Bab 4
Hanya satu persinggahan. Tiba waktu berlalu sepi. Merana seorang diri. Tiada siapa yang peduli.
PERTEMUAN di sebuah resort di Pulau Tioman menemukan aku dengan Syed Ikram. Waktu itu aku menghadiri seminar hiasan dalaman selama seminggu. Syed Ikram pula bersama teman-temannya datang bercuti.
Pada awalnya, tidak mengambil kisah walaupun menyedari ada mata merenungku. Aku cuba bertenang dan beratur mengambil makanan ketika turun ke café untuk makan malam. Sangkaku hanyalah mainan perasaan sahaja.
Sehinggalah seorang lelaki menghampiri sambil menghulurkan segelas minuman. Dia mengajak aku berbual-bual. Perbualan yang santai itu tidak berakhir sekadar itu. Kami bertukar kad dan nombor telefon.
Aku sendiripun tidak menyangka perkenalan tidak sengaja itu, membingkiskan keserasian antara kami. Malam itu kami menghabiskan masa berbual hingga pagi di tepi pantai. Langsung tidak terasa mata mengantuk. Daripada satu cerita ke cerita tentang kerjaya, kehidupan dan gosip selebriti dan ahli politik kami bincangkan. Aneh bukan? Seakan telah lama saling mengenali.
Paling indah bila melihat matahari terbit. Betapa romantisnya saat itu. Ia detik yang tidak pernah aku lalui sebelum ini. Biar pada mulanya agak janggal memenuhi permintaannya untuk menghabiskan masa hingga ke pagi, tetapi cara Syed Ikram memujuk menjadikan aku cair.
Sepanjang malam bersamanya, tidak terasa masa berlalu. Namun ada beberapa insiden yang membuatkan aku termalu sendiri. Rupanya ada saat aku terlelap seketika. Sedar-sedar aku terlentuk di bahunya. Syed Ikram hanya membiarkan. Malah dia memeluk bahu tanpa janggal. Jaket yang dipakai di letakkan di bahuku.
“You mimpi apa ye? Sampai mengomel sendiri…”
“I cakap apa?” tanyaku terkejut bercampur malu. Bimbang aku tersebut perkataan yang bukan-bukan. Apalah yang bermain di fikiranku sehingga boleh menggigau begitu?
“Macam rindukan seseorang je?”
“Eh, iya ke?”
“Siapa Tuan Khairil?”
Alamak! Kenapa nama itu yang aku sebut? Walhal sudah lama nama itu aku singkirkan daripada hidupku. Begitu juga dengan Cikgu Kamal dan sesiapa juga yang aku rasakan tidak penting. Aku lebih fokus pada diri sendiri. Menyayangi diri sendiri sepenuhnya.
“Kawan lama…” hanya itu yang termampu aku jelaskan. Syed Ikram tersenyum manis.
“Usah dikenang orang yang jauh. Kita yang sebelah ni jangan dilupa! “ ringkas sahaja jawapan Syed Ikram yang membuat aku terasa sesuatu yang mesra lekat di hati.
Kesibukan selepas seminar, membuatkan aku terlupa tentang Syed Ikram. Namun pengurus sebuah hotel di Johor Bahru itu rupanya tidak melupakan aku. Dua hari kemudian dia menghubungi aku di Kuala Lumpur. Aku melayannya seperti biasa. Bagiku, perkenalan dengan Syed Ikram berkemungkinan tamat di Pulau Tioman sahaja. Dia tidak layak untuk aku. Bersamanya membuatkan aku merasa rendah diri.
Apa yang dapat aku katakan, Syed Ikram memiliki kesempurnaan sebagai seorang lelaki. Tingginya enam kaki dua inci. Susuk tubuh sasa dan kekar. Kulitnya sawo matang. Raut wajahnya lembut romantis dengan renungan mata yang menggoda. Setiap kali tersenyum, terukirlah sepasang lesung pipit di pipi. Merah bibir, hidung mancung terletak beserta penampilan penuh maskulin menjadikan sesiapa juga akan menoleh dua kali kalau terserempak dengannya.
Dan lebih menyenangkan aku melihat bulu-bulu halus di tangan dan dadanya. Jatuh cinta aku dibuatnya!
Perasaan itu kusimpan sahaja di hati. Sehinggalah kekerapan Syed Ikram menghubungiku siang dan malam, menyedarkan aku tentang kesungguhan lelaki berusia 27 tahun itu.
Setiap minggu dia akan turun ke Kuala Lumpur. Kami akan menghabiskan masa bersama. Menonton wayang atau mengunjungi café yang viral di Kuala Lumpur. Seperti mana aku yang suka makan, begitu juga Syed Ikram. Viral sahaja sebarang menu kami akan set temujanji untuk menikmati keenakan menu dan menghabiskan masa di café atau restoran tersebut. Tidak hanya itu jika gerai di tepi jalan pun, Syed Ikram tetap selesa untuk makan bersamaku.
Adakalanya kami hanya memerap di hotel atau rumahku. Menonton tv atau masak bersama. Bersamanya setiap minggu aktivitiku penuh dan terisi. Waktu itu adalah detik yang amat indah dan asyik. Syed Ikram melayan aku umpama permaisuri.
Walaupun keinginan untuk ‘bersama’ ke ranjang, tidaklah aku mengutarakan. Aku malu seandainya Syed Ikram menolak. Sepanjang perkenalan, dia hanya memegang tanganku. Itu sahaja. Hanya sesekali dia memeluk ketika aku hampir terjatuh sewaktu menuruni anak tangga atau menyeberang jalan yang sesak dengan kenderaan.
Syed Ikram tidak seperti lelaki lain. Dia tidak pernah mengambil kesempatan. Dia berbeza daripada lelaki yang pernah hadir dalam hidupku. Tuan Khairil, Cikgu Kamal, Mustapha (kawan sebilik semasa menuntut di sebuah universiti tempatan) dan Christopher (kenalanku dari London).
Ternyata dalam ramai ‘kekasihku’ itu Syed Ikramlah yang paling istimewa. Mungkin kerana itulah aku mula menyimpan perasaan terhadapnya.
Jika ada kelapangan, aku pula turun ke Johor Bahru. Syed Ikram akan membawaku bersiar-siar. Bersantai di Desaru. Menikmati keindahan alam di Air Terjun Kota Tinggi dan membeli belah di Singapura.
Suatu malam ketika bersiap untuk pulang ke Kuala Lumpur, Syed Ikram masuk ke bilik. Dia duduk di sisi. Agak berdebar melihatnya asyik merenungku. Terasa kurang selesa. Aku baru sahaja selesai mandi. Bercelak pun belum. Apatah lagi untuk berbedak atau bergincu.
“I senang melihat Brian tanpa mekap. Kecantikan semula jadi!” puji Syed Ikram penuh mesra. Aku terharu mendengar pujiannya itu. Rasa malu kerana tidak sempat berdandan bagaikan permaisuri.
“Janganlah kata macam tu. I tahu tanpa mekap, tak cantik pun!” balasku merendah diri.
“Betul I cakap, you tetap cantik macam ni,”
“Pandailah tu… puji-puji ni nak apa?” usikku terasa amat gembira dengan pujian ikhlas Syed Ikram itu. Hatiku kembang mekar seumpama mawar merah.
“I cakap yang betul. Ikhlas!” ucap Syed Ikram mencuit pipiku. Merah mukaku menahan malu. Syed Ikram gelak kecil melihat sikap aku yang kekok dan janggal itu.
Semenjak itulah aku mula tidak bermekap. Kalaupun teringin, hanya mengenakan sedikit celak dan bergincu nipis rona kulit. Syed Ikram juga menyarankan aku memakai pakaian yang lebih menampakkan kelelakian sewaktu di luar. Kalau di rumah, aku bebas pakai apa sahaja. Sama ada berkemban kain batik, berkurung kedah atau bergaun pendek. Syed Ikram membenarkan. Aku akur. Demi Syed Ikram aku sanggup berkorban apa sahaja. Aku terlalu menyayanginya.
“I ada sesuatu untuk Brian,” beritahu Syed Ikram ketika mengunjungiku pada minggu berikutnya. Aku yang senang mengemas bilik berpaling. Lama aku memerhati. Hairan. Tidak pernah Syed Ikram begitu serius. Tentunya ada sesuatu yang disembunyikan.
“Will you marry me?” Syed Ikram tiba-tiba berlutut. Dia mengeluarkan sebuah kotak kecil warna merah dari poket jaketnya. Sebentuk cincin bertatah berlian dikeluarkan.
Aku tergamam. Sungguh aku tidak menyangka begitu sekali tindakan Syed Ikram. Lidahku kelu merenung Syed Ikram yang kelihatan gugup itu.
“You bergurau ke ni?” aku cuba mengawal perasaan. Sebenarnya ingin sahaja aku menjerit kegembiraan. Saat yang aku impikan telah terjadi di depan mata.
“I takkan bergurau kalau ianya membabitkan perasaan i sendiri,” jawab Syed Ikram seakan terguris dengan kata-kataku itu.
Timbul rasa bersalah pula beranggapan begitu. Aku tidak bermaksud begitu. Cuma tindakan drastik Syed Ikram itu menghilangkan segala butiran kata yang wajar aku tuturkan.
“Kita kahwin?” ulang Syed Ikram lagi. Wajahnya merenung aku penuh harap. Penuh kasih sayang.
Apalah jawapan yang dapat dikatakan selain daripada bersetuju. Lamaran Syed Ikram itu tidak mampu untuk ditolak. Malahan itulah yang amat kunantikan sejak dulu lagi. Aku ingin mengakhiri perhubungan dengan Syed Ikram dengan sesuatu yang amat bermakna untuk kami berdua.
Ketika aku mengucapkan persetujuan, buat pertama kali sejak perkenalan kami, Syed Ikram memberanikan diri mencium dahiku. Betapa bahagianya aku. Seakan dunia ini milik kami berdua.
***
“HAI macam anak dara pulak Brian ni ye?” usik saya mendengar cerita Brian dilamar dalam situasi sebegitu.
“Itulah istimewanya Syed Ikram. Dia layan aku macam aku ni perempuan. Sebab itulah dia nak buat sesuatu yang istimewa pada hari perkahwinan kami itu,” kata Brian dengan mata berkaca-kaca.
“Jadi tarikh 14 Februari tu amat kenalah pada pandangannya untuk menyempurnakan ikatan cinta kalian berdua?”
“Kan hari tu hari kekasih. Valentine’s Day. Kami nak jadikan tarikh keramat yang tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila,”
“Tapi secara jujurnya saya tanya Brian, hari kekasih bukan budaya kita kan?” sengaja saya bertanya untuk melihat kefahaman Brian tentang hari yang dibanggakannya itu.
“Memang bukan budaya kita tetapi dah semua orang yang berkasih sayang meraikan, rasanya tak salah kalau kami berdua memilih tarikh tersebut?”
“Pembetulan! Saya tidak meraikannya…” bantah saya sambil angkat tangan.
“Oklah, tak semua. Segolongan saja,” jawab Brian mengalah. Dia ketawa melihat saya yang mengangkat tangan seperti orang membaca ikrar.
“Jadi Brian mahu jadikan tarikh itu sesuatu yang istimewa, meskipun tahu apa yang dilakukan itu sesuatu yang bukan budaya dan tuntutan agama?”
“Itulah aku cakap tadi, masa tu semuanya serba indah. Langsung tak nampak kekurangannya. Aku dah terlalu sayangkan Syed Ikram. Dia pun dah separuh gila mencintaiku,”
“Rasa tak percaya pulak cerita Brian ni?”
“Terpulanglah. Tapi cuba engkau tengok gambar-gambar ni,” Brian menghulurkan sebuah album.
Saya tidak pasti album tersebut mengandungi gambar apa. Namun mengikuti perkiraan saya dengan cerita Brian, album gambar tersebut berkait rapat dengan majlis istimewa pada 14 Februari itu.
***
SEMINGGU sebelum hari bersejarah itu Syed Ikram membawa aku ke studio fotografi yang lengkap dengan deretan pakaian pengantin. Sepanjang hari aku dan Syed Ikram berdandan rapi. Kami bertukar lapan pasang baju pengantin.
Bermula dengan songket kuning berkerawang benang emas sehinggalah gaun putih krim, kami kelihatan begitu serasi. Niat hati ingin memakai lapan belas pasang. Sekali seumur hidup, aku sanggup memakai apa juga. Andai seratus pasang pakaian pengantin pun aku rela.
Tetapi sayang, banyak baju yang tidak padan dengan tubuhku. Bahuku terlalu bidang. Gaun putih krim itu pun, gaun terakhir yang muat untuk aku. Gaun yang lain tidak muat dan ketat.
Sepanjang hari itu juga aku lihat Syed Ikram begitu gembira sekali. Walaupun terpaksa menunggu aku bertukar persalinan dan solekan, dia tetap sabar dan tenang. Kadang-kadang aku menjadi malu melihatnya duduk merenung aku disolekkan. Lapan pasang persalinan, lapan kalilah aku bertukar solekan dan dandanan rambut.
“Gambar-gambar inilah kenangan abadi yang bakal menjadi ingatan hingga terpejam mata I ,” bisik Syed Ikram ketika aku bersandar di dadanya mengikut arahan jurugambar.
“I tak sangka you buat semua ini demi kita,” jawabku terharu.
“Apa lagi dapat dikatakan, i terlalu sayangkan Brian,” ujar Syed Ikram pula sambil meletakkan tangannya di pinggangku.
Sesi fotografi itu tamat jam sembilan malam. Selepas makan di restoran Jepun, kami pulang. Sepanjang perjalanan itu aku melentukkan kepalaku di bahu Syed Ikram.
Kepenatan meratah tubuh. Syed Ikram meminta aku melelapkan mata sebentar. Sampai nanti dia akan membangunkan aku. Dengan manja aku menolak saranan Syed Ikram itu.
Tidak sampai hati untuk membiarkan Syed Ikram memandu sendirian. Tidak adil untuk aku berbuat demikian. Kami sama-sama kepenatan tetapi mengapa hanya aku yang perlu berehat?
“Usah risaukan I lah. Tidurlah dulu,” pujuk Syed Ikram mengusap lembut lenganku.
“It’s okay Ikram, kita sama-sama berjaga. I teman kan you,” balasku seraya mengucup bahu Syed Ikram.
Kemesraan itu amat manis untuk dilalui. Apatah lagi saat bahagia sudah semakin hampir. Tanggal 14 Februari, aku dan dia akan bergelar ‘pengantin baru’. Kami akan diraikan dalam majlis istimewa di kediamanku. Cadangnya Syed Ikram ingin mengadakan di kelab eksklusif. Segera kubantah. Biarlah saat indah itu diraikan dalam suasana yang sederhana namun meriah.
Hanya teman-teman rapat yang hadir. Menurut Syed Ikram, dia akan datang bersama empat orang teman rapatnya. Mereka membawa pasangan masing-masing. Aku pula menjemput teman-teman yang kurasakan perlu. Bada tidak mungkin tertinggal. Dia beriya benar menawarkan diri untuk menjadi pengapit. Solekan pun Bada yang sponsor. Katanya dia akan menjadikan aku seperti bidadari.
“Kau tengoklah nanti, semua tetamu akan terbeliak melihat kecantikan kau dengan sentuhan sakti aku ni,” janji Bada bersungguh-sungguh.
“Ala, jangan nak berguraulah. Aku bukannya cantik sangat pun,”
“Eh, siapa kata? Kalau hendak dibandingkan dengan perempuan sekarang, engkau memang tak kalah. Lihatlah kulit kau yang halus dan lembut. Gebu gitu!” puji Bada lagi.
“Itukan anugerah Tuhan!”
“Anugerah tu anugerah jugaklah. Tak dijaga rosak akhirnya. Mujur kau ni rajin. Tak macam aku. Nak pergi facial pun malas. Inikan pulak berlulur, berspa bagai. Mungkin sebab itulah ‘ laki’ aku ramai yang tak kekal lama, “ rungut Bada.
“Biasa saja Bada. Aku facial setiap dua minggu sekali. Aktiviti di spa sebulan sekali. Kenalah jaga luar dalam. Kita ni bukan perempuan sejati!”
“Untunglah Syed Ikram dapat kau!”
“Tak taulah siapa yang untung, siapa yang jadi puntung nanti tu!”
“Kau dan dia memang serasi sempurna. Pasangan yang telah ditakdirkan.”
“Harap-harap macam tu lah Bada. Penatlah asyik bertemu orang yang salah,” keluhku menahan perasaan.
Pengalaman lalu banyak menderitakan aku. Sudah kering air mata untuk menangis. Kekasih terdahulu tidak pernah menjanjikan bahagia. Mereka hadir seketika. Hanya satu persinggahan. Tiba waktu berlalu begitu sahaja. Aku juga yang menelan duka. Merana seorang diri. Tiada siapa yang mengerti. Tiada siapa yang peduli.
“Dahlah tu, janganlah nak berdrama pulak. Kau tu dah nak jadi pengantin. Senyumlah,”
Memang benar kata Bada. Seharusnya aku tidak wajar bersedih. Kebahagiaan sudah diambang mata. Syed Ikram hadir menjadi penyelamat di saat aku hampir lemas di daratan kasih.
“Eh, terlupa pulak aku…” Bada tiba-tiba menjerit. Dia menahan senyum. Hairan aku. Buang tebiatkah dia?
“Kalau dah kahwin nanti, kau tak boleh panggil Syed Ikram lagi. Nampak kurang sopan. Tak manis,” nasihat Bada.
“Habis tu aku nak panggil dia apa? You i dah ler!”
“Panggillah abang… abang Ikram!”
“Abang?”
“Kan mesra tu?”
Aku mengeluh panjang. Entah mengapa aku merasa lucu pula. Bagaimana harus aku membiasakan diri memanggil Syed Ikram dengan panggilan itu? Tidakkah Syed Ikram akan mentertawakan aku nanti? Desisku dengan kerut di wajah.





