BINTANG TERKENAL SERIKAN MALAM KEMUNCAK AIM24
Anugerah Industri Muzik Ke-24 Angkat Martabat Seni Muzik Tempatan Ke Puncak Glamour
INDUSTRI muzik tanah air bakal kembali berkilau dengan penganjuran Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24), sebuah acara berprestij yang dikuasakan oleh Samsung Galaxy A56 dan A36 5G, dengan sokongan penuh Kementerian Komunikasi. Malam kemuncak AIM24 akan berlangsung penuh gemilang di Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September 2025, menyajikan pengalaman eksklusif yang menggabungkan pesona bintang dan keunggulan muzik.
Dikemudikan pasangan hos serasi Sherry Al-Hadad dan Alif Satar, pentas AIM24 bakal berkilau dengan persembahan luar biasa daripada barisan penghibur ternama. Antara kemunculan paling dinanti termasuklah kolaborasi eksklusif Dolla bersama bintang hip hop Thailand, Tobii, persembahan istimewa Ernie Zakri bersama nama besar dari Indonesia, Ade Govinda & Anggi Marito, serta segmen ikonik oleh Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Turut memeriahkan pentas ialah kumpulan legenda Exists, yang terus relevan dengan aura tersendiri, serta persembahan bertenaga daripada finalis kategori Artis Baru Terbaik – Eric Foo, Intan Maya, K.O.I, Ryenald Guntabid dan Xone.
Anugerah, Ganjaran & Eksklusiviti
AIM24 mempertandingkan 30 kategori utama, termasuk empat kategori baharu yang meraikan kepelbagaian muzik tanah air: Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis / Komposer Luar Negara Terbaik dan Kugiran Terbaik.
Sebanyak 11 kategori istimewa bakal membawa pulang dana berjumlah RM700,000 daripada Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah MyCreative Ventures, termasuk hadiah RM200,000 bagi kategori Album Terbaik.
Prestij & Pengiktirafan Tertinggi
Menurut Pengerusi RIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Encik Rosmin Hashim, pemilihan hos, penyampai trofi serta penghibur dibuat berdasarkan kredibiliti, populariti, dan keserasian dengan tema tahun ini – “Kemuncak Segala-Galanya”.
“AIM24 adalah pentas yang meraikan bukan sahaja keindahan seni muzik tempatan, tetapi juga daya saing artis Malaysia di persada antarabangsa. Malam ini adalah puncak glam dan prestij industri muzik tanah air,” katanya.
Disokong Penuh Rakan Strategik
Selain Samsung Galaxy selaku penaja utama dan Resorts World Genting sebagai lokasi rasmi, AIM24 turut mendapat sokongan daripada rakan strategik seperti Premiera Hotel Kuala Lumpur, F&N Beverages & Marketing, RCD Concept Sdn. Bhd. dan Timeless Studio.
Malam kemuncak AIM24 akan disiarkan secara langsung oleh RTM selaku penyiar rasmi melalui TV2 dan portal RTM Klik bermula jam 9 malam, dengan acara karpet merah penuh gaya bermula jam 8 malam.
AIM24 sekali lagi membuktikan bahawa muzik Malaysia bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah perayaan budaya, glamour dan prestij – mengangkat industri muzik tanah air ke persada antarabangsa.





