30 RIBU SAKSIKAN DETIK IJAB KABUL: BUNGA EMAS 24 DINAR KEJUTAN ISTIMEWA EZWAN BUAT ERRA FAZIRA
DETIK penuh barakah penyatuan primadona filem Melayu, Erra Fazira, bersama ahli perniagaan Mohamad Ezwan Mohamad Zain menjadi perhatian ramai apabila majlis akad nikah mereka yang berlangsung indah dan sederhana disaksikan lebih 30,000 tontonan secara langsung menerusi platform YouTube Kasi Onz.
Majlis yang berlangsung tepat jam 9.19 pagi di Ruang Acara Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang itu menyaksikan Erra, 51, sah bergelar isteri kepada Ezwan, 44, dengan sekali lafaz, dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Sabirin Noordin, dalam suasana yang penuh tenang dan bermakna.
Menarik perhatian ramai, Ezwan menyerahkan mas kahwin berupa bunga emas yang mengandungi 24 keping dinar emas, satu kejutan istimewa buat isterinya. Menurut Ezwan, Erra sememangnya mengetahui tentang dinar emas tersebut, namun tidak menyangka ia dipersembahkan dalam bentuk bunga emas yang sarat dengan nilai simbolik dan estetika.
“Ia adalah satu kejutan buat Erra. Tiada simbolik khusus pada angka 24, sebaliknya untuk mencukupkan berat keseluruhan 100 gram,” jelas Ezwan kepada media.
Sementara itu, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, berkongsi bahawa sebahagian besar perancangan majlis perkahwinan kali ini digalas oleh suaminya.
“Jika sebelum ini saya yang banyak menguruskan segalanya, kali ini Ezwan yang mengambil tanggungjawab hampir 95 peratus urusan perkahwinan,” katanya ringkas namun penuh makna.
Ditanya mengenai perancangan bulan madu, Erra memaklumkan mereka sepakat menangguhkannya sehingga selepas Aidilfitri berikutan komitmen kerja beliau melibatkan penggambaran dan konsert yang dijadualkan bermula Februari ini.
Keindahan majlis turut diserikan dengan kehadiran anak-anak kedua-dua mempelai yang mengiringi mereka memasuki ruang acara. Ezwan tampil segak berbaju Melayu diiringi puteri sulungnya, Dania Sofia, manakala Erra diiringi puteri kesayangannya, Engku Aleesya Engku Emran, dengan alunan selawat yang dipimpin oleh Raqib Majid, menambah suasana syahdu dan sakral.
Keunikan terserlah apabila dulang hantaran dihias secara kreatif di dalam talam dan dibawa menggunakan tandu, sementara mas kahwin dipersembahkan dalam bentuk pokok ufti, mencerminkan gabungan tradisi, seni dan nilai simbolik yang mendalam. Para tetamu turut mengenakan pakaian rona putih sebagai lambang kesucian dan kesederhanaan.
Pasangan ini bakal diraikan dalam dua majlis resepsi berskala kecil, masing-masing dijadualkan berlangsung esok dan pada 27 Disember di lokasi berbeza.
Untuk rekod, Erra pernah mendirikan rumah tangga bersama Datuk Yusry Abdul Halim dan kemudiannya Engku Emran Engku Zainal Abidin, hasil perkahwinan tersebut dikurniakan seorang puteri, Engku Aleesya. Ezwan pula telah lapan tahun bergelar duda dan mempunyai seorang cahaya mata.
Majlis ini bukan sahaja menandakan permulaan baharu buat pasangan berkenaan, malah menjadi simbol kematangan, kesederhanaan dan keindahan cinta yang disatukan dalam suasana penuh barakah.





