BAALE – FORTUNA LIVE IN KUALA LUMPUR BAKAL CIPTA NOSTALGIA
Penyanyi, pelakon dan pemuzik berbakat dari Indonesia, Iqbaal Ramadhan, bakal menemui para peminat Malaysia buat pertama kalinya di bawah nama pentas baharunya, BAALE, menerusi konsert sulung bertajuk BAALE – FORTUNA Live in Kuala Lumpur, yang akan berlangsung pada 15 Jun 2025 (Sabtu), jam 8 malam, bertempat di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert ini dibawakan oleh Miebird Projects, dan dijangka menjadi momen penuh makna yang mengubati kerinduan peminat yang sebelum ini hanya dapat menikmati karya BAALE menerusi penstriman digital dan platform media sosial.
BAALE – Suara Jujur Seorang Iqbaal Ramadhan
Dikenali ramai sebagai watak Dilan dalam filem ikonik Dilan 1990, Iqbaal Ramadhan sebenarnya memulakan kerjaya muziknya seawal tahun 2011 menerusi kumpulan Coboy Junior. Kini, pada tahun 2024, beliau kembali ke dunia muzik sebagai penyanyi solo dengan identiti baharu: BAALE – projek muzik yang menampilkan nuansa BritPop, suara yang tulus, dan ekspresi seni yang bebas.
Nama BAALE dipilih sebagai simbol kepada perjalanan kreatif yang lebih matang, jujur dan berdikari. Projek ini turut disokong oleh barisan pemuzik berbakat dan penerbit terkenal Hendra Jayaputra.
Pada Mei 2024, BAALE melancarkan album sulung berjudul FORTUNA, yang membawa maksud “nasib baik”, dan mengandungi 11 buah lagu yang menyingkap kisah kesepian, impian, serta cabaran zaman muda.
Konsert Istimewa – FORTUNA Didendangkan Secara Langsung
BAALE – FORTUNA Live in Kuala Lumpur merupakan konsert pertama Iqbaal sebagai BAALE di Malaysia. Para peminat kini berpeluang menyaksikan lagu-lagu dari album FORTUNA secara langsung dan merasai pengalaman muzik yang lebih intim dan jujur.
“Kami di Miebird Projects amat teruja membawakan BAALE ke pentas Zepp Kuala Lumpur. Ini bukan sekadar persembahan, tetapi peluang untuk peminat menyelami maksud di sebalik muzik yang dibawa BAALE,” ujar Idreez J., wakil penganjur.
Bagi Iqbaal sendiri, ini merupakan satu fasa baharu dalam kerjaya seninya:
“Saya sangat gembira dapat ke Malaysia buat pertama kalinya sebagai BAALE. Projek ini ialah bentuk paling jujur tentang siapa saya. Album FORTUNA adalah tentang diri saya, tentang sunyi, tentang impian. Semoga audiens Malaysia boleh mengenali BAALE dan terus bersama saya dalam perjalanan muzik yang akan datang.” Ujar Baale gembira.





