5 Pengajaran Dari Kisah Rizman Ruzaini Yang Hampir Muflis
Oleh : Dr Zul Ariffin Maarof
DI MATA umum, jenama Rizman Ruzaini adalah puncak kejayaan fesyen Malaysia.
Rekaan mereka digayakan oleh superstar global seperti Lady Gaga dan Naomi Campbell.
Butik-butik mewah mereka gah berdiri di lokasi paling berprestij seperti Shangri-La, Pavilion, dan KLCC.
Dari luar, mereka kelihatan kebal, sentiasa meniti di puncak kegemilangan.
Namun, di sebalik tabir glamor itu, tersembunyi satu realiti yang memeritkan. Terbaru, mahkamah mengarahkan Rizman Ruzaini membayar RM1.3 juta kepada suami Aktres Datin Intan Najuwa yang berjaya memenangi kes saman terhadap jenama fesyen tersohor itu, berkaitan tuntutan bayaran semula.
Sehingga kini, pereka itu tidak membuat sebarang kenyataan susulan berhubung isu itu.
Namun dalam sesi Apa Cerita? Podcast, Rizman mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam perniagaannya. dan menyifatkan pada tahun kemuncak kejayaan yang disaksikan semua, syarikat itu sebenarnya sedang ‘nyawa-nyawa ikan’.
Walaupun jenama nampak kukuh di luar, hakikatnya syarikat sedang bergelut untuk terus hidup.
Setiap keputusan terasa berat. Setiap hari seperti cuba menahan kebocoran yang semakin membesar.
Pada saat inilah Rizman mengakui detik yang disangka paling berjaya itulah sebenarnya detik paling rapuh.
Berikut ialah pengajaran penting yang diringkaskan daripada pengalaman itu.
Detik paling sukar buat Rizman Ruzaini berlaku serentak dengan salah satu pencapaian paling besar di mata umum: Sukan Olimpik.
Ketika orang ramai melihat jenama ini dengan penuh kekaguman, pasukan di belakang tabir sedang berdepan tekanan yang sangat hebat.
Lebih ironik, pada waktu yang sama, Rizman perlu naik ke pentas menerima anugerah besar seperti Fashion Business Leader dan Designer of the Year.
Beliau terpaksa tersenyum, meraikan kejayaan di hadapan khalayak, sedangkan realitinya syarikat berada dalam keadaan yang sangat tenat.
Jurang antara imej luar dan realiti dalaman ketika itu terlalu besar.
“Ketika Olimpik tu lah… time paling down sekali untuk kami. The whole team.”
Semasa PKP, jualan jenama ini melonjak hampir lima kali ganda. Buat pertama kali, mereka berjaya dalam segmen ready-to-wear.
Permintaan tinggi.
Baju habis terjual.
“Kita menangis-nangis sebab happy. Raya, puasa… semua habis.”
Namun kejayaan pantas itu membawa satu kesilapan besar. Dengan keyakinan yang tinggi, mereka meningkatkan pengeluaran secara agresif daripada sekitar RM7-8 juta kepada sasaran hampir RM25 juta
tanpa benar-benar memahami sama ada pasaran mampu menyerap jumlah tersebut. Pada masa yang sama, kos operasi turut meningkat.
Operasi dipindahkan ke lokasi yang jauh lebih mahal, satu keputusan yang dibuat atas rasa yakin, bukan kefahaman mendalam.
“Masa tu kita rasa kita mampu. Tapi sebenarnya kita tak faham betul-betul.”
Apabila pasaran mula perlahan selepas PKP, kesannya mula terasa:
Stok berlebihan Kos tetap yang tinggi Duit masuk tidak lagi mampu menampung duit keluar
Aliran tunai menjadi sangat tertekan.
Selama hampir setahun, Rizman mencari pelabur untuk menyelamatkan syarikat. Minat memang ada. Nama jenama besar.
Ramai percaya mereka ada potensi. Namun akhirnya beliau sedar masalah sebenar bukan sekadar soal dana.
Punca utama krisis ini ialah keputusan besar yang dibuat tanpa asas pengetahuan yang kukuh. Tanpa kefahaman yang betul, sebarang dana yang masuk hanya berisiko mengulangi kesilapan yang sama.
Titik perubahan hanya berlaku apabila mereka menemui rakan kongsi yang bukan sekadar membawa wang, tetapi membawa cara berfikir, struktur, dan panduan yang selama ini tiada.
“Orang nak invest tu ramai. Tapi yang paling penting – ilmu.”
Bahagian paling menyakitkan dalam krisis ini bukan angka kerugian.
Tetapi manusia. Rizman terpaksa memberhentikan hampir separuh daripada lebih 100 orang kakitangan.
Ada yang sudah bersama sejak 18 hingga 20 tahun.
“It broke my heart.”
Beliau mengibaratkan syarikat seperti sebuah kapal besar. Untuk mengelakkan kapal itu karam, sebahagian penumpang terpaksa diturunkan buat sementara waktu.
Janji beliau satu, akan kembali mengambil mereka semula apabila kapal itu sudah cukup kuat untuk belayar dengan selamat.
Dua perkara akhirnya memberi kekuatan untuk bangkit. Pertama, keluarga.
Satu momen di atas pentas apabila anak-anak mereka berlari mendapatkan mereka menjadi peringatan mengapa perjuangan ini tidak boleh dihentikan.
Kedua, keterbukaan.
Selepas sekian lama mencari jalan keluar, Rizman mula berkongsi kisah sebenar syarikat secara jujur tanpa menutup kelemahan dan kesilapan.
Daripada keterbukaan itulah, mereka akhirnya bertemu individu yang tepat. Penyelamat datang bukan kerana mereka kelihatan kuat,
tetapi kerana mereka berani mengaku sedang rapuh.
Kesimpulan: Kejayaan Bukan Garisan Lurus
Kisah Rizman Ruzaini mengingatkan kita satu perkara penting: Kejayaan jarang bergerak dalam satu arah sahaja. Jenama yang kelihatan paling stabil pun boleh hampir rebah.
Bezanya cuma satu
siapa yang sanggup belajar, berubah, dan membina semula dengan lebih berdisiplin.
Ramai orang menyangka kegagalan bisnes berpunca daripada kurang modal.
Hakikatnya, lebih ramai tumbang kerana tak faham sistem, aliran tunai, dan skala sebenar perniagaan.
Sebab itu hari ini, semakin ramai usahawan memilih model yang lebih terkawal, bermula kecil, diuji pasaran, dan diskalakan secara berperingkat.
Salah satu jalan yang makin relevan ialah jualan rentas negara melalui eBay
bukan kerana ia mudah, tetapi kerana ia memaksa kita faham nombor, kos sebenar, dan disiplin perniagaan sejak awal.
Mungkin bukan untuk semua orang. Tapi untuk yang mahu bina bisnes dengan asas yang lebih kemas, ini antara ekosistem yang wajar difahami sebelum melangkah terlalu jauh.





