Meritus University Perkukuh Peranan Sebagai Hab Pendidikan Maritim & Penerbangan Serantau — Konvokesyen 2025 Raikan Keunggulan Graduan
MERITUS University hari ini melakar satu lagi pencapaian penting dengan penganjuran Konvokesyen 2025 di kampus baharu Chan Sow Lin, sekali gus mengukuhkan aspirasinya untuk muncul sebagai kuasa pendidikan maritim dan penerbangan terulung di rantau ini. Majlis penuh gilang-gemilang itu menghimpunkan graduan daripada bidang maritim, logistik, perniagaan, hospitaliti dan penerbangan—bidang-bidang yang menjadi tunjang ekonomi masa depan Malaysia.
Dalam ucapan perasmian, Pengasas Meritus University, Tan Sri (Dr.) Halim Mohammad, menegaskan bahawa kedudukan strategik Malaysia sebagai negara maritim mewajarkan usaha serius memperkasa bakat tempatan dalam sektor tersebut.
“Lebih 90 peratus dagangan negara bergerak melalui laut, namun kekurangan tenaga mahir masih menjadi cabaran. Ekosistem maritim sangat besar—dari pelabuhan, kapal, logistik, warehousing, perinsurans, keselamatan hingga pengurusan rantaian bekalan. Anak muda sebenarnya sedang melihat masa depan yang amat cerah,” katanya.
Tan Sri Halim turut berkongsi pengalaman peribadinya sebagai pelaut selama 11 tahun dan bekas kapten kapal, yang menjadi asas kepada pendekatan pembelajaran Meritus University.
“Saya mengajar sendiri kerana saya tahu apa yang industri perlukan. Pelajar kami tidak belajar teori semata-mata. Mereka belajar membuat keputusan, bekerja dalam situasi sebenar, dan memahami kehendak dunia industri,” jelas beliau.
Beliau menegaskan bahawa Meritus University menerapkan sistem pengajaran one-on-one, memastikan setiap pelajar mendapat perhatian optimum. Hasilnya, ramai pelajar menerima tawaran pekerjaan sejak di peringkat latihan industri kerana kurikulum universiti direka selari dengan keperluan korporat antarabangsa.
Pencapaian Konvokesyen 2025
Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan penganugerahan kepada:
19 graduan Bachelor of Science (Hons) Maritime Business
3 graduan Bachelor of Science (Hons) Finance (Investment Strategy)
1 graduan Master of Business Administration (MBA)
37 graduan Diploma in Aviation (Pilot Training)
96 kadet juruterbang HM Aerospace yang menerima Commercial Pilot Licence (CPL) bersama Instrument Rating dan Frozen ATPL
1 graduan Diploma in Hotel Management
Sejak 2004, kerjasama Meritus University dan HM Aerospace telah melahirkan lebih 2,500 juruterbang komersial, termasuk 92 juruterbang wanita, yang kini berkhidmat di syarikat penerbangan dalam dan luar negara seperti Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly, Singapore Airlines, Lion Air, China Airlines, Emirates dan Etihad.
Latihan intensif merangkumi 900 jam teori, 200 jam penerbangan, penggunaan 26 pesawat Diamond DA40 & DA42, serta simulator FNPT II.
Akses Pendidikan Yang Lebih Fleksibel
Tan Sri Halim menegaskan bahawa Meritus University komited meluaskan akses ke pendidikan berkualiti.
Laluan kemasukan termasuk:
Lepasan SPM dengan 5 kredit boleh memulakan program asasi setahun sebelum ke peringkat ijazah
Lepasan STPM dan diploma boleh memasuki program terus
Sokongan melalui PTPTN dan bantuan khas pelajar B40
Pelan Lima Tahun: Pengembangan Pengkhususan Maritim
Meritus University sedang merangka peluasan akademik merangkumi:
Undang-undang maritim
Insurans maritim
Keselamatan laut
Graduan turut berpeluang berkhidmat dalam agensi seperti TLDM, APMM, serta syarikat pelabuhan antarabangsa.
Kampus Baharu yang Sarat Nilai Sejarah Peribadi
Dalam ucapan penuh emosi, Tan Sri Halim turut menyentuh makna istimewa lokasi kampus baharu yang sebelum ini merupakan bangunan milik Utusan Melayu—tempat beliau pernah menumpang tidur sewaktu muda, sebelum rezeki dan usaha mengizinkan beliau memiliki bangunan tersebut.
“Ia mengingatkan saya bahawa usaha, ilmu dan izin Allah mampu mengubah kehidupan seseorang,” ujarnya.
Komitmen Melahirkan Pemimpin Masa Depan
Beliau menegaskan bahawa objektif Meritus University bukan hanya melahirkan graduan untuk mengisi pasaran kerja, tetapi individu berwawasan yang menyumbang kepada pembangunan negara.
“Kita mahu anak muda menyara diri, membantu keluarga, tetapi lebih daripada itu—mereka mesti membantu negara,” katanya.
Dengan persekitaran kampus moden, pengiktirafan industri dan permintaan global yang semakin meningkat dalam sektor maritim serta penerbangan, Meritus University berada pada landasan kukuh untuk menjadi institusi pilihan serantau, melahirkan tenaga profesional berdaya saing untuk Malaysia dan dunia.





