Bab 10
Entah mengapa sebaik sahaja kaki melangkah menuju rumah usang itu bulu romaku meremang. Seram sejuk. Terasa ada ‘sesuatu’ meniup tengkuk.
MALAM jumaat yang dijanjikan tiba. Petang khamis lagi Bada sudah muncul dengan senyum lebar. Dia turut membawa makanan kegemaranku. Nasi dagang ikan tongkol. Kami makan bersama sebelum bergerak pergi ke destinasi yang aku sendiri tidak pasti. Bada memandu dengan tenang sambil bernyanyi-nyanyi lagu dangdut Amelina. Ahhh… Ahhh… Ahhh…
Melihatkan laluan yang dibawa bukanlah jalan yang biasa dilalui, aku bertanya alamat yang ingin dituju. Bada memberi isyarat agar aku berdiam diri. Dia hendak fokus pada laluan yang ingin dituju.
Sejam perjalanan dan akhirnya kereta Bada membelok masuk ke simpang sebuah kampung. Aku tidak pasti apa nama kampung tersebut. Tetapi laluan masuk ke kampung tersebut tiada lampu jalan. Jalan pulak masih belum bertar. Kiri kanan hanya pokok besar yang bagaikan saling berpaut satu sama lain. Sekali pandang amat menakutkan apabila disuluh lampu kereta. Tiada kenderaan lain yang lalu, hanya sesekali motor mat rempit memecah kebeningan suasana memecut laju.
“Kita nak ke mana ni Bad?” aku mula gusar. Ditambah rasa seram, aku bimbang kalau kereta Bada rosak lagi seperti dulu. Aku nak bawa kereta sendiri tadi dihalang Bada. Dia tidak mahu kereta aku kotor kerana menurut Bada tempat yang hendak dituju agak jauh dan jalannya pula berlumpur. Kebetulan petang tadi hujan lebat.
“Kita tak pernah lalu jalan ni kan?”
Bada tidak menjawab pertanyaan aku. Dia tetap fokus dengan pemanduannya. Lagu dangdut Amelina, penyanyi kesayangan terus meniti bibirnya. Dia langsung tidak terkesan dengan suasana yang menyeramkan itu. Seolahnya dia pernah datang sebelum ini.
“Jauh lagi ke? “
“Dah dekat ni,”
“Rumah sapa kita nak pergi ni?”
“Kawan aku!”
“Sejak bila kau ada kawan yang duduk sini?”
“Kawan baru?”
“Lama dah. Tapi malam ni baru ada kesempatan nak berjumpa,” jawab Bada bersahaja.
Geram pulak aku dengan jawapannya itu. Seolahnya suasana malam jam 10 itu sedikitpun tidak mengerunkannya. Dia tetap memandu dengan ceria.
“Lelaki ke perempuan?” aku terus bertanya. Keinginan untuk tahu siapa kawan Bada membuak-buak. Aku harap Bada tidak mengajak aku untuk bertemu ‘anak ikan’ dalam situasi sebegini. Bukan aku tidak masak dengan perangai Bada. Kalau demi ‘anak ikan’ sanggup datang walaupun jauh berbatu-batu.
“Lelaki!”
“Skandal mana pulak ni? Kau ni… cakaplah siang-siang nak jumpa skandal?”
“Bukan skandal la. Ni lain!”
“Kalau namanya lelaki tu apa yang lain? Tujuan kau tu tetap nak benda yang sama kan?” marah aku. Rasa tertipu kerana tidak bertanya lebih lanjut tujuan Bada mengajak aku.
Buatnya sesuatu terjadi ketika berjumpa lelaki itu. Tidakkah malang tidak berbau namanya. Sengaja menempah maut.
“Sumpah. Bukan skandal!”
Aku kurang yakin dengan sumpah Bada itu. Dia kalau bab lelaki, bersumpah itu mainan kata sahaja.
Langsung tidak boleh dipercayai. Kalaulah waktu ini sumpah boleh seberkesan cerita ibu tanggang menyumpah si anak derhaka menjadi batu, sudah lama Bada aku sumpah menjadi peti sejuk dua pintu. Senang hati boleh isi macam-macam makanan dan minuman.
Akhirnya aku berhenti bertanya. Aku hanya menunggu sahaja apa akan terjadi sebentar nanti.
Kalau betul Bada bertemu skandalnya, siaplah dia. Aku tidak boleh bersabar lagi. Dia tidak pernah cukup dengan seorang lelaki. Setiap detik hanya memikirkan ingin menambah koleksi dan skandal baru. Pantang dilihat lelaki muda berstatus remaja, mulalah tidak senang duduk.
Johari yang dikenalinya dua bulan lepas tu pun dia kenal ketika singgah di sebuah restoran mamak berhampiran rumahnya. Dia dengan selamba mendekati Johari yang singgah membeli roti canai dan teh tarik. Kebetulan Johari berseorangan, Bada merasakan itu peluangnya untuk mengorat Jefri.
Aku yang menunggu dalam kereta, melihat sendiri betapa beraninya Bada. Dengan taktik yang sama, aku pasti itulah yang seringkali diguna pakainya. Taktik mencari jalan atau rumah berhampiran adalah cara Bada memulakan perbualan. Itulah cara dia memancing setiap mangsanya. Taktik yang membuatkan aku tabik dengan keberanian Bada. Dia tidak langsung segan walaupun ada setengah lelaki yang ditemui tidak melayannya.
Tidak boleh salahkan sesiapa juga kalau mengelak. Bada yang gempal, berkulit hitam manis itu sekali pandang menimbulkan rasa kurang yakin orang yang didekatinya. Dari jauh nampak seperti lelaki biasa, tetapi sebaik sahaja membuka mulut. Terus pecah tembelang. Suaranya yang sengaja dikepit manja itu membuatkan sesiapa juga mendengar akan terkejut.
Jika tidak terkejut pun, pandangan mereka akan segera berubah.
Golongan seperti kami bukan golongan yang dapat diterima semua orang. Aku selalu nasihatkan Bada setiap kali dia seberani begitu. Tetapi Bada bukan jenis manusia yang takut dengan kata-kata orang. Dia dengan selamba pergi.
Baginya, untung sabut timbul, kalau batu tenggelamlah.
“Kita kena berani kalau nak kan sesuatu. Kita ni bukannya anak dara yang tunggu lelaki datang meminang. Kitalah yang kena usaha. Kalau ada yang reject, cari saja yang lain. Kumbang bukan seekor. Banyak lagi pelbagai jenis kumbang di luar sana tu,” jawab Bada positif.
Positif Bada itu sememangnya patut dipuji. Tetapi terlebih positif tidak boleh juga. Kena pandang diri sendiri. Kalau diterima baguslah, kalau dihina dikeji. Tidakkah malu diri sendiri? Aku tidak sanggup.
“Kau tak apa. Cantik dan seksi. Aku ni gemuk gempal kenalah tunjuk kelebihan yang ada. Manis mulut gitu!”
“Kau tu bukan guna manis mulut sahaja, ‘tabur bunga rampai’ banyak. Bukan aku tak tahu,” sinis aku menempelak Bada.
Istilah ‘tabur bunga rampai” itu membuat Bada ketawa berdekah-dekah. Dia tahu istilah itu merujuk kepada apa. Memberi duit kepada lelaki. Seumpama bunga rampai yang ditabur sewaktu majlis berinai pengantin.
‘Itu pengerasnya. Kita nak yang ‘keras-keras’ kenalah guna pengeras yang ampuh jugak kan?” balas Bada dengan ketawa yang semakin galak. Ketawa pada diri sendiri. Berhabisan wang ringgit untuk mendapatkan lelaki.
“Itulah modal kau untuk mendapatkan Johari kan?”
“Barang baik, kenalah ada pelaburannya. Dia memberi, kita balaslah dengan apa yang ada,” Bada tidak mahu kalah. Ada sahaja jawapannya atas segala sindiranku.
Perkenalan dengan Johari tidak sesukar mana. Sangkaku Johari akan prejudis dengan golongan lembut seperti Bada. Tetapi Johari tidak. Lama dia melayan Bada. Sehingga mereka duduk di meja dan memesan minuman dan makanan. Siap bergurau mesra. Berganti rokok pulak tu. Aku yang menunggu lama dalam kereta langsung tidak dihiraukan. Panas betul hati aku.
Johari berusia 21 tahun. Penghantar makanan. Seorang lelaki yang peramah dan aktif bermain futsal. Dari segi paras rupa, bolehlah dikatakan dalam golongan sederhana. Tidak terlalu kacak. Dia sekadar mat rempit. Entah apa tarikan pada Johari sehingga Bada sanggup memilihnya.
Dan aku sendiri pun tidak faham bagaimana mudahnya Johari menerima Bada. Seolahnya tiada halangan apa-apa untuk Johari kenal rapat dengan Bada.
“Kalau bukan skandal, mengapa tak ajak Johari saja tadi
“Tujuan datang ke sini pun untuk Johari jugak lah!”
Aku semakin keliru. Hal yang berkaitan dengan Johari tetapi lelaki itu tidak ada.Hal apa yang penting sangat sampai tuan empunya diri membebankan Bada dengan tugasnya?
Namun ketika Bada menghala masuk ke sebuah rumah yang dari jauh kelihatan usang itu, dadaku tiba-tiba berdebar. Aku mula syakkan sesuatu. Hal berkaitan Johari itu sebenarnya ada sebab yang lebih misteri.
Entah mengapa sebaik sahaja kaki melangkah menuju rumah usang itu bulu romaku meremang. Seram sejuk aku. Terasa ada ‘sesuatu’ meniup tengkukku.





