perasaan.
***
KEJADIAN malam itu masih segar di ingatan. Waktu itu aku sedang bersiap untuk pulang ke asrama setelah bercuti penggal. Di luar kesedaranku, ayah telah atau sengaja berniat begitu membuka begku.
Ibu hanya tercegat kaku, apabila ayah membaling celak, maskara, bedak, foundation, gincu, pisau cukur dan alatan solekan yang lain ke arahku. Aku yang baru keluar dari bilik air terpinga-pinga.
Malam itu ayah bagaikan gajah naik minyak. Aku disepak terajang. Tubuhku lumat menerima penumbuknya.
Ibu cuba menenangkan ayah. Gagal. Tetapi ibu bernasib malang. Dia pula menjadi mangsa. Ibu diterajang dan ditendang kerana membantuku. Serentak dengan itu ayah memaki ibu. Ayah menyalahkan ibu kerana melahirkan anak yang tidak sempurna. Ibu tunduk menangis tersedu-sedu.
Melihat keadaan itu aku bingkas meluru mendapatkan ibu. Kaki ayah kusambar sebelum sempat singgah lagi ke perut ibu. Entah dari mana kekuatan datang, aku menolak ayah sekuat hati. Dia terdorong ke belakang lalu jatuh terlentang ke lantai. Terkebil-kebil ayah melihat aku bercekak pinggang merenung tajam ke arahnya.
Kesempatan itu aku gunakan sepenuhnya meluahkan isi hati. Selama ini tidak berani berbuat demikian memandangkan selagi aku mampu merahsiakan gejolak batinku. Biarlah aku menyembunyikan daripada pengetahuan ayah.
Tapi terlanjur ayah telah mengetahui, aku anggap itu adalah masa yang paling sesuai untuk menerangkan perkara sebenar. Aku tidak mahu lagi hipokrit. Andai ayah tidak mahu mengaku aku anaknya, tidak mengapalah. Rasanya itu lebih baik daripada terus berpura normal sedangkan keadaan sebenar tidak begitu.
“Ini masalah Bahrin. Sama ada ayah rela atau tidak, ayah perlu terima hakikat ini. Jangan salahkan ibu atau sesiapa. Jalan ini pilihan Bahrin sendiri,” kataku penuh berani.
“Engkau sudah gila. Kau tu lahir sempurna macam orang lain. Tak ada kurangnya. Keturunanku semuanya subur-subur belaka,” jawab ayah dengan muka masih menahan sakit akibat jatuh terlentang tadi. Dia cuba bangun tetapi gagal. Sudahnya dia duduk di lantai memandang aku dengan rasa marah dan geram.
“Bahrin akui semua itu. Tapi ini soal perasaan. Bahrin tidak mampu menjadi lelaki sejati. Terimalah Bahrin seadanya,” balasku penuh harap.
“Alah alasan. Engkau tu terlalu mengikut perasaan!” bentak ayah.
“Itu kata ayah. Bahrin lebih tahu tentang perasaan dan keinginan hati ini…”
“Bertaubat Bahrin. Kau tu lelaki!”
“Memang Bahrin dilahirkan lelaki. Tapi Bahrin berjiwa perempuan. Jiwa ni lebih daripada perempuan sebenar. Ayah kena faham!”
“Aku takkan faham. Kau tu kena berubat. Kita jumpa ustaz. Pulihkan kau tu,”
“Ayah, Bahrin dah berusaha. Bukan terima bulat-bulat ketentuan ini. Bahrin juga berdoa. Bersolat. Bahrin minta Tuhan tunjukkan siapa Bahrin yang sebenar. Inilah diri Bahrin sejujurnya kalau ayah nak tahu…”
“Tidak! Aku lebih rela engkau mati daripada memalukan keluarga!”
Dengan penuh kepayahan ayah mencuba untuk bangun semula. Kali ini ayah berjaya dan dia terus meluru ke dapur. Tidak berapa lama kemudian ayah muncul dengan parang panjang di tangan. Ibu menjerit meminta tolong. Adik-adikku yang lain berlari masuk ke bilik. Mereka ketakutan melihat ayah yang tidak pernah marah itu tiba-tiba bertukar watak.
“Bahrin juga rela mati kalau itu yang ayah inginkan.Tapi sebelum ayah melakukannya, Bahrin ingin beritahu sesuatu. Sama ada hidup atau mati, perasaan Bahrin tetap satu. Bahrin lebih perlukan lelaki dalam hidup…”
Aku memejamkan mata ketika ayah meluru ke arahku. Serentak dengan itu aku mendengar jeritan ibu.





