BAB 4 – USAI LARA

Bab 4
 
Aku tidak pernah menyesal. Cuma sesekali bila terkenangkan kenangan lama, hati terusik dan terfikir sendiri. Mengapa aku diuji sebegitu?
 
MEREKA sampai ke Perhentian Bas Pekeliling, Kuala Lumpur setengah jam sebelum bas bertolak. Jam 10 pagi itu Arif Mikail dan Farid menaiki bas ekspress ke Temerloh, Pahang Darul Makmur. Kampung kelahiran Arif Mikail. Perjalanan yang memakan masa tidak kurang sejam setengah itu, Arif Mikail habiskan dengan membaca buku agama yang dihadiahkan Camelia sempena hari jadinya. 
 
Surat Untuk Orang Yang Putus Asa karya Adnin Roslan itu bagaikan memujuk hatinya untuk terus membaca sepanjang perjalanan. Farid seperti biasa. Asyik makan kudapan dan mendengar muzik di telefonnya. Dia tidak seperti biasa. Matanya tetap segar. Selalunya kalau masuk kereta atau bas sahaja, dia akan terus tidur. Tetapi kali ini dia begitu ceria. Seolahnya tidak sabar untuk sampai ke destinasi yang diidamkan selama ini. 
 
“Camelia tau ke kau balik pagi ni?” Farid menolak lengannya ke bahu Arif Mikail yang begitu leka membaca. 
 
Arif Mikail meletakkan buku di riba. Dia berpaling menghadap Farid. Pandangan kosong yang memberikan makna Camelia tidak tahu tentang kepulangannya itu. 
 
“Tak baik kau buat dia macam tu. Beritahu sajalah. Kan dia perlu tahu kau balik bila?” nasihat Farid seperti tidak puas hati dengan tindakan Arif Mikail itu. Camelia cukup rapat dengannya. Mereka berdua sudah dianggap pasangan kekasih yang cukup popular di kolej. Mana mungkin Arif Mikail tidak memberitahu dia pulang ke kampung. Sekurang-kurangnya Camelia boleh menghantar mereka ke perhentian bas. 
 
“Aku ada alasan sendiri untuk tidak memberitahunya…” “Alasan apa pulak? Kalau kau tidak mahu dia menghantar kita, kau tetap perlu beritahu kau akan balik kampung sepanjang cuti semester ni. Benda mudah je kan? Apasal kau buat dia macam tu?”
 
Arif Mikail tidak menjawab. Dia melepaskan keluhan resah. Dia kembali membelek halaman buku. Tetapi tumpuan dan semangat untuk membaca hilang sudah. Kata-kata Farid sebentar tadi mengusik hatinya. 
 
Di luar pengetahuan Arif Mikail, Farid telah berjumpa Camelia dan Amira pada malam tadi. Permintaan Camelia membuatkan dia terpaksa datang berjumpa juga di warung berdekatan rumah sewa mereka. Ikut hati dia ingin menolak pertemuan itu. Desakan dan rayuan Camelia mencairkan hatinya. Amira pun turut menghubunginya memohon dia datang jugak. Ada perkara yang ingin mereka tanya dan bincang.
 
Sebelum itu, ketika melihat Arif Mikail mengemas semua barangannya, timbul pula kehairanan di hati Farid. Biasanya Arif Mikail hanya membawa sedikit pakaian dan selebihnya ditinggalkan. Kali ini semuanya diangkut dan dikemaskan. Dua buah beg besar sendat berisi barangan Arif Mikail.
 
“Macam nak pergi Haji je ni?” 
 
“Banyak barang ni. Aku nak tinggalkan di kampung je. “
 
“Kalau ye pun janganlah tinggalkan bilik ni macam tak nak balik semula. Semester akan datang kan kita akan tetap menyewa di sini?”
 
“Biar kita tinggalkan dengan keadaan bersih dan kemas. Buatnya ada Cik Ti dan Cik Li datang menumpang sepanjang kita di kampung, siapa nak jawab?”
 
“Cik Ti , Cik Li. Ada penyewa baharu ke?”
 
“Cik Tikus, Cik Lipas lah Lid,” balas Arif Mikail dengan gelak kuat. Terhibur dia dapat mengenakan Farid yang lurus bendul itu. 
 
“Cakaplah member baik kau tu. Ingatkan ada awek yang tumpang bilik ni?”
 
“Eh, ke situ pulak. Kau ingat Cik Siti dan Cik Liza ke yang menyewa di hujung sana tu yang akan duduk sini?”
 
“Kalau betul pun apa salahnya kan?” 
Arif Mikail terus mengemas. Tidak peduli lagi dengan pertanyaan Farid. Dia mahu tinggalkan biliknya itu sebersih-bersih dan sekemas-kemasnya. Kalau pun dia tidak menyewa di situ lagi, dia tetap akan tinggalkan bilik itu seperti mana dia masuk dahulu. 
 
“Dia kemas semua barang-barangnya. Semua dibawa. Langsung tiada yang tinggal!” ujar Farid memulakan ceritanya. Seperti mana Camelia tertanya dengan perubahan sikap Arif Mikail itu, dia juga begitu. Dia ingin bertanya lebih lanjut.
 
Namun sikap Arif Mikail yang sering membiarkan pertanyaannya tergantung tanpa sebarang jawapan, membuatkan dia tidak mahu bertanya lagi. Bimbang pula kalau didesak nanti, Arif Mikail membatalkan hasrat untuk membawanya balik kampung. Kempunan nanti dia. 
 
` “Nak balik  bila?” tanya Amira pantas bertanya. Dia memandang Farid dengan teruja. Keterujaan kerana dapat bertentang mata secara dekat. Sementara Camelia lebih banyak mendiamkan diri. Dia lebih banyak membiarkan Amira dan Farid berbual-bual tentang sikap Arif Mikail itu. 
 
“Esok pagi!” 
 
“Esok pagi?” serentak Camelia dan Amira menjawab. Suara mereka yang bergabung itu membuat beberapa orang pelanggan yang ada di warung berpaling memandang mereka kehairanan. Menyedari sikap mereka yang mengganggu itu, Farid angkat tangan dan memohon maaf.
Dia memberi isyarat mata pada Camelia dan Amira agar jangan cakap terlalu kuat. Hormati ketenangan orang lain. Camelia dan Amira termalu sendiri. Pura-pura tunduk sambil menjamah mee goreng yang sejak tadi belum disentuh.
 
“Cepat betul…” keluh Camelia tidak puas hati. Pertemuan kelmarin, Arif Mikail langsung tidak menyentuh soal dia akan balik kampung dalam waktu terdekat. Ketika ditanya, jawapannya masih belum pasti. 
 
“Ari ada cakap sebab dia nak balik kampung segera?” tanya Amira pula.
 
“Dia tak cakap apa-apa. Cuma dia rindu nak jumpa abang dia saja. Itu yang berulangkali dia cakap pada aku.”
 
“Dia memang rapat dengan abangnya tu…” tingkah Camelia perlahan. Dia sedar tentang hakikat itu. Dalam setiap perbualan mereka, tidak pernah lekang nama abangnya Aswad Ismadi disebut. Tentang pengorbanan Aswad Ismadi. Kasih sayang Aswad Ismadi terhadapnya. Begitu bersungguh Arif Mikail bercerita tanpa jemu.
 
“Abang dia sakit kot?”
 
“Eh taklah. Kalau sakit, lagi awal dia dah balik kampung!” tokok Farid.
 
“Jadi apa sebenarnya muslihat Ari ni?”
 
“Lia, aku sebagai kawan baiknya pun tak boleh nak memjawabnya. Kau patut lebih tahu. Kau kan awek dia!”
 
“Itu aku tahulah. Tapi aku bukannya ahli nujum yang dapat membaca isi hatinya. Semenjak sebulan dua ni, dia berubah perangai. Kurang bercakap. Lebih banyak termenung. Macam terlalu banyak benda yang sedang difikirkan. Bila aku tanya, dia selalu cakap tak ada apa-apa,” balas Camelia menerangkan duduk perkara sebenar. 
 
Dia bukan tidak berusaha untuk memahami dan menyokong apa juga sikap dan tindakan Arif Mikail. Tetapi dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan pemahaman dan sokongan itu. 
Cuma dia terperasan renungan dan senyuman Arif Mikail yang dilemparkan padanya mengandungi kesedihan dan kepiluan. Dia tidak pasti sama ada itu hanya perasaannya atau prasangka. Arif Mikail lebih banyak memandangnya daripada meluahkan kata-kata seperti dahulu. Senyuman yang terukirpun bagaikan dibuat-buat.
 
“Habis kau nak suruh aku buat apa sekarang?” tanya Farid.
 
“Malam ni, kau mesej aku alamat kampung dia. Pandai-pandailah kau cari alamatnya itu. Selongkar dompet atau kad pengenalan Ari. Aku nak tahu dia tinggal mana.”
 
“Kau nak buat apa?”
 
“Itu kau tak perlu tau. Kau buat je apa yang aku suruh. Nanti aku beritahu kau apa aku nak buat…” jelas Camelia tenang. Wajahnya yang keruh tadi bertukar ceria. Idea spontan yang difikirkannya itu adalah tindakan terbaik untuk dia menyelesaikan segala kemelut. 
 
Farid dan Amira saling berpandangan. Cuba memahamkan perancangan Camelia itu. Mereka sedar, Camelia  tidak akan membiarkan persoalan yang mengusik hatinya begitu sahaja. Dia akan berusaha menyelesaikannya. Mereka pasti sebagaimana Arif Mikail yang cuba merahsiakan sesuatu, Camelia juga begitu.
 
“Dua dua buat kita sakit jiwa!” Farid menghantar mesej ke telefon Amira. Amira yang terkejut dengan tindakan Farid itu tersenyum lebar. Senyum pertamanya kerana Farid sudah pandai membalas mesej walaupun bukan berkaitan dengan dirinya. Sekurangnya itu permulaan untuk dia dekat dengan Farid. Kemelut Arif Mikail dan Camelia adalah kesempatan untuk Amira untuk menawan hati Farid pula.
 
“Sambil menyelam minum air!” bisik Amira senyum manis.  
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *