“SEMPURNA” – SEBUAH SURAT CINTA BUAT KELUARGA DARIPADA HARITH ZAZMAN DAN YONNYBOII

HARITH ZAZMAN DAN YONNYBOII SATUKAN JIWA DALAM “SEMPURNA”

Sebuah Penghormatan Istimewa Buat Keluarga, Kasih Sayang dan Erti Kehidupan

BERSEMPENA sambutan Hari Bapa, dua figura muzik generasi baharu yang semakin berpengaruh, Harith Zazman dan Yonnyboii, berganding buat pertama kalinya menerusi single istimewa berjudul “Sempurna” — sebuah karya yang menyentuh hati tentang cinta, penerimaan, pengorbanan dan penghargaan terhadap insan yang menjadi pelengkap dalam perjalanan hidup.

Diterbitkan oleh Justin Seow serta ditulis bersama Harith Zazman dan Yonnyboii, “Sempurna” lahir daripada pengalaman peribadi kedua-dua penyanyi yang kini melalui fasa kehidupan sebagai suami dan bapa. Dengan susunan muzik pop kontemporari yang sarat emosi, lagu ini mengetengahkan hakikat bahawa kesempurnaan bukanlah terletak pada persamaan, tetapi pada kemampuan untuk menerima kekurangan dan meraikan perbezaan dalam sesebuah hubungan.

Menurut Harith Zazman, inspirasi utama karya tersebut hadir daripada pengalaman hidupnya selepas mendirikan rumah tangga.

“Perkahwinan mengajar saya bahawa dua insan tidak semestinya mempunyai cara fikir atau latar belakang yang sama. Namun di situlah letaknya keindahan sebuah hubungan. Kita belajar memahami, bertolak ansur dan saling melengkapi. Bagi saya, itulah definisi sebenar kesempurnaan,” katanya.

Harith turut mengakui bahawa “Sempurna” merupakan antara karya paling peribadi dan matang yang pernah dihasilkannya sepanjang bergelar anak seni.

“Ketika menulis lagu ini, saya benar-benar menyelami perjalanan hidup sendiri sehingga menitiskan air mata. Setiap bait lirik membawa kisah yang dekat dengan hati saya. Saya berharap mesej yang terkandung di dalamnya mampu menyentuh hati para pendengar dan memberi makna kepada mereka yang menghargai keluarga,” tambah beliau.

Kolaborasi bersama Yonnyboii pula tercetus secara semula jadi hasil hubungan persahabatan yang telah lama terjalin. Harith percaya Yonnyboii merupakan individu paling tepat untuk menyampaikan emosi dan naratif yang ingin diketengahkan menerusi lagu tersebut.

“Walaupun kami tidak sentiasa bertemu, hubungan persahabatan kami sangat erat. Sebaik sahaja demo lagu ini siap, saya terus membayangkan suara Yonny kerana beliau sendiri memahami realiti kehidupan sebagai seorang suami dan bapa. Saya tahu beliau mampu membawa jiwa lagu ini dengan sangat jujur,” ujar Harith.

Bagi Yonnyboii, “Sempurna” merupakan sebuah dedikasi istimewa buat isterinya serta anak lelaki mereka yang menjadi sumber inspirasi dan kekuatan dalam kehidupannya.

“Melalui lagu ini, saya ingin menyampaikan penghargaan kepada keluarga saya. Mereka adalah sebab saya terus berusaha dan menjadi insan yang lebih baik setiap hari. Kehadiran mereka menjadikan hidup saya terasa lengkap,” katanya.

Menambahkan lagi nilai sentimental karya ini, proses rakaman “Sempurna” turut diserikan dengan kehadiran anak Yonnyboii, Kyro, yang menemani bapanya sepanjang sesi rakaman berlangsung. Momen tersebut menjadi simbolik kepada tema kekeluargaan yang diangkat dalam lagu ini.

Menurut Harith, pengalaman tersebut menjadikan keseluruhan proses penciptaan lagu lebih autentik dan bermakna.

“Ketika proses rakaman berlangsung, Yonny sedang mendukung anaknya. Malah, terdapat rakaman suara bayi yang kedengaran dalam versi asal lagu ini. Perkara-perkara kecil seperti inilah yang memberikan jiwa sebenar kepada karya ini dan menjadikannya lebih dekat dengan realiti kehidupan,” jelasnya.

Walaupun mengangkat tema yang lebih matang, Yonnyboii percaya identiti muziknya tetap terserlah menerusi karya ini.

“Setiap artis mempunyai identiti tersendiri. Hari ini, pengalaman hidup saya lebih banyak berkisar tentang keluarga dan tanggungjawab. Namun saya masih Yonnyboii yang sama. Bezanya, saya kini berkongsi sisi diri yang lebih jujur, lebih menghargai kasih sayang dan lebih memahami erti kehidupan,” katanya.

Apabila diminta menggambarkan lagu ini dalam tiga perkataan, Yonnyboii memilih ungkapan “Yayo, Nina, Kita” — merujuk kepada keluarga kecilnya yang menjadi inspirasi utama di sebalik penghasilan karya tersebut.

Dilancarkan menjelang Hari Bapa, “Sempurna” hadir sebagai sebuah karya yang mengingatkan pendengar tentang pentingnya menghargai insan tersayang, menerima perbezaan yang wujud dalam setiap hubungan dan meraikan keluarga sebagai tempat pulang yang paling bermakna.

Melalui kolaborasi istimewa ini, Harith Zazman dan Yonnyboii berharap “Sempurna” dapat menjadi lagu yang menemani pelbagai lapisan masyarakat dalam menghargai detik-detik sederhana yang menjadikan kehidupan lebih bermakna.

“Sempurna” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital bermula 19 Jun 2026.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *