Kerajaan MADANI Pinda Akta 530, Perkasa Aspirasi Perumahan Generasi Baharu FELDA
KERAJAAN MADANI bakal melaksanakan pindaan terhadap Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) bagi membolehkan pembinaan lebih daripada sebuah rumah di atas satu lot kediaman milik peneroka FELDA, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha menyelesaikan isu perumahan generasi baharu yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata FELDA telah diarahkan menyediakan draf pindaan akta tersebut dalam tempoh dua bulan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan seterusnya dibawa ke Parlimen pada tahun ini.
Beliau berkata, pindaan bersejarah itu merupakan antara lima inisiatif strategik Kerajaan MADANI bagi menangani isu legasi yang membelenggu generasi kedua dan ketiga warga FELDA, khususnya berkaitan keperluan memiliki kediaman sendiri.
“Kerajaan amat memahami kegelisahan generasi baharu FELDA mengenai isu perumahan, khususnya melibatkan pelaksanaan konsep Dua Rumah di atas Satu Lot (2R1L).”
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, barisan kepimpinan FELDA serta ribuan warga peneroka dari seluruh negara.
Pemutihan 8,000 Rumah, Bekalan Utiliti Disalurkan Serta-Merta
Sebagai langkah interim sebelum pindaan akta berkuat kuasa, Perdana Menteri mengumumkan proses pemutihan serta-merta terhadap kira-kira 8,000 unit rumah yang telah siap dibina dan diduduki sehingga 31 Disember 2025.
Melalui langkah itu, semua kediaman yang terlibat akan dibenarkan menerima penyambungan bekalan air dan elektrik tanpa perlu menunggu pindaan akta diluluskan.
Bekalan air akan diselaraskan oleh kerajaan negeri manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diarahkan mempercepat pemasangan bekalan elektrik kepada semua rumah yang layak.
Bagaimanapun, pembinaan rumah baharu selepas tarikh tersebut perlu mematuhi pindaan undang-undang yang bakal dilaksanakan bagi memastikan aspek pemilikan tanah dan perancangan pembangunan lebih tersusun serta mampan.
Projek Perumahan Generasi Baharu Dipercepat Hingga 2030
Kerajaan turut memberi jaminan bahawa Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) akan diteruskan secara agresif sehingga tahun 2030.
Sejak diperkenalkan pada 2013, projek berkenaan melibatkan 43 tapak pembangunan merangkumi 8,224 unit rumah di tujuh negeri iaitu Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perak.
Daripada jumlah itu, sebanyak 2,458 unit di 12 tapak telah memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC), manakala 2,546 unit di 13 tapak kini berada dalam pelbagai peringkat pembinaan.
Antara lokasi yang akan disiapkan secara berfasa ialah Besout (Perak), Sungai Koyan dan Sungai Tekam (Pahang), Pasoh, Bukit Jalor, Palong 8 serta Bukit Rokan Utara (Negeri Sembilan), selain Maokil, Papan Timur (Johor) dan Kerteh 5 (Terengganu).
Perdana Menteri mengakui kelewatan beberapa projek berpunca daripada kelemahan perancangan, pemantauan dan pengurusan projek pada masa lalu, sambil menyeru kerajaan negeri serta agensi utiliti bekerjasama rapat dengan FELDA bagi memastikan semua projek dapat disiapkan secepat mungkin.
RM170 Juta Tambahan Siapkan Projek Tertangguh
Bagi mempercepat penyelesaian projek-projek perumahan yang tertangguh, Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan tambahan RM150 juta bagi menyiapkan 554 unit rumah di Bukit Aping Timur dan Pasak di Johor serta Kerteh 5 di Terengganu.
Selain itu, kerajaan turut meluluskan RM20 juta lagi untuk menyiapkan Projek Sentuhan Kasih FELDA (SKF) di Laka Selatan, Kedah dan Palong 16, Negeri Sembilan yang kini telah mencapai kemajuan antara 60 hingga 70 peratus tetapi berdepan kekangan kewangan.
Menurut Perdana Menteri, keputusan itu dibuat bagi memastikan keperluan kediaman generasi baharu FELDA dapat dipenuhi tanpa terus berdepan kelewatan.
31,954 Lot Generasi Dipercepatkan
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut memberi tumpuan kepada isu Lot Generasi FELDA, dengan sebanyak 31,954 lot dikenal pasti memerlukan tindakan segera di Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.
Usaha mempercepat proses pemberimilikan lot serta penyediaan infrastruktur akan dibincangkan bersama kerajaan negeri dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dijadualkan berlangsung pada Ogos ini.
Mesyuarat khas itu juga akan membincangkan pelaksanaan pindaan Akta 530 serta mekanisme pembinaan rumah generasi kedua FELDA secara lebih menyeluruh.
RM450 Juta Baik Pulih Rumah Petugas FELDA
Sebagai menghargai jasa warga kerja FELDA, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM450 juta bagi tempoh tiga tahun untuk membiayai kerja pembaikan dan pembinaan semula rumah petugas FELDA di seluruh tanah rancangan.
Beliau menegaskan Kerajaan MADANI komited menyelesaikan pelbagai isu legasi FELDA secara holistik melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, FELDA dan semua agensi berkaitan.
“Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan kediaman yang lebih selesa, malah mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjamin kesejahteraan peneroka, generasi baharu serta seluruh warga FELDA agar terus menikmati pembangunan yang inklusif, mampan dan berdaya saing,” katanya.





