PAPUH PERKASA PELANCONGAN ISLAM BERINTEGRITI MENERUSI MUSLIM TRAVEL FAIR 2026

PAPUH ANJUR PAPUH MUSLIM TRAVEL FAIR 2026

Platform Pelancongan Islam dan Mesra Muslim Terbesar Perkasa Pengguna, Lindungi Industri

 PERSATUAN Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) bakal menganjurkan PAPUH Muslim Travel Fair 2026 pada 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Kompleks PKNS Shah Alam, sebuah karnival pelancongan Islam berskala besar yang menghimpunkan pemain industri pelancongan, umrah dan haji dalam usaha memperkasakan pengguna serta mempromosikan amalan pelancongan yang sah, selamat dan berintegriti.

Penganjuran karnival ini hadir pada waktu yang amat signifikan ketika masyarakat terus berdepan pelbagai kes penipuan pakej pelancongan dan umrah yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit setiap tahun. Justeru, PAPUH mengambil inisiatif menyediakan sebuah platform komprehensif yang bukan sahaja menawarkan pelbagai pakej pelancongan dan ibadah, malah berfungsi sebagai medium pendidikan pengguna agar lebih bijak dan berhati-hati dalam memilih perkhidmatan daripada agensi yang berdaftar serta berlesen.

Majlis pelancaran dan sidang media karnival ini telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Haji Razali Mohd Sham, Presiden PAPUH merangkap Pengerusi PAPUH Muslim Travel Fair 2026, bersama Tuan Haji Muhammad Mursyid Abu Hassan, Naib Presiden PAPUH (Kebajikan dan Keusahawanan) merangkap Timbalan Pengerusi Karnival serta Encik Hafeezuddin Abdul Razak, Pengurus Besar PAPUH Sdn. Bhd. merangkap Ketua Sekretariat Karnival.

Menurut Dato’ Sri Haji Razali, PAPUH Muslim Travel Fair 2026 bukan sekadar sebuah pameran pelancongan, sebaliknya merupakan satu gerakan kesedaran nasional yang bertujuan meningkatkan literasi pengguna terhadap kepentingan memilih agensi pelancongan yang sah dan berlesen.

“Karnival ini merupakan platform pendidikan dan pemerkasaan pengguna. Kami mahu masyarakat lebih peka terhadap hak mereka sebagai pelanggan serta mampu membuat keputusan yang tepat ketika memilih perkhidmatan pelancongan, umrah dan haji. Kesedaran ini amat penting bagi mengelakkan pengguna menjadi mangsa penipuan yang semakin membimbangkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pakej yang terlalu murah dan tidak munasabah.

“Dalam situasi kos operasi industri yang semakin meningkat termasuk kos penerbangan, penginapan, logistik dan perkhidmatan berkaitan, pengguna perlu membuat semakan terperinci sebelum membuat sebarang pembayaran. Harga yang terlalu rendah berbanding pasaran sewajarnya menjadi petunjuk untuk melakukan pengesahan terlebih dahulu.”

Memperkukuh Ekosistem Pelancongan Islam Negara

Penganjuran PAPUH Muslim Travel Fair 2026 turut bertujuan memperkukuhkan ekosistem pelancongan Islam dan pelancongan mesra Muslim di Malaysia dengan menyediakan platform strategik kepada pemain industri untuk mempromosikan produk, perkhidmatan serta destinasi pelancongan dalam dan luar negara.

Karnival ini dijangka menjadi antara acara pelancongan Islam terbesar di Selangor dengan penyertaan lebih 100 syarikat dan organisasi yang mewakili pelbagai segmen industri termasuk agensi pelancongan, pengendali umrah dan haji, syarikat penerbangan, institusi kewangan Islam, pengusaha hotel, penyedia teknologi pelancongan serta rakan strategik industri.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung akan berpeluang mendapatkan pelbagai tawaran eksklusif pakej umrah, haji dan pelancongan Islamik, selain menyertai forum industri, sesi perkongsian ilmu, konsultasi profesional, aktiviti interaktif serta promosi istimewa yang ditawarkan oleh para peserta pameran.

Pusat Sehenti Industri Pelancongan Islam

Salah satu keistimewaan utama PAPUH Muslim Travel Fair 2026 ialah konsep Pusat Sehenti Industri Pelancongan Islam (One-Stop Islamic Travel Industry Centre) yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan di bawah satu bumbung.

Melalui penglibatan agensi kerajaan, syarikat penerbangan, institusi kewangan Islam, penyedia perlindungan takaful serta syarikat swasta berkaitan, pengunjung dapat memperoleh maklumat menyeluruh berkaitan pelancongan mesra Muslim, urusan umrah dan haji, perlindungan perjalanan, kemudahan pembiayaan serta khidmat nasihat industri secara terus daripada pakar.

Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan pengguna membuat perbandingan dan mendapatkan maklumat yang tepat, malah memperkukuhkan hubungan strategik antara sektor awam dan swasta dalam membangunkan industri pelancongan Islam yang lebih mampan dan berdaya saing.

Mendekatkan Industri Kepada Masyarakat

Berbeza dengan penganjuran sebelum ini yang berlangsung di Hotel Grand Barakah, Ampang, edisi 2026 memperkenalkan konsep baharu yang lebih dekat dengan masyarakat menerusi lokasi strategik di Kompleks PKNS Shah Alam.

Konsep “Travel Fair Dalam Pusat Membeli-belah” membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat, promosi dan konsultasi pelancongan dalam suasana yang lebih santai, mudah diakses dan mesra keluarga.

Pemilihan lokasi ini selari dengan aspirasi PAPUH untuk membawa industri pelancongan Islam lebih dekat kepada pengguna, di samping meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memilih syarikat pelancongan yang sah, berdaftar dan dipercayai.

Permulaan Siri Jelajah Nasional

Penganjuran di Shah Alam turut menjadi titik permulaan kepada PAPUH Muslim Travel Fair Roadshow, sebuah siri jelajah nasional yang akan diperluaskan ke beberapa pusat membeli-belah utama di seluruh negara.

Antara negeri yang dikenal pasti bagi siri jelajah seterusnya termasuk Johor, Melaka, Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Inisiatif ini dijangka mewujudkan ekosistem pemasaran yang lebih dinamik dan berterusan kepada pemain industri, selain memberi peluang kepada masyarakat di seluruh negara untuk mendapatkan maklumat terkini, promosi eksklusif dan khidmat konsultasi terus daripada syarikat pelancongan yang sah dan berdaftar.

Dengan sasaran kehadiran ribuan pengunjung dari seluruh negara, PAPUH Muslim Travel Fair 2026 diyakini mampu menjadi platform utama dalam memperkukuhkan keyakinan pengguna, memperluaskan jaringan perniagaan industri serta memacu pertumbuhan pelancongan Islam Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Mengenai PAPUH

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) merupakan sebuah organisasi yang mewakili pemain industri pelancongan Islam, umrah dan haji di Malaysia. PAPUH komited memperkukuhkan profesionalisme industri, melindungi kepentingan pengguna serta mempromosikan amalan perniagaan yang beretika, telus dan berintegriti demi pembangunan industri pelancongan Islam yang mampan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *