PROLOG- LELAKI DI SEBALIK PELANGI

PROLOG
 
“Terpulanglah, tapi kamu perlu tahu, aku akan tetap bersamamu untuk selamanya. Kita ditakdirkan untuk sehidup semati hingga terhenti nafas ini.”
 
SIAPAKAH  harus dipersalahkan atas segala duka lara? Siapakah pernah peduli akan runtunan keresahan ini? Siapa pula cuba menyelami segala cerita di sebalik kejadian? Siapa?
Nyatanya hingga kiamat, aku masih tidak mungkin ketemu jawapannya. Duka lara akan berterusan. Resah tidak mungkin berakhir. Sepi akan terus memeluk diri.
Syed Ikram!
 
Menyebut namamu dalam sepi memberikan aku sedikit tenang. Entah apa khabar engkau waktu ini. Bahagiakah dengan hari-hari yang dilalui? Masihkah teringat kepada aku yang jauh ini? Terkenangkah pada saat-saat indah itu. Barangkali engkau sudah terlupa.  Barangkali jua ketika ini sedang asyik berulit dengan yang tersayang. 
 
Jam tiga pagi sebegini, apalah dapat dilakukan selain daripada bercumbu mesra. Melepaskan rasa kasih sayang yang tulus sesama sendiri setelah ikatan itu dihalalkan.  Bukanlah begitu sewajarnya bagi pengantin baru seperti kalian?
 
Belai membelai saling mencurah rahsia hati. Usik mengusik menyulam mesra. Maklumlah semua tahu. Siang tadi engkau disandingkan. Dalam persalinan songket serba kuning, engkau dan Ramlah diarak dengan paluan kompang. Aku hanya mampu memandang dari jauh. Menahan sebak. Menahan pilu yang tidak berpenghujung.
 
Ketika engkau di pelamin, aku mula mengatur langkah. Tidak sanggup lagi memandangmu. Semakin lama, ketabahanku kian tergugat. Aku tidak mahu teman-teman kita mengesyaki sesuatu. Sedaya upaya aku mencuba berlagak ceria. Seperti turut sama berasa gembira. Berkongsi bahagia atas ‘pertabalanmu’ sebagai raja sehari. 
 
Biarpun tahu lakonanku itu tidak memberikan apa-apa makna untuk kita lagi, aku tetap memujuk hati. Sabarlah. Tabahlah. 
 
Melihat engkau tersenyum tanpa henti, aku seakan ingin menjerit dan melaung agar engkau merasa apa yang aku rasakan. Dadaku kian sebak bagaikan ditikam sembilu. Senyuman dan gelak tawa itu  membunuhku secara perlahan-lahan.
Syed Ikram, mengapa bukan aku di sisimu itu?
 
“Tidak tidur lagi ke Brian?” tiba-tiba pertanyaan Jefri memecah lamunan. Aku sedikit tersentak. Masih mampu mengawal perasaan, aku melemparkan segaris senyuman kepada teman serumahku itu.
 
Jefri atau nama sebenarnya Jefri Ahmad, baru sahaja berpindah. Jefri menyewa di tingkat atas . Dia mahasiswa tahun akhir di salah sebuah universiti di Kuala Lumpur. Jurusan Kejuteraan Mekanikal.
 
“Panaslah!” jawabku menjeling Jefri yang tidak berbaju itu. Dia hanya berseluar pendek paras lutut. Susuk tubuhnya yang tegap itu kelihatan berbuku-buku. Aku menarik nafas. Ada ‘sesuatu’ perasaan mula bermain di sudut hati.
 
“Apa pulak tak panasnya… pakai sweater ni kenapa?” usik Jefri lalu duduk di kerusi. Angin malam yang lembut berpuput begitu mendamaikan. Namun tidak bagiku. Aku masih diburu gelisah. 
 
“Jef  tak ada kuliah pagi ni?” aku menukar topik perbualan.
Jefri angguk. 
 
“Saya pun susah nak tidur. Mata segar je,” sambung Jefri. Dia begitu ramah dan selalu menghabiskan masa berbual denganku. Dia teman berbual yang baik. 
 
Barangkali kerana itulah aku mudah  rapat dengannya. Jefri sering bertanyakan tentang kesihatan dan aktiviti seharianku. Dia begitu mengambil berat. Seolahnya dia begitu bertanggungjawab untuk mengambil tahu apa yang berlaku terhadap aku. Walhal dia sekadar penyewa. Namun tindakannya tidak seperti seorang penyewa. 
 
Dia kerap juga membantu mengemas dan memotong rumput di halaman. Menyiram pokok  bunga dan membuang sampah bukan lagi sesuatu yang asing buat Jefri. Anak muda itu memang seorang yang ringan tulang.
 
“Fikirkan apa tu sampai tak boleh tidur?”
 
“Tak adalah…” jawab Jefri seakan mengelak. Mukanya merah. 
 
“Ni mesti bergaduh dengan awek?” usikku. Aku tahu Jefri ada kekasih. Namanya Suria. Satu universiti juga. Tapi berlainan jurusan.
 
Jefri tidak menjawab. Dia angkat bahu. Bibirnya dijuihkan. 
 
“Orang perempuan ni sukakan perhatian. Walau bagaimana sibuk pun, jangan lupa bertanya khabar. Mereka suka kalau teman lelaki mereka lebih mengambil berat. Tanya khabar selalu!” 
 
“Itu saya tahu. Tapi bosanlah kalau nak buat laporan setiap jam. Macam tak ada kepercayaan antara satu sama lain. Saya tak suka. Dia patut tau yang saya ni bukan ada orang lain. Jadi tak perlu nak spot check setiap waktu,” jelas Jefri terlanjur bercerita permasalahan sebenarnya.
 
“Kan betul aku cakap, Jef tak boleh tidur sebab sakit hati dan rasa bersalah kan?”
“Iyalah. Nak kena pujuk pulak nanti ni. Dia yang buat hal, kita yang kena pujuk. Lelaki saja yang kena mengalah,” protes Jefri. 
 
“Kalau nak tau satu rahsia dalam sesebuah perhubungan adalah… perempuan sentiasa betul. Kalau Jef boleh faham konsep tu, hubungan akan kekal lama,” aku memberi tip terbaik untuk Jefri.
 
 Sememangnya itu yang selalu aku dengar. Perempuan tidak akan mengaku kesilapan mereka. Mereka perlu kelihatan betul dan perlu betul. Lelaki mesti mengalah walaupun dia betul.
 
“Alahai, betul la tu. Mereka memang nak sentiasa betul,” ucap Jefri ketawa kecil. Kami saling ketawa dan bertukar cerita tentang sikap pasangan bercinta.
 
“Orang macam Brian macam mana pulak?” pancing Jefri. Memandang aku dengan renungan mengusik.
 
“Macam aku kenapa pulak?”
 
“Sentiasa nak betul jugak ke?”
 
“Itu sudah pasti. Kami nak sentiasa perfect dan stylo dalam waktu yang sama,” balasku dengan bangga.
 
“Alamak, ni lagi kes berat!”
 
“Berat tak berat. Kena try dulu…” usikku. Jefri senyum malu-malu. Dia terperangkap dengan kata-katanya sendiri. 
 
“Kiranya antara perempuan dan orang macam Brian ni, siapa yang lebih sensitif terutama bab perasaan. Nak tahu jugak?”
 
“Depend pada individu tu lah. Setiap orang tak sama. Ada yang jenis tak kisah tetapi dalam hati ambil berat. Ada yang dua dua dia ambil berat. Kena fahamlah bagaimana pasangan kita tu,” 
 
“Tapi betul ke kata orang, golongan macam Brian ni lagi sensitif, peka dan cerewet? Mengalahkan perempuan!”
 
“Tanya lebih-lebih ni kenapa?”
 
“Sekadar untuk pengetahuan umum. Tak salah kan?” jawab Jefri dengan senyum manis. Sejuk hati memandangnya. Kalau hati tengah runsing, memandang wajahnya bagaikan penawar resah.
 
“Kami ni lebih sensitif dalam semua pekara. Peka dan cerewet tu betul la. Tapi bergantung kepada keadaan lah cik adik oiii,” balasku pantas mencubit pipi Jefri. Geram sungguh aku. Pagi-pagi lagi sudah menguji perasaan orang.
 
“Macam tu jangan cerewet macam mak nenek dah ler? Nanti lari si dia!” balas Jefri ketawa geli hati. Dia yang buat lucu, dia yang ketawa. 
 
“Dahlah tu. Kang terbabas sampai pagi. Dah pukul tiga ni. Pergilah masuk tidur dulu. Aku siapkan susu suam. Cepatlah lena nanti tu,” suruhku sambil melangkah ke dapur.
 
 Sebenarnya aku mengharapkan Jefri segera beredar. Aku bimbangkan perasaan aku sendiri. Melihat Jefri mencetus ingatan aku kepada Syed Ikram semakin menggila. Aku bimbang tidak mampu mengawal diri jika berterusan memandangnya. Jefri terlalu mirip dengan kebaikan Syed Ikram satu ketika dulu.
 
“Brian pun kena tidur jugak. Jangan terlalu melamun, nanti lain pulak jadinya,” saran Jefri sebelum berlalu membawa gelas minuman ke biliknya. Aku ditinggalkan di balkoni. 
Sambil menarik nafas, menyandarkan tubuh di kerusi rehat. Kepala terasa berat. Kelopak mata tetap juga segar. Lalu ingatan kepada Syed Ikram kembali datang memeluk diri.
 
“Perkahwinan ini bukanlah penamat kasih kita. Abang akan tetap sayangkan Brian sehingga bila-bila. Percayalah,” kata-kata Syed Ikram terngiang-ngiang kembali.
 
“Tak usahlah berpura-pura Ikram, I sudah jelak dengan janji-janji sebegitu. Lelaki ni sebelum dapat memang akan berjanji bulan bintang…”aku pura-pura merajuk.
 
Syed Ikram segera menarik aku dalam pelukannya. Itulah caranya memujuk. Aku senang begitu. Apatah lagi berbantalkan lengan sasanya. Lantaran itulah aku sering buat-buat merajuk walaupun ada kalanya hanya disebabkan perkara remeh. 
Syed Ikram pula tidak pernah bosan dengan sikap aku yang sebegitu. Dia tetap memujuk dan tidak pernah muak melayan kerenahku. Aku terlalu dimanjakan.
 
“You pun tahu kan, kenapa abang perlu berkahwin? Abang kena buktikan kepada famili yang inginkan pewaris. Mak ayah nakkan cucu. I  anak sulung, Brian. I  perlu melakukan sesuatu demi keluarga,”
 
“Tetapi  bagaimana dengan kita?” tanyaku tegas. Kata-kata Syed Ikram itu terlalu mementingkan diri sendiri.  Bagaimana pula dengan perasaanku?
 
“Brian kena percaya abang. Lelaki lain mungkin tidak pernah jujur. Tetapi abang lain,” ikrar Syed Ikram bersungguh-sungguh. Dia mempereratkan dakapan. Sesekali hidungnya singgah ke leherku. Setiap kali itulah aku menggeliat kegelian.
 
“Entahlah you, memang sudah nasib i agaknya. Selamanya akan sengsara sendiri. Payahnya nak bahagia,” keluhku sedikit pilu.
 
“Janganlah macam ni. Abang tidak akan melukakan hati Brian. Abang sayangkan Brian,” pujuk Syed Ikram lagi.
 
“Sudahlah Ikram, janji-janji you tu menakutkan i…”
 
“Brian masih ragu dengan ketulusan perasaan abang ni?”
 
Aku angkat bahu. Tidak pasti apa jawapan yang selayak aku berikan. 
 
“Brian mahu abang bersumpah?”
 
“Please , jangan bersumpah-sumpah. Nanti dimakan sumpah, siapa nak disalahkan?”
 
“Terpulanglah, tapi Brian perlu tahu, abang akan tetap bersama Brian untuk selamanya. Kita ditakdirkan untuk sehidup semati hingga terhenti nafas ini.”
 
Lalu selepas itu aku tidak mampu berkata apa-apa lagi. Aku hanyut dek rangkulan Syed Ikram yang berdada bidang dengan dulu halus bak permaidani terhampar. 
 
 Malam itu adalah malam terakhir sebelum Syed Ikram bergelar pengantin baru. Malam terakhir Syed Ikram menjadi milikku. Selepas malam itu dia tidak mungkin menghangatkan lagi ranjangku. 
Syed Ikram telah menjadi milik orang lain. Milik Ramlah, adik kandungku sendiri! 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *