Bab 1
Saya gadai apa yang boleh digadai je. Tak lebih tak kurang. Harga
kengkawan tau?
INGATAN terhadap Syed Ikram membuatkan aku tidak berhasrat untuk pergi
ke pejabat. Kepada setiausahaku Samsinar, aku memberi alasan kurang sihat.
Sebarang temujanji dibatalkan sahaja. Sekiranya ada masalah, dia boleh
merujuk aku ditalian. Aku akan berada di rumah sepanjang hari.
Semalaman tidak tidur, tubuh kelesuan. Pun begitu keinginan untuk
melelapkan mata masih tiada. Lantas ke dapur, membuat minuman dan
menggoreng nasi.
Lima belas minit kemudian, semuanya sudah tersedia di meja. Asap nipis
nescafe panas berkepul-kepul naik ke udara. Sepinggan nasi goreng dengan
potongan telur dadar dan timun terhias indah. Begitu menyelerakan.
Jam di dinding menunjukkan 7.30 pagi. Masih awal. Aku masuk ke bilik
dan menyalin pakaian tidur. Dengan bertuala membelit dada, aku bergegas ke
bilik air. Terasa segar tubuh apabila disirami air suam-suam kuku itu.
Ketika menghadap sarapan, Jefri muncul dengan kopi keledar di tangan
kanannya. Dia memberi salam. Aku membalas penuh mesra. Jefri begitu kemas
dengan kemeja putih dan seluar slack warna hitam. Tali leher bercorak abstrak
menambah kesegakkannya. Rambut pula disisir rapi ke belakang.
“Jom kita sarapan dulu?” pelawaku. Tanpa mendengar persetujuan Jefri,
aku mengambil cawan dan piring.
“Boleh jugak. Lapar ni,” ujar Jefri gembira. Dia menarik kerusi di
sebelahku.
“Bestnya, nasi goreng kampung kegemaran saya ni!” tambah Jefri
seperti kanak-kanak mendapat mainan yang diidamkan.
Tiba-tiba aku menguap. Malu aku bila Jefri merenung.
“Tidur pukul berapa malam tadi?” soal Jefri.
Aku geleng.
“Tak tidur langsung?”
Aku angguk.
“Eh, kenapa ni. Brian sakit. Demam?” Jefri menunjukkan kerisauannya.
Dia meletakkan sudu garfu di pinggan. Direnungnya anak mataku tanpa
berkelip.
“Tak ada apa-apalah,” jawabku dengan suara sedikit bergetar.
Aku tunduk. Hatiku sebak. Perhatian Jefri itu mengingatkan aku kepada
Syed Ikram. Betapa lelaki itu terlalu mengambil berat kesihatanku. Syed Ikram
pernah berjaga sepanjang malam sewaktu aku demam panas dahulu. Dialah
juga yang menyuapkan bubur ayam apabila aku enggan makan.
Dua hari tidak mandi, Syed Ikram jugalah yang lapkan seluruh tubuhku
dengan tuala separuh lembab. Segalanya dilakukan oleh Syed Ikram dengan
sempurna. Penuh kasih sayang.
“Ceritalah, mana tau saya boleh tolong?”
“Tak semudah tu Jef. Banyak sangat yang bermain di fikiran ni. Tak tahu
nak mula dari mana…”
“Tapi kalau Brian cerita, sekurang-kurangnya ringanlah bebanan
perasaan tu,”
“Sudi ke dengar cerita aku ni? Tujuh hari tujuh malam belum tentu
habisnya.”
“Apa pulak tak sudi. Cerita saja. Saya pendengar yang baik tau. Tak dapat
bantu, sekurangnya ada yang mendengar dan belajar memahami apa yang
berlaku. Kita kan serumah, takkan nak tanggung sorang-sorang. Nanti kalau
Brian, siapa pulak nak masak nasi goreng untuk saya nanti?” gurau Jefri.
“Nak upah lah ni ye?”
“Saya ni pandai makan je. Masak air bolehlah. Tapi kalau suruh basuh
pinggan, mop lantai, cuci kereta atau kerja yang menggunakan tenaga, saya
rela berkhidmat!”
“Tu bisa diatur. Banyak tugasan menanti tu!” balasku gembira.
Seronok
aku melihatkan sikap Jefri yang pandai mengambil hatiku itu. Ada sahaja
gurauannya menceriakan suasana.
“Beritahu saja Mem. Hamba sedia menggadai tenaga dan nyawa!”
Eh, dia ni. Bijak sekali bermain kata. Silap hari bulan kalau orang tak
faham erti gurauan, boleh jatuh hati.
“Jangan tergadai yang lain dah ler?”
Jefri tergelak kuat. Dia faham apa yang aku maksudkan . Dia membalas
usikanku dengan wajah yang merah. Tanda termalu sendiri. Tu la, jangan
sewenangnya bermain kata. Dia tak tahu dia berhadapan dengan siapa ni?
“Saya gadai apa yang boleh digadai je tau. Tak lebih tak kurang. Harga
kengkawan tau?”
“Nantilah…” suaraku tiba-tiba menjadi sayu.
Jefri tidak meneruskan pertanyaan. Dia menghabiskan makanan dan
minuman. Seleps mengesat mulut dengan tisu, dia bangun.
“Okeylah, malam nanti kita sembang lagi. Take care ye!” Jefri melangkah
pergi. Aku menghantarnya dengan senyuman. Deruman enjin motosikal Jefri
bergema dan hilang dibawa angin lalu.
Tinggallah aku menahan perasaan yang
mula berombak kencang. Tanpa sedar, air mata tumpah. Hatiku kian pilu.
Ketukan di pintu yang tenggelam timbul itu hampir sahaja tidak
didengari. Hairan juga aku. Siapa pula yang datang pagi-pagi begini?
Aku
bersegera bangun dan membuka pintu. Terpacul susuk tubuh sahabat
karibuku, Bada dengan senyuman menggoda.
“Ingatkan siapa tadi?” leterku menutup pintu. Bada masuk tanpa
disuruh. Terus ke dapur. Seperti rumah sendiri dia membuat minuman dan
menikmati nasi goreng yang masih banyak di dalam kuali.
“Habis tu kau ingat siapa yang datang?” perli Bada mengusik Brian.
“Manalah tahu kalau si dia ke?” pantas aku menjawab. Jawapan yang
aku anggap sekadar berbasa basi.
“Aikk, masih merindu si dia?”
“Tempat jatuh lagi kan dikenang kan, inikan pulak tempat bermanja
berasmaradana!” aku tidak mahu kalah. Bada kalau bab mengusik aku
memang nombor satu.
“Tempat jatuh tu dah roboh pun…,” sindir Bada tanpa memperdulikan
kata-katanya itu amat menikam perasaanku. Dia terus berselera menikmati
juadah sarapan paginya itu.
Aku diam.
Menyedari sindirannya tidak berbalas. Bada terhenti makan dan
memandangku dengan rasa bersalah.
“Aku mengganggu ke nyah?” tanya Bada dengan suara memujuk dan kali
ini lebih berhati-hati nadanya.
“Tak ganggupun.Tapi jarang kau datang pepagi ni. Ada hal apa. Mesti
nak pinjam lipstick ke?”
“Amboi nyah, mentang-mentang aku datang tidak bermekap, engkau
kutuk aku ye?” Bada pura-pura marah. Aku hanya mencebik. Kami akhirnya
sama-sama ketawa dengan sikap masing-masing.
“Ala, aku gurau je lah. Kau tu bermekap ke tak sama je lah. Tak ada beza
pun!”
“Amboi, tak sayang mulut betul janda meletup ni ye?”
“Eh, aku masih dalam edah lah. Bebila masa boleh rujuk tau!”
“Nak bermadu dengan adik sendiri ke?”
“Apa salahnya..” jawabku sengaja memancing kemarahan Bada. Walhal
tak niatpun untuk menyimpan harapan begitu. Kalau aku nak cari pengganti,
bukan kembali semula ke pangkuan Syed Ikram. Ramai lagi lelaki di luar sana
yang boleh aku pancing. Kalau terdesak sangatpun Jefri kan ada. Aku membuat
andaian sendiri.
“Mulalah tu nak buat kerja gila!” marah Bada. Dia tahu aku sedang
bergurau.
“Dah lama kita buat kerja gila ni. Takkan tak faham lagi,” balasku
mewarnakan suasana dengan perbualan yang masih berkisar pada Syed Ikram.
“Carilah orang lain. Biarkan Syed Ikram tu bahagia dengan Melah. Nak
pergi kacau tu tu apasal?”
“Alah kau ni. Aku gurau je lah…”
“Janganlah marah. Aku usik je lah.Takkan tu pun nak ambil hati.”
Bada senyum melirik. Dia bangun dan menarik tangan aku ke ruang
tamu. Melihat sikap Bada itu aku pasti ada berita gembira yang ingin
disampaikan. Masak benar dengan perangai Bada. Kalau ada sesuatu yang
menggembirakan walaupun menyedihkan, akulah orang pertama yang
dicarinya. Akulah tempat dia mengadu dan berkongsi segala cerita.
“Sebenarnya ada hal penting aku nak berkongsi dengan kau pepagi ni?”
bisik Bada dengan wajah kembali ceria.
“Ada anak ikan baru ke nyah?”
“Eh, ke situ pulak. Yang satu tu tak terlayan, nak tambah bala baru ke?”
“Iya ke tak terlayan. Kan kau ni jenis pemangsa. Hari hari mau…”
“Tu pasti. Tapi yang ni lain sikit. Lain dari biasa. Sesuatu yang luar
biasa…” Bada terus bermadah seloka. Bosan sungguh aku. Tak sabar nak tahu
apa yang nak dikongsikan itu.
“Kalau dengan kau ni semua luar biasa. Tak pernah tak luar biasa,”
“Betul. Kau mesti terkejut kalau mendengarnya!”
“Kalau sampai aku terkejut, tentu benda ni bukan main-mainlah. Ok, kau
beritahu aku. Kalau aku tak terkejut, aku akan buat-apa terkejut!”
“Tapi ada syaratnya…” jawab Bada dengan suara separuh merayu.
“Syarat apa pulak ni?”
“Kalau kau terkejut atau tidak, aku tetap nak kau bertenang. Jangan
marah-marah tau?”
Aku pasti ianya sesuatu yang akan mengejutkan. Bada tidak pernah
lambat bercerita, Terkadang tu belum sahihpun cerita tersebut, aku dulu yang
diberitahu. Tak kira pukul berapa dia akan menghubungiku.
“Aku tak janji akan terkejut. Dan aku tak janji tak boleh marah. Aku kena
dengar dulu cerita dan penjelasan kau tu. Kalau perlu marah, aku akan
mengamuk. Kalau perlu aku belasah kau, aku karate kau sekarang juga,” aku
cuba berseloroh untuk menyembunyikan debaran di hati. Melihat keseriusan
Bada meminta aku jangan marah, sudah membuktikan pengakuan yang akan
dibuat adalah sesuatu yang pasti aku terkejut dan marah. Aku yakin sekali.
“Janji dulu!” rayu Bada bersungguh-sungguh.
Aku angguk. Tapi aku tetap akan marah kalau ianya sesuatu yang tidak
masuk akal.
“Aku nak pergi Bangkok!”
“Bila?”
“Bulan depan.”
“Atas urusan apa. Bercuti dengan Joe ke. Bulan madu yang keberapa kali
pulak ni?”
“Aku nak pergi dengan kau lah. Bukan Joe!”
“Dengan aku?”
“Temanlah aku buat pembedahan…”
“Kau kena bisul lagi, nyah?”
“Ni lebih dari bisul la,” balas Bada senyum simpul.
“Habis tu?”
“Takkan tak faham lagi. Blur lah kau ni,”
“Nak buat pembedahan. Buang lemak ye?”
“Ni buang lain…”
Aku semakin tidak sabar untuk mendengar cerita seterusnya. Senyuman
Bada yang penuh bererti itu, tentu ada kisah yang lebih dramatik daripada kes
bisulnya sebelum ini.
“Aku nak buang tu!”
“Buang apa lak kali ni?”
“Aku nak jadi perempuan sebenar lah nyah oii,” jerit Bada dengan penuh
gembira.
Aku terdiam. Anak mataku seakan terkeluar mendengar jawapan akhir
Bada itu. Tanpa perlu penerangan lanjut, aku tahu apa maksud sebenar Bada
itu.
Bada terus tersenyum lebar dan wajahnya berseri-seri. Seolahnya dapat
meluahkan dan berkongsi ceritanya itu satu kepuasan. Sementara bagi aku
cerita Bada itu membuatkan aku terkedu sendiri.
“Kau nak buang anu kau ni ye?” ulang aku kembali setelah lama
berdiam.
“Iyalah… aku nak jadi perempuan sebenar!”
Bada terus tersenyum. Entah mengapa aku pula yang rasa nak pengsan!





