ERNIE ZAKRI CEMERLANG DI ABPBH 37
DINOBATKAN SEBAGAI ‘PENYANYI WANITA POPULAR’ DAN ‘BINTANG PALING POPULAR’**
MALAM Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH 37) mencatat sejarah tersendiri apabila Ernie Zakri mencipta kejayaan luar biasa dengan kemenangan berganda, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara figura seni paling berpengaruh dalam industri muzik tanah air.
Ernie Zakri diumumkan sebagai ‘Penyanyi Wanita Popular’, sebelum kemuncak malam menyaksikan beliau dinobatkan sebagai ‘Bintang Paling Popular’, anugerah tertinggi dan paling berprestij dalam ABPBH, hasil undian luar biasa mencecah 124 juta undi.
Kejayaan berganda ini hadir sebagai satu detik penuh emosi buat Ernie, yang mengakui tidak menjangkakan kemenangan dalam mana-mana kategori pada tahun ini. Namun, sokongan padu peminat dari Malaysia dan Indonesia telah menjadikan malam tersebut milik beliau sepenuhnya.
“Alhamdulillah, perasaan saya sangat-sangat gembira dan bersyukur. Segala kejayaan ini adalah milik peminat yang tidak pernah berhenti menyokong, mengundi dan mendoakan saya. Anugerah ini benar-benar untuk mereka,” ujar Ernie penuh rendah hati.
Beliau turut merakamkan penghargaan khas kepada peminat setianya, Ernienators, yang menjadi tulang belakang kejayaannya selama ini.
“Saya tidak akan berada di sini tanpa peminat-peminat saya. Terima kasih kerana menghadiahkan saya bukan sahaja anugerah Penyanyi Wanita Popular, tetapi juga Bintang Paling Popular. Ini adalah pencapaian yang akan saya kenang sepanjang hayat.”
Tahun Gemilang Ernie Zakri
Tahun 2025 sememangnya menjadi fasa penting dalam perjalanan seni Ernie Zakri. Selain momentum kukuh daripada album Perjalanan, single hit “Masing Masing” mencipta fenomena apabila berjaya meraih 3x Platinum di Malaysia dan Indonesia, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai vokalis unggul Nusantara.
Dengan kekuatan vokal yang konsisten, dedikasi tinggi serta keperibadian yang dekat di hati peminat, kemenangan di ABPBH 37 ini dilihat sebagai kemuncak pengiktirafan terhadap jenama seni Ernie Zakri yang semakin matang dan berpengaruh.
Pengiktirafan Universal Music Malaysia
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan tersebut.
“Kami di Universal Music Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ernie Zakri atas pencapaian luar biasa ini. Kemenangan sebagai Bintang Paling Popular dan Penyanyi Wanita Popular di ABPBH 37 adalah pengiktirafan sewajarnya terhadap bakat vokal, dedikasi serta hubungan erat beliau dengan peminat. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan Ernie, malah memberi inspirasi kepada keseluruhan industri muzik tempatan.”
Beliau turut menambah bahawa Universal Music Malaysia komited untuk terus memperkasa perjalanan seni Ernie ke peringkat lebih tinggi.
“Mengambil momentum daripada kejayaan ini, fokus kami adalah untuk terus membawa karya Ernie ke peringkat serantau, khususnya Asia Tenggara. Kami melihat potensi global yang besar dalam diri Ernie dan yakin beliau mampu mengharumkan nama Malaysia sebagai duta muzik yang disegani.”
Menutup Tahun Dengan Persembahan Istimewa
Sebagai kesinambungan kepada kejayaan di ABPBH 37, Ernie Zakri kini bersiap sedia untuk menutup tahun 2025 dengan penuh bergaya menerusi ‘Nostalgia NYE Concert’, yang bakal berlangsung di Le Méridien Petaling Jaya pada 31 Disember 2025.
Dalam masa yang sama, Ernie turut mencetuskan keterujaan peminat apabila memberi bayangan tentang kemunculan single Hari Raya terbaharu pada tahun hadapan, menjanjikan lebih banyak karya istimewa dalam fasa seterusnya perjalanan seninya.





