MUKA KLASIK, CERITA PANJANG: CATATAN NOSTALGIA SANG EDITOR

Memo Editor | Anwar Razali
Kembali ke Zaman Sebelum Merdeka: Nostalgia yang Mendidik Jiwa

ADA waktunya, kita tidak melangkah ke belakang kerana rindu semata-mata, tetapi kerana mahu belajar. Belajar tentang nilai, ketabahan dan makna kehidupan yang semakin hilang ditelan zaman. Maka hari ini, izinkan saya berhijrah seketika — kembali ke era 1950-an, zaman sebelum Merdeka. Zaman emak, ayah, datuk dan nenek kita membina hidup dengan keringat, kesabaran dan harapan.

Era ini bukan sekadar kenangan hitam putih. Ia adalah zaman yang membentuk jati diri bangsa. Zaman manusia hidup sederhana, tetapi berjiwa besar. Ketika kemewahan bukan ukuran bahagia, dan maruah lebih mahal daripada segalanya. Mereka tidak punya banyak pilihan, namun tetap teguh berdiri. Dari situlah kita belajar erti perjuangan — bukan dengan laungan, tetapi dengan tindakan.

Dalam nostalgia ini, ingatan saya turut singgah ke satu alamat yang cukup bersejarah: Studio Jalan Ampas. Di situlah perfileman Melayu pernah berdiri megah. Sebuah institusi seni yang melahirkan karya agung dan legenda yang namanya tidak pernah pudar dimakan masa. P. Ramlee dengan genius seninya, Aziz Satar dengan kelucuan berlapik makna, Mat Sentul dengan watak rakyat yang jujur, A.R. Tompel, Aziz Jaafar — mereka bukan sekadar pelakon atau pengarah. Mereka adalah cerminan jiwa Melayu pada zamannya.

Filem-filem Melayu era 50-an mengajar kita banyak perkara: tentang cinta yang sopan, humor yang beradab, kritik sosial yang halus tetapi tajam, serta nilai kemanusiaan yang merentas generasi. Tanpa teknologi canggih, tanpa publisiti besar-besaran, karya mereka tetap hidup sehingga hari ini. Itulah kehebatan seni yang lahir daripada keikhlasan.

Ada yang berseloroh, katanya wajah saya wajah klasik. Wajah orang dulu-dulu. Iras Nordin Ahmad, kata mereka. Saya senyum saja. Mungkin benar. Mungkin kerana jiwa saya sendiri sering tertarik ke masa lalu. Ke zaman yang perlahan langkahnya, tetapi dalam maknanya.
Kajang Pak Malau kajang berlipat…
Pantun lama pun terasa lebih jujur bila dihayati dengan jiwa.

Maka nostalgia ini bukan sekadar gaya atau estetika. Ia adalah peringatan. Bahawa kita hari ini berdiri di atas tapak yang dibina oleh mereka yang terdahulu. Bahawa kemerdekaan, seni, budaya dan identiti tidak datang dengan mudah. Ia lahir daripada pengorbanan, disiplin dan kesetiaan kepada nilai.

Hari ini, kita bernostalgia. Esok, kita harus melangkah ke hadapan dengan lebih sedar. Membawa semangat era 50-an ke zaman moden — bukan untuk hidup di masa lalu, tetapi untuk memperbaiki masa depan.

Anwar Razali, dalam tiga versi dulu-dulu.
Sekadar mengajak kita semua berhenti sejenak, memandang ke belakang, dan berkata:
Terima kasih, orang-orang terdahulu. Kerana kalian, kita tahu siapa diri kita hari ini. 😊✌️

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *