Nur Nilam Ortiz & Azlan Komeng Umum Perpisahan Secara Baik Selepas Enam Tahun Berumah Tangga
TEKA-teki yang berlegar dalam kalangan peminat dan pengikut media sosial mengenai status perkahwinan usahawan serta selebriti, Nur Nilam Ortiz dan Azlan Komeng akhirnya terjawab. Melalui satu sidang media yang diadakan hari ini, kedua-duanya mengesahkan bahawa perkahwinan mereka yang telah berlangsung selama enam tahun kini telah berakhir.
Dalam kenyataan yang disampaikan dengan tenang dan penuh kematangan, Nur Nilam memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat secara baik dan dengan penuh pertimbangan.
“Ya, perkahwinan kami telah berakhir. Namun hubungan kami tetap baik. Kami kini meneruskan peranan sebagai rakan perniagaan, sahabat yang saling menghormati serta ibu bapa kepada anak kami,” jelas beliau.
Menurut Nur Nilam, beliau memilih untuk tidak memperincikan punca perpisahan tersebut demi menjaga keharmonian serta maruah kedua-dua pihak.
“Soal bagaimana kami berpisah dan apakah penyebabnya, biarlah ia kekal sebagai rahsia antara kami. Saya tidak mahu mencipta pelbagai cerita atau alasan mengenai kegagalan mempertahankan perkahwinan ini. Apa yang berlaku saya anggap sebagai ketentuan takdir, dan kita harus belajar berdamai dengan takdir yang telah ditentukan.”
Tambah beliau lagi, hubungan antara Azlan dan anak mereka, Leon yang kini berusia lima bulan, akan terus dipelihara dengan baik.
“Azlan tetap ayah kepada Leon. Saya tidak mahu hubungan mereka terjejas hanya kerana persepsi atau cerita kurang baik yang beredar. Kami masing-masing sudah melangkah ke hadapan dan kini memberi fokus kepada kehidupan serta tanggungjawab yang ada.”
Walaupun tidak lagi bergelar suami isteri, kerjasama profesional antara mereka masih diteruskan. Azlan difahamkan masih memainkan peranan dalam membantu menguruskan operasi perniagaan Nilam, termasuk perkembangan terkini syarikat Nilam Empire yang kini sedang meneroka peluang baharu dalam sektor kecantikan serta perkhidmatan penstriman telekomunikasi berbayar, selain memperkukuh rangkaian produk sedia ada.
Sidang media tersebut turut diadakan bagi menjernihkan keadaan dan menamatkan spekulasi yang berlegar sejak kebelakangan ini.
“Sidang media hari ini diadakan bagi menjelaskan keadaan sebenar. Saya berharap selepas ini tiada lagi spekulasi atau cerita kurang baik mengenai kami. Lebih-lebih lagi kita kini berada dalam bulan yang penuh keberkatan dan bakal menyambut Aidilfitri. Marilah kita sama-sama bermuhasabah dan memperbaiki diri. Semoga apa yang berlaku menjadi pengajaran untuk kita lebih matang, berani dan reda dalam setiap keputusan hidup,” ujar Nur Nilam mengakhiri sidang media tersebut.
Perpisahan ini disifatkan sebagai satu keputusan yang dibuat secara matang oleh kedua-dua pihak, dengan keutamaan terus diberikan kepada kesejahteraan keluarga, anak serta perjalanan kerjaya masing-masing.





