BAB 12 – USAI LARA

Bab 12
 
Air mukanya berubah. Dia sendiri tidak menyangka dia tergamak berkata sedemikian. Timbul pula rasa malu kerana seberani itu berterus terang.
 
SUDAH  dua hari Iskandar dan kawan-kawannya bekerja di restoran Suraya. Ternyata mereka cukup gembira dengan pengalaman baharu itu. Betah mulut Iskandar dan Farid bercerita tentang karenah para pelanggan dengan seribu ragam. Seperti nasihat Sulaiman dan Suraya, mereka hanya akur dan lebihkan senyuman. Pelanggan sentiasa betul. Itulah pesan Suraya. 
Camelia dan Amira pun sudah berpindah ke rumah Suraya. Perpindahan itu mendapat restu Sulaiman demi menjaga keselamatan Camelia dan Suraya sendiri. Lebih selamat kalau mereka bersama Suraya. 
 
Sulaiman pulang awal dari kebiasaan, menghabiskan masa membaca Al-Quran  selepas solat Asar. Dia duduk di anjung sambil menikmati keindahan alam yang begitu mendamaikan. Angin petang yang bertiup dari arah Sungai Pahang itu membuai perasaannya. Terasa sunyi pula duduk sendirian. Kalau ada Iskandar dan Farid tentu riuh rendah rumah dibuatnya dengan perbualan mereka. Ada sahaja cerita yang ingin dibualkan. 
Mendengar hon kereta dibunyikan beberapa kali, pantas Sulaiman berpaling. Dia terkejut melihat kereta Camelia meluru masuk dengan laju ke halaman. Sebaik berhenti, Farid yang memandu segera berlari keluar. Dia hampir terjatuh ketika melompat anak tangga. 
 
Tingkah laku kelam kabut Farid itu membuatkan Sulaiman bingkas bangun. Dia segera mendapatkan Farid yang pucat lesi itu. 
“Cepat bang. Ikut saya. Iskandar pengsan!” beritahu Farid dengan suara terketar-ketar. Dia sebenarnya sedang menahan rasa sakit lututnya yang terkena bucu tangga itu. 
“Ya Allah, adik aku…”
“Abang nak ke mana pulak tu?” tanya Farid ketika melihat Sulaiman bergegas masuk ke dalam rumah.
“Abang tukar pakaian sekejab. Takkan nak berkain pelekat je ni…”
“Cepat sikit bang… masa dah suntuk ni. Saya tak tahu nak buat apa!”
“Dah. Jom kita pergi. Ya Allah selamatkanlah adik kesayangan aku tu…” ucap Sulaiman melangkah laju masuk ke perut kereta.
 
Beberapa detik kemudian kereta yang dipandu Farid meluncur laju dengan deruman enjin yang memecah keheningan petang.
Sepuluh minit kemudian mereka sampai ke pekarangan restoran Suraya. Farid meminta Sulaiman pergi ke bahagian belakang. Iskandar berada di bilik rehat ditemani Camelia dan Amira. Berlari anak Sulaiman mengikut langkah Farid itu.
 
Sebaik sahaja daun pintu ditolak, Sulaiman terkedu dan kejung sendiri. Dia merasa  terkejut bercampur terharu dengan apa yang dilihat. Segera dia mendapatkan Iskandar yang sedang berdiri memandangnya dengan senyum lebar sambil Camelia memegang sebiji kek yang terhias tiga batang lilin.
 
“Selamat Hari Jadi Bang!” ucap Iskandar memeluk Sulaiman penuh kasih sayang. Dia meminta Sulaiman meniup lilin. Sulaiman yang masih terkejut bercampur malu itu lantas meniup lilin. Sempat dia menjeling Suraya yang sejak daripada tadi sudah berdiri disebelah Iskandar dengan senyuman manis. Dia  membalas senyuman Suraya itu dengan mata yang berkaca.
 
                                                 ***
“Maaflah Man, ini rancangan Iskandar. Su hanya ikut saja,” terang Suraya ketika dia menghantar potongan kek ke meja Sulaiman yang masih belum reda perasaannya dengan kejutan hari jadi yang tidak diduga itu.
“Is tu memang nakal orangnya. Ada saja caranya nak mengusik saya ni,” balas Sulaiman tanpa memandang Suraya. Dia masih malu untuk memandang Suraya yang berada di hadapannya itu. Gemuruhnya datang tiba-tiba.
“Dia nak sambut hari jadi abang dia. Mestilah dia nak buat sesuatu yang berbeza. Man pun hari jadi sendiripun tak ingat ke?” 
“Dah tua-tua ni mana adalah nak sambut hari jadi. Tak ingatpun hari ni hari jadi saya.”
“Tu la… kerja teruk sangat. Sampai hari jadi sendiri pun lupa?”
“Apa lagi yang boleh dibuat Su. Kerja sajalah. Saya ni dah lama macam ni..”
“Ada orang suka, buat tak faham pulak…” pantas Suraya menjawab. Air mukanya berubah. Dia sendiri tidak menyangka dia tergamak berkata sedemikian. Timbul pula rasa malu kerana seberani itu berterus terang.
“Siapa lah nak orang macam saya ni. Kerja kampung je. Hari-hari berkawan dengan patin dan talapia je…”
 
Suraya tidak berani lagi untuk menjawab kata-kata Sulaiman itu. Dia bimbang dia terlanjur kata nanti. Bimbang dikata, perigi mencari timba. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. 
Dia akhirnya meminta diri dan meninggalkan Sulaiman menikmati kek dan minuman. Melihatkan Suraya berlalu pergi, segera Iskandar dan Farid menghampiri. Keduanya duduk menghadap Sulaiman dengan muka yang sengaja dimonyokkan. Seolahnya sedang menunggu hukuman atas perbuatan nakal mereka itu.
“Is ni melampau lah… soal sakit pening dibuat main..” Sulaiman pura-pura marah. 
“Alah… kalau tak buat macam tu, abang bukan nak datang sinipun. Langsung tak nak jenguk kami yang bekerja di sini,” bela Iskandar pula.
“Betul bang. Kebetulan hari ni hari jadi abang. Kami buatlah surprise… tak salah kan?” tambah Farid pula. Dia tersenyum lebar.
“Nak buat kejutan pun, buatlah di rumah kita, ni kat restoran orang. Buat malu je…”
“Nak malu pe lak. Kak Su pun setuju dengan perancangan kami tu. Dia pun nak sambut birthday abang jugak.”
“Eh mengarutlah tu. Pandai-pandai je buat cerita…” sahut Sulaiman.
 
Dia sebenarnya teruja apabila diberitahu Suraya juga turut ingin meraikan hari jadinya. Macam tak percaya pulak dia dengan cerita Iskandar itu.
“Betul bang… kami tak bohong. Kak Su macam minat kat abang je.Abang tak minat dia ke?” tanya Farid pula. Dia kalau bab menyokong Iskandar memang patut dipuji. Ada sahaja kata-katanya yang menyakinkan.
“Hiss Farid ni…” wajah Sulaiman merah. Dia menahan malu. Pura-pura dia menjamah kek. Namun kek tersebut tidak masuk ke mulutnya. Terbabas terkena pipinya. Perasaan gementar menjadikan Sulaiman tidak tentu arah. Iskandar dan Farid menahan ketawa. Mereka segera mendapatkan Camelia dan Amira yang sejak daripada tadi memandang dari jauh.
“Kak Su mana?” tanya Iskandar pada Camelia.
“Di dapur.”
“Kita kena percepatkan rancangan kita ni. Majlis kejutan hari jadi abang ni satu permulaan untuk mendekatkan abang dengan Kak Su. Kita kena idea lain juga untuk lebih mendekatkan mereka,” cerita Iskandar tentang perancangannya yang seterusnya.
“Kita nak buat apa?”
“Kini giliran Camelia dan Amira pula merisik tentang apa yang kak Su suka. Lia dan Mira tinggal bersama kak Su tentu banyak yang boleh diperbualkan. Cari apa yang kak Su suka atau nak. Nanti beritahu kami…” terang Iskandar. 
“Aku dah selesai part aku hari ni. Kini giliran kau orang berdua pulak lah.” Tingkah Farid kembang kempis hidungnya menahan bangga. 
“Alah kacang je tu… kami boleh sempurnakan misi tu malam ni jugak!” jawab Amira tidak mahu kalah.
“Kalau gagal jugak?”
“Kalau berjaya?” sahut Amira merenung tepat ke wajah Farid.
“Aku ajak kau dating!” balas Farid selamba. 
Amira kenyit mata pada Camelia. Dia bertekad, perancangan dan tugasan yang diberikan Iskandar itu akan diselesaikan segera. Kalau sampai tak tidur malam ni untuk mengetahui rahsia kak Su pun dia rela. Demi Farid dia sanggup apa saja. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *