BAB 2
JAM sepuluh lagi, dia sudah sampai. Sengaja dia tiba awal. Ada pekara yang perlu dibincangkan bersama petugas café tersebut. Dia telah merancang selama dua minggu. Dia tidak mahu perancangannya itu terganggu disebabkan masalah teknikal.
Kepada Iskandar, dia menetapkan perlu datang jam sebelas pagi. Itulah waktu yang dirasakan sesuai. Café tersebut di waktu pagi kurang sibuk. Dia diberitahu sebelum tengah hari adalah waktu yang sesuai untuk melaksanakan perancangannya itu.
Setelah puas hati dengan janji dan persediaan yang dijelaskan oleh pengurus café tersebut, Camelia naik ke tingkat dua café untuk melihat sendiri. Dia perlu memastikan perancangannya untuk mengejutkan Iskandar berjaya seperti yang dia rancang.
Kerana itulah dia menyewa tingkat dua café itu hanya untuk dirinya dan Iskandar sahaja. Tidak mahu diganggu dengan tetamu lain. Meskipun dia sedar dia terpaksa berbelanja lebih untuk tingkat dua yang boleh memuatkan lima puluh orang dalam suatu masa itu, dia tidak peduli.
Dia ingin meraikan hari jadi kekasih tersayangnya itu hanya berdua sahaja. Tiada gangguan daripada sesiapa. Setahun sekali. Camelia ingin membahagiakan Iskandar dengan caranya. Sebuah majlis hari jadi yang meninggalkan kenangan manis sebelum mereka bercuti semester.
Ketika jam di tangan sudah menunjukkan jam sebelas setengah pagi, wajah Camelia kelihatan keruh dan gusar. Dia bimbang Iskandar terlupa pada pertemuan mereka. Dia sedia maklum akan perubahan sikap Iskandar yang begitu berbeza sebulan dua ini. Memikirkan kerana tuntutan kerja kuliah dan peperiksaan, Camelia cuba memujuk hati dengan perubahan sikap Iskandar. Namun di sudut hati dia seperti tahu. Ada sesuatu yang berbeza dengan perubahan emosi Iskandar. Iskandar lebih banyak mendiamkan diri dan kurang mesra seperti biasa.
Camelia meneguk jus mangga di hadapannya. Pun begitu anak matanya melilau memandang ke pintu. Mengharapkan kelibat Iskandar segera muncul. Dia tidak sabar lagi untuk menghabiskan masa bersama Iskandar. Banyak perkara yang ingin dibincangkan.
Daun pintu ditolak, wajahnya yang keruh serta merta bertukar ceria. Melihat Iskandar masuk dengan menyusun jari ke dada, kegusaran Camelia terus hilang begitu sahaja. Dia tahu Iskandar bukan sengaja lambat. Pasti ada yang dilakukan terlebih dahulu sebelum datang ke sini. Barangkali jalan raya sesak. Atau Iskandar terlewat bangun. Tidak mengapalah, janji dia datang. Bisik Camelia dengan senyum semanis gula.
Senyumnya semakin melebar apabila Iskandar menghulurkan sekuntum mawar merah. Dia menyambut dengan penuh terharu. Ingat jugak Iskandar pada bunga kegemarannya itu. Sekuntum sudah memadai. Ianya cukup bererti.
Iskandar memandang keliling. Dia geleng dan memandang Camelia dengan wajah kurang senang. Bukan tidak suka dengan kejutan Camelia itu, malahan dia sudah menjangkapun. Cuma sering kali dikatakan dia sejak dulu kurang meraikan hari jadi.
Semenjak kedua ibu bapanya meninggal dunia, dia telah membuat keputusan untuk tidak meraikan lagi hari jadinya. Cukup sekadar menghadiahkan Al-Fatihah untuk arwah keduanya. Semoga roh mereka ditempatkan di sisiNya bersama para muslim yang diberkati dan disayangi.
Malam tadi selepas solat Maghrib lama dia duduk di sejadah. Membaca yasin untuk disedekahkan kepada keduanya. Itulah rutinnya pada setiap kali menjelangnya hari jadinya. Pada malamnya dia akan menghabiskan masa membaca Al-Quran. Sebagai tanda bersyukur kerana bertambah usia. Juga tanda penghargaan kasih sayang yang teramat kepada ayah ibu yang membesarkannya bersama abang. Hanya itu yang dia inginkan. Bukan diraikan dalam majlis serba indah. Bukan itu caranya.
Iskandar tidak menyalahkan Camelia atas perancangannya itu. Dia sedia maklum tentang perasaan Camelia padanya. Mereka yang dikatakan pasangan paling sepadan di kolejnya itu, tidak pernah menafikan tentang hakikat itu. Dia memang sayang dan kasih Camelia. Realiti itu tidak perlu dibuktikan. Sejak dulu dia memang mengharapkan Camelia menjadi pengisi kesepian hati. Apabila dia tidak bertepuk sebelah tangan, dia dan Camelia meneruskan perhubungan seperti pasangan kekasih yang lain.
Cuma yang berbeza baik Iskandar maupun Camelia cukup menjaga batas susila perhubungan mereka. Mereka mesra dan saling mengambil berat, tetapi tidak pernah melakukan lebih daripada itu. Memegang tangan seperti pasangan lain pun amat dielakkan.
“Kita tidak perlu mengikut cara orang lain. Biarlah kita dengan cara kita!” itu yang selalu Iskandar tekankan. Dia sedar Camelia sedikit cemburu dengan keintiman kawan-kawan yang bercerita tentang sikap romantik kekasih mereka. Soal berpegang tangan itu pekara biasa. Malah ada yang lebih daripada itu. Iskandar sedar dan tahu tentang semua itu. Ramai kawan-kawan lelakinya begitu berbangga bercerita soal yang sulit tentang pengalaman mereka dengan kekasih masing-masing. Iskandar hanya tersenyum dan tidak pernah memberi komen apa-apa. Jika dirasakan cerita tersebut terlalu keterlaluan, dia akan segera angkat kaki.
“Pegang tangan je pun!” kata Camelia ketika Iskandar menolak lembut jemari Camelia ketika mereka beriringan keluar dari destinasi yang mereka habiskan bersama.
“Kalau kita sudah dihalalkan nanti, nak pegang lebih daripada tangan pun boleh cik Lia oiii,” jawab Iskandar sambil mengenyit mata.
Camelia yang ingin merajuk dengan tindakan pantas menolak tangannya itu mencebik. Dia terasa hati tetapi dalam waktu yang sama tetap bahagia dengan prinsip Iskandar itu. Dia bukanlah terlalu mengharap sentuhan seperti cerita kawan-kawannya, tetapi sesekali atau tidak sengaja terpegang tentu tidak menjadi masalah baginya.
“Mula sekali, lepas tu nak berkali-kali…” jelas Iskandar yang tidak henti-henti menasihati Camelia tentang caranya menjaga kemuliaan Camelia sebagai seorang perempuan. Dia meletakkan Camelia amat tinggi di hati. Mana mungkin dia ingin merosakkan seseorang yang dia letak setinggi itu.
“Iyalah Tuan Iskandar. Patik mengaku bersalah. Ampunkan patik ye?” jawab Camelia seraya mencubit lengan Iskandar.
“Ni beralas ye?” tokok Camelia seraya menonong laju ke depan. Dia tinggalkan Iskandar yang termangu dengan tindakan spontan Camelia itu. Ada saja karenah Camelia yang mengusik hatinya. Dia terhibur walau adakalanya sikap keanak-anakan itu merungsingkannya. Manja dan rajuknya terlalu kerap.
“Menung apa lagi tu. Wish dulu sebelum tiup lilin tu…” suara manja Camelia mengejutkannya. Entah bila dua batang lilin besar dan sebatang lilin kecil di atas kek keju itu di depannya, langsung dia tidak menyedari. Dia seperti tidak berada di tempat dia berada sekarang. Fikirannya merayau jauh. Pergi tanpa hala. Kosong dan sepi.
Iskandar lantas menadah tangan. Dia berdoa sambil memejamkan mata. Kumat kamit mulutnya membaca ayat suci. Camelia memandang dengan penuh kasih sayang. Lelaki kesayangannya itu terlalu mengutamakan tuntutan agama melebihi segalanya.
Lilin yang melambangkan usianya dua puluh satu itu, ditiup apinya. Memang pada dasarnya dia tidak mahu mengikuti budaya sebegitu, tetapi Iskandar perlu juga menjaga hati Camelia. Susah payah Camelia merancang semua untuknya, mana mungkin dia tergamak menolak majlis hari jadi yang indah itu. Tidak mengapalah. Iskandar menolak prinsip tidak mahu berparti- parti sempena hari jadinya. Kebetulan pula hanya dia dan Camelia yang meraikan sambil ditemani seorang pelayan wanita yang datang membawa hidangan dan bertanya keperluan.
“Is berdoa panjang tadi tu, berdoa apa ye?” tanya Camelia seraya memotong kek. Diletakkan sepotong kek atas piring dan dihulurkan kepada Iskandar.
“Is doa Lia tetap cantik, sihat dan sukses dunia akhirat!” jawab Iskandar penuh jujur. Itulah doanya untuk Camelia dan mereka yang menyayanginya. Dia tiada doa lain. Hanya itu. Cukuplah mereka yang dia sayang, selamat dunia akhirat. Sudah memadai.
“Untuk Is pula?”
“Asalkan Lia bahagia sudah memadai untuk Is!” jawab Iskandar ringkas. Dia menyuapkan kek coklat yang menjadi kegemarannya itu. Enak sekali.
“Eh ke situ pulak Is ni. Hari jadi dia, didoakan kita pulak…” balas Camelia terharu bercampur hairan. Sepatutnya Iskandar berdoa untuk dirinya terlebih dahulu. Tak faham sungguh Camelia dengan sikap Iskandar yang lebih mementingkan orang lain berbanding diri sendiri.
Iskandar hanya membalas kata-kata Camelia itu dengan pandangan yang sukar untuk dimengertikan. Dia tidak pasti mengapa setiap kali melihat wajah Camelia, hatinya bagaikan ingin menjerit. Dia ingin berterus terang dengan apa yang dia rasakan tetapi apa yang diinginkan bagaikan tersekat di kerongkong.
Sehinggalah pertemuan berakhir, dia masih tidak memberanikan diri untuk meluahkan segalanya. Mereka berpisah dengan wajah ceria yang dibuat-buat.





