BAB 11
“KAU ni Lia, dengan perempuan macam tu pun nak cemburu. Is kan dah cakap, dia tak ada apa-apa hubungan dengan Marina tu. Mereka kawan satu sekolah saja. Tak lebih dari tu.”
“Tapi aku sakit hati tengok dia pegang-pegang Is tu. Mesra semacam. Seolahnya lama tak jumpa.”
“Dah cara dia macam tu. Nak buat camne lagi. Is kan tak layan dia sangat tu. Tak nampak ke Is mengelak daripada dia memegang Is tu.”
“Agaknya sebab depan kita je dia menolak tu. Lelaki ni bukan boleh percaya sangat.”
“Lelaki lain kau boleh cakap macam tu, tapi kalau Is tu aku yakin dia bukan lelaki seperti yang kau anggap. Tak baik tau. Sebab cemburu kau berprasangka buruk terhadap Iskandar.”
Camelia mengeluh panjang. Dia sedar tidak sepatutnya dia beranggapan begitu. Iskandar bukan lelaki yang akan mengambil kesempatan terhadap perempuan. Dengan dirinya sendiripun tidak pernah sekali Iskandar melampaui batas. Berulang kali Iskandar mengingatkan selagi mereka belum dihalalkan, maka dia lebih rela menggenggam bara api daripada menyentuh atau memegang tangan Camelia.
“Tapi aku tak sedap hati lah. Tina tu tentu dah tahu Is akan bekerja di restoran Kak Su tu. Mesti hari-hari dia datang…”
“Pandailah Iskandar mengelak nanti tu. Kau kena percaya pada Iskandar. Tak guna kau sayangkan dia kalau kau tak percayakan dia.”
“Nampaknya aku kena selalu ada di restoran jugaklah. Kalau Is pergi, aku akan ada bersama. Aku tidak akan biarkan Is pergi tanpa aku.”
“Hah, macam tu la semangat yang aku nak. Kau bersaing secara sihat. Tengok siapa yang bakal menang. Si gedik Tina tu ke atau si ayu Camelia ni,” usik Amira memberi dorongan untuk Camelia berani mempertahankan cintanya terhadap Iskandar. Tiada gunanya mengeluh atas pekara yang belum terjadi. Dia perlu bersedia untuk menghadapi cabaran dugaan alam percintaan.
“Kau tu asyik menasihati aku. Kau dengan Farid tu?”
“Aku ada strategi tersendiri. Lambat laun dia pasti jadi milik aku. Kau tengoklah nanti,” jawab Amira bersemangat. Dia yakin dengan bekerja sama di restoran itu akan lebih mendekatkan dirinya dengan Farid. Dia akan lebih mudah memahami perangai sebenar Farid.
“Dahlah tu. Jom kita pergi. Dah lambat ni. Nanti tertunggu pulak Iskandar dan abangnya di rumah tu,” suruh Camelia agar Amira menukar telekung. Mereka baharu sahaja selesai solat isyak. Perlu bersiap segera untuk ke rumah Iskandar untuk makan malam atas undangan abang Sulaiman.
Makan malam itu memang agak istimewa. Mereka akan makan malam di anjung. Iskandar dan Farid saling membantu. Menyusun hidangan di tengah anjung. Sulaiman yang menyediakan nasi ayam yang dimasak sendiri. Dia memang suka mencuba pelbagai resepi. Ayam yang digunakan pula adalah ayam kampung. Untuk pencuci mulut, dia membuat pengat pisang dan jus tembikai. Tampak begitu menyelerakan.
Mood Camelia kembali pulih melihatkan kemesraan yang ditunjukan Iskandar dan Sulaiman. Dia ingin memohon maaf kepada Iskandar kerana buruk sangka pada kejadian pagi tadi. Namun melihatkan sikap Iskandar yang tidak menunjukkan sikap berkecil hati, Camelia lantas berjanji pada dirinya agar tidak lagi cemburu buta keterlaluan. Dia wajar mempercayai Iskandar. Lelaki itu terlalu baik untuk disakiti dengan tuduhan yang tidak masuk akal. Soal Tina suka atau ingin menggodanya, itu soal lain. Kalau tidak bertepuk kedua belah tangan, mana mungkin akan berbunyi. Demikianlah Camelia membuat andaian.
“Esoklah kamu semua mula bekerja di restoran Kak Su ye?” tanya Sulaiman ketika mereka menikmati hidangan pengat pisang.
Keempat-empat mereka angguk serentak. Sehati sejiwa. Langsung tiada wajah keberatan atau kurang pasti. Masing-masing begitu teruja untuk bekerja esok pagi.
“Restoran tu menjadi tumpuan para pelancong dan penduduk setempat. Ada ketikanya ramai sekali yang singgah. Abang harap kamu semua dapat bersabar dengan karenah para pelanggan. Jangan cepat marah-marah atau buat muka,” tambah Sulaiman lagi. Dia memandang satu persatu wajah sahabat baik Iskandar itu. Senang hati dia melihat Iskandar memiliki sahabat baik yang boleh bersusah senang.
“Insya-Allah bang. Kami akan cuba belajar sesuatu yang baharu nanti. Kalau tak larat, kami berhentilah nanti,” jawab Farid selamba. Inilah kali pertama dia bekerja di restoran. Dia sendiri tidak pasti bagaimana situasi akan dihadapinya.
“Amboi, belum apa-apa dah nak berhenti. Kata nak jumpa Tina?” usik Iskandar yang membuatkan muka Farid merah menahan malu. Amira mencebik. Kurang senang dengan usikan Iskandar itu. Camelia mencubit paha Amira agar dia mengawal diri. Jangan tunjuk perangai buruk di rumah orang.
“Tina datang sana ke tadi?” Sulaiman bertanya dengan wajah terkejut.
“Iyalah bang. Lama kami tak jumpa. Makin cantik dia sekarang. Taklah comot macam dulu-dulu…” balas Iskandar tanpa maksud apa-apa. Pujiannya itu sememangnya ikhlas. Tina atau nama penuhnya Siti Kartina yang datang pagi tadi amat berbeza daripada Tina yang dikenali semasa zaman sekolah dahulu. Agaknya bekerja di salon kecantikan telah menjadikan dia lebih bijak bergaya.
“Tapi gedik dia boleh tahan bang!” pantas Farid menambah. Camelia dan Amira hanya memerhati. Mereka tiada alasan untuk menyampuk. Dalam hati keduanya berasa geram kerana Tina menjadi topik perbualan pula.
“Tu memang perangai dia sejak dulu. Peramah dengan sesiapa jugak. Lebih-lebih lagi kalau jumpa Is ni. Kawan lama la katakan…” cerita Sulaiman tanpa menyedari betapa kurang selesanya Camelia mendengar cerita tersebut. Camelia pura-pura membelek telefon. Seolahnya tidak mendengar perbualan tersebut.
“Abang jangan cerita lebih-lebih. Nanti ada yang cemburu tau?” Farid mencelah lagi. Dia sudah terperasan perubahan air muka Camelia. Iskandar masuk ke dalam. Katanya hendak mengambil air kosong. Pengat pisang yang dibuat Sulaiman dirasakan begitu manis.
“Camelia jangan bimbang. Abang bercakap pekara yang sebenar. Tina dan Iskandar tu tak ada apa-apa perhubungan. Memanglah dia tu macam ada hati dengan Iskandar sejak dulu. Tapi Is ni susah nak sayangkan orang. Rasanya Camelia yang berjaya menawan hatinya,” pujuk Sulaiman yang mula menyedari dia sudah terlebih cakap. Tidak disangka perbualan sekadar mengisi masa santai itu membuatkan Camelia berkecil hati. Dia tidak bermaksud begitu. Dia hanya berkongsi apa yang dia tahu dan lihat tentang persahabatan Iskandar dan Tina.
Camelia tersenyum manis mendengar kata-kata Sulaiman. Tenang perasaannya. Tidak lagi berkecamuk. Paling dia gembira apabila Sulaiman seolahnya menyedari tentang perasaannya terhadap Iskandar bukan main-main. Seperti mana dia berani meluahkan rasa terkilan dengan perubahan sikap Iskandar pada Sulaiman di bandar dahulu, Camelia harap tiada sesiapa lagi yang akan menggangu gugat hubungannya dengan Iskandar. Dia tidak sanggup untuk kehilangan Iskandar. Hatinya telah terpaut dengan lelaki bernama Iskandar Zulkarnain bin Mohamad Ilham.
“Tolong jaga Is baik-baik ye? Dia nyawa abang tau..” kata Sulaiman sedikit sebak. Jelas ketara dia begitu sayangkan Iskandar. Camelia angguk dan berasa sayu pula. Lantas dia berjanji dalam hati. Dia akan terus menyayangi dan mencintai Iskandar sehingga bila-bila. Sampai hujung nyawanya.





