AurumLX Perkasa Budaya Pemilikan Emas, Sasar Aspirasi “Satu Keluarga Satu Gram Emas” Menuju Simpanan 1 Kilogram
AURUM79 Sdn. Bhd. menerusi jenama AurumLX memperkukuhkan komitmennya dalam membina budaya celik kewangan dan pemilikan aset bernilai dalam kalangan rakyat Malaysia dengan memperkenalkan aspirasi nasional “Satu Keluarga Satu Gram Emas”, sebagai langkah pertama ke arah pembentukan simpanan jangka panjang sehingga mencapai pemilikan satu kilogram emas.
Inisiatif berkenaan mencerminkan visi syarikat untuk menjadikan emas bukan lagi sekadar instrumen pelaburan eksklusif, tetapi sebagai aset perlindungan kekayaan yang mampu dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat melalui pendekatan simpanan yang berdisiplin dan mampan.
Pengarah Eksekutif AurumLX, Muhamad Afif Mohamad, berkata aspirasi tersebut lahir daripada keyakinan bahawa budaya menyimpan emas perlu dipupuk sejak awal sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan keluarga.
“Kami mahu melihat setiap keluarga di Malaysia memulakan langkah dengan memiliki sekurang-kurangnya satu gram emas. Walaupun kelihatan kecil, ia merupakan permulaan kepada tabiat kewangan yang sihat. Dengan simpanan yang konsisten mengikut kemampuan, matlamat untuk memiliki sehingga satu kilogram emas pada masa hadapan bukan lagi sesuatu yang mustahil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengiktirafan Syariah dan Penyerahan Sijil Kecekapan Pematuhan Pengukuran Ketulenan Emas oleh National Metrology Institute of Malaysia (NMIM) di Shah Alam.
Turut hadir ialah Penasihat Syariah Aurum79 Sdn. Bhd., Dr. Mohd Shahid Mohd Noh.
Pendigitalan Pemilikan Emas
Selaras dengan perkembangan ekonomi digital, AurumLX turut membangunkan platform digital yang membolehkan pelanggan membeli, menyimpan dan mengurus pegangan emas fizikal secara mudah, pantas dan selamat pada bila-bila masa.
Platform itu membuka ruang kepada lebih ramai rakyat Malaysia memulakan simpanan emas dengan nilai serendah RM10, sekali gus menghapuskan persepsi bahawa pemilikan emas memerlukan modal yang besar.
Menurut Afif, pendekatan tersebut diyakini mampu memperluaskan akses masyarakat terhadap aset bernilai tinggi, di samping menggalakkan amalan simpanan yang lebih sistematik dan berterusan.
Komitmen Terhadap Standard Ketulenan Bertaraf Tinggi
Selain memperluaskan akses kepada pemilikan emas, AurumLX turut memberi penekanan terhadap aspek integriti, ketulenan dan pematuhan piawaian industri.
Bagi memperkukuhkan keyakinan pengguna, syarikat menjalinkan kerjasama strategik dengan National Metrology Institute of Malaysia (NMIM) dalam meningkatkan kompetensi pengesahan ketulenan emas, selain bekerjasama dengan SIRIM bagi memastikan setiap gram emas yang ditawarkan memenuhi piawaian dari aspek mutu, berat dan spesifikasi teknikal.
“Kepercayaan pelanggan dibina melalui ketelusan dan standard yang tinggi. Sebab itu kami sentiasa memastikan setiap produk emas yang ditawarkan mematuhi piawaian kualiti yang diiktiraf serta melalui proses pengesahan yang menyeluruh,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan jangka panjang, AurumLX turut merancang untuk menubuhkan makmal pengujian emas sendiri bagi memperkukuhkan proses verifikasi ketulenan dan meningkatkan lagi kredibiliti syarikat dalam industri logam berharga negara.
Memperkasa Literasi Kewangan dan Kesedaran Pengguna
Dalam masa yang sama, AurumLX komited memperluaskan pendidikan kewangan kepada masyarakat bagi meningkatkan kefahaman mengenai konsep pemilikan emas yang sah, selamat dan beretika.
Afif menegaskan pengguna perlu lebih berhati-hati terhadap mana-mana tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa atau jaminan keuntungan mutlak.
“Setiap bentuk pelaburan mempunyai risiko tersendiri. Sekiranya terdapat pihak yang menjanjikan pulangan 100 peratus atau keuntungan tanpa risiko, pengguna perlu melihatnya sebagai satu amaran awal. Literasi kewangan adalah benteng terbaik untuk mengelakkan penipuan dan skim pelaburan yang meragukan.”
Beliau berkata, melalui gabungan inovasi digital, pematuhan standard antarabangsa, tadbir urus yang kukuh serta pendidikan pengguna, AurumLX yakin aspirasi ‘Satu Keluarga Satu Gram Emas’ mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat Malaysia yang lebih celik kewangan, berdaya tahan dan memiliki aset bernilai untuk generasi akan datang.





