BAB 10
PAGI esoknya empat sahabat baik itu menghadap Suraya sebagai langkah kedua perancangan mereka. Seboleh mungkin Iskandar akan memastikan Suraya akan menerima mereka berempat bekerja. Dia sanggup bekerja tanpa gaji sekiranya diperlukan. Dia rela buat apa sahaja demi menyempurnakan perancangannya itu.
Suraya gembira dengan keputusan Iskandar dan kawan-kawannya untuk bekerja secara sambilan. Kebetulan pula dia kekurangan pekerja. Ramai yang bercuti. Dia perlukan mereka yang boleh mengendalikan urusan dapur dan mengambil pesanan. Walaupun restorannya berkonsep layan diri, tetap ada keperluan lain perlu diberi perhatian. Terutamanya bab kebersihan keseluruhan restoran.
“Berilah peluang untuk kami menimba pengalaman di sini kak. Kami nak tahu bagaimana kak mengendalikan bisnes ni sebagai penambah semangat untuk kami. Kami ni semua dalam jurusan perniagaan. Jadi dapat bekerja di sini, banyaklah yang dapat kami pelajari,” jelas Iskandar sebagai wakil kepada Farid, Camelia dan Amira.
“Apa kata abang Sulaiman?” Suraya bertanya. Dia bimbangkan Sulaiman tidak bersetuju. Malahan dia yakin Sulaiman tentunya akan membantah hasrat Iskandar itu.
“Abang ok. Dia dah setuju!”
“Betul dia tak kisah?” soal Suraya seperti tidak mempercayai Sulaiman akan bersetuju semudah itu.
“Betul kak. Saya dengar sendiri ketika dia berbincang dengan Is semalam,” tambah Farid menguatkan sokongannya terhadap Iskandar. Iskandar angkat ibu jari sambil tersenyum mendengar jawapan Farid itu. Tak sia-sia dia berpakat dengan Farid. Semua yang dilakukan Farid serba menyakinkan.
“Kalau kak tak bayar gaji pun kami terima. Janji dapat makan sudahlah…”
“Takkanlah sampai macam tu sekali Is. Korang dah kerja, mestilah dibayar secukupnya. Kak bukan jenis yang suka ambil kesempatan atas jerih perih tenaga orang lain. “
“Saya hanya mencadangkan je!” ujar Iskandar senyum nipis. Dia sedar cadangannya itu jika dipersetujui oleh Suraya tentu menimbulkan masalah pada dirinya. Masakan ketiga mereka itu sanggup bekerja tanpa dibayar gaji. Slap hari bulan dia terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk membayar mereka.
“Camelia dan Amira masih tinggal di homestay ke?” Suraya bertanya setelah perbincangan soal waktu kerja dan gaji dipersetujui. Mereka kemudian dihidangkan dengan hidangan nasi dagang. Berlaukkan ikan tongkol pilihan Farid dan Iskandar. Sementara Camelia dan Amira memilih ayam sebagai lauknya.
Keduanya angguk. Suraya seterusnya mencadangkan mereka menetap di rumahnya. Suraya tinggal berseorangan. Keluarganya yang lain tinggal di Kuantan. Hanya dia yang menetap di Temerloh.
Tanpa memperdulikan persetujuan Camelia atau Amira, Iskandar terus bersetuju. Baginya cadangan Suraya itu umpama pucuk dicita ulam mendatang. Orang mengantuk disorongkan bantal. Peluang tinggal bersama Suraya adalah idea terbaik untuk dia meminta Camelia dan Amira menjalankan misi yang lebih eksklusif untuknya.
Persetujuan Iskandar tanpa berbincang dengan Camelia itu membuatkan Camelia sedikit berkecil hati. Dia rasa tersisih. Mengapa Iskandar tidak mahu mendengar pandangannya terlebih dahulu. Camelia tidak mahu menyusahkan sesiapa terutama Suraya sendiri. Dia masih ada wang untuk menyewa homestay tersebut walaupun sebulan tinggal di sana. Bukan kerana dia tiada masalah kewangan, tetapi Camelia melihat tawaran Suraya itu hanyalah sekadar ajak-ajak ayam sahaja.
“Kak betul-betul ajak ni. Jangan fikir bukan-bukan. Kak pun tinggal seorang. Kalau ada Camelia dan Amira tidaklah sunyi sangat kak nanti,” jelas Suraya seperti memahami apa yang tersirat di hati Camelia.
“Menyusahkan kak je nanti…” balas Camelia termalu alah. Dia tidak menyangka Suraya dapat membaca isi hatinya. Agaknya reaksi wajahnya yang kurang senang ketika menjeling Iskandar itu disedari Suraya.
“Kan Lia nak belajar cara masak gulai patin tempoyak tu. Inilah kesempatannya menuntut ilmu dengan Kak Su,” tambah Iskandar seperti memujuk Camelia agar segera bersetuju.
Camelia tersenyum kelat. Dia geram dengan sikap Iskandar itu. Tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia sudah bersetuju untuk membantu Iskandar. Jadinya dia perlu jugalah bersetuju dengan sebarang cadangan. Iskandar tidak akan berbuat demikian jika tanpa sebab.
Perbualan mereka yang rancak itu, bertukar menjadi sepi. Semua pandangan tertumpu pada satu susuk yang sedang berjalan menuju ke arah mereka. Lebih lagi susuk itu dengan suara nyaringnya menjerit memanggil nama Iskandar dari muka pintu restoran lagi. Jeritan itu sedikit mengganggu beberapa orang pelanggan yang sedang bersarapan. Mujur tidak ramai waktu itu.
Camelia pantas menjeling dan merenung Iskandar. Dia ingin bertanya siapakah susuk tubuh yang seberani itu. Amira mencuit pahanya. Meminta Camelia bertenang. Iskandar meneguk liur. Farid segera menolak lengan Iskandar dengan sikunya. Suraya pula buat tidak peduli. Seolahnya tiada apa yang perlu digusarkan.
“Iskandar, bila balik. Apasal tak call?” ujar pemilik susuk itu dengan suara yang sengaja dimanjakan.
“Kelmarin aku sampai…” jawab Iskandar kurang senang. Dia segera bangun dan mengajak susuk tubuh itu keluar. Tanpa diduga tangan susuk tubuh itu memeluk lengannya ketika mereka beriringan ke pintu keluar. Camelia rasa tercabar. Cemburunya mendadak muncul. Farid dan Amira saling berpandangan. Memohon pengertian.
“Itu Tina. Kawan sekolah Iskandar…” jawab Suraya menjawb persoalan di hati kawan-kawan Iskandar. Dia sedar riak wajah kurang senang Camelia itu.
“Patutlah mesra semacam…” bisik Amira pada Camelia.
“Dia memang macam tu. Cepat mesra dengan sesiapapun…” ujar Suraya lagi. Dia ingin meredakan ketegangan suasana dengan jawapannya itu. Dia tidak sangka Tina akan muncul di saat perbincangan mereka itu.
Camelia merenung ke luar restoran. Dia nampak dengan jelas Iskandar cuba mengelak daripada Tina memegangnya. Dia cuba menjauhkan diri. Mereka berbual seolahnya ada pekara yang penting untuk diperjelaskan. Tidak lama kemudian Iskandar masuk semula dan mengajak Farid, Camelia dan Amira balik. Kepada Suraya, Iskandar memberitahu mereka akan datang bekerja pada lusanya setelah beberapa urusan diselesaikan. Suraya angguk. Dia sedar Iskandar ingin segera berlalu pergi. Ditinggalkan Tina sendirian menunggu ketibaan kawan-kawanya yang lain datang untuk menjamu selera.
Di dalam kereta, Camelia menjadi diam dan mencuka. Hatinya terusik dengan apa yang dilihat. Dia tidak menyangka akan dihadapkan dengan sesuatu yang dia tidak duga. Dia terus memandu tanpa sebarang kata-kata. Iskandar disebelahnya turut terdiam. Amira dan Farid pura-pura berbual. Sekadar memeriahkan suasana yang mula panas itu.
“Dia kawan sekolah. Kami tiada apa-apa pun…” beritahu Iskandar tanpa dipinta. Dia tahu cemburu Camelia sudah membuak-buak. Keramahan Tina itu membuatkan Camelia kurang senang. Lebih lagi tindakan Tina memegang lengan Iskandar itu sesuatu yang tidak diduga oleh Iskandar maupun sesiapapun.
“Kawan sekolah atau kekasih lama? Mesra semacam je. Sampai perlu berbual jauh daripada kami,” sindir Camelia bagaikan melepaskan bebanan rasa di hati.
Iskandar terdiam. Dia hilang kata-kata. Cemburu dan sakit hati Camelia bukan sesuatu yang mudah dipujuk. Dia lantas mendiamkan diri. Tiada gunanya bertengkar sesuatu yang bukan kehendaknya. Dia sendiri tidak menyangka begitu sekali tindakan Tina.
“Malam ni datang rumah ye? Abang Sulaiman ajak makan malam bersama, “ kata Iskandar ketika Camelia memberhentikan kereta di halaman rumahnya.
Camelia tidak menjawab. Dia hanya menjeling Iskandar yang masih tersenyum memandangnya. Hatinya masih sakit dengan apa yang dilihat. Tetapi dia juga masih waras untuk tidak terlalu merajuk. Bukan salah Iskandar pun. Perempuan tu yang tak tahu malu. Keluh Camelia dalam hati.
“Nampaknya aku sudah ada pesaing sekarang!” ujar Camelia pada Amira.





